Individu cemerlang usaha capai tahap terbaik potensi diri
Falsafah Pendidikan Kebangsaan jelas menyatakan matlamat pendidikan adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hayati Ismail berkata, ia adalah untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Selain itu, beliau menambah, kecemerlangan merujuk kepada usaha bersungguh-sungguh yang diamalkan individu bagi mencapai tahap terbaik berdasarkan potensi mereka.
“Individu tidak perlu membandingkan diri mereka dengan orang lain kerana setiap diri manusia itu berbeza dan istimewa.
“Sebagai seorang insan, wajib bagi setiap individu menjaga kesihatan diri dengan memastikan makanan yang diambil adalah berkhasiat serta mengamalkan senaman secara konsisten.
“Pelajar yang cemerlang juga akan sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan menolong orang lain. Ilmu yang dikongsi merupakan satu sedekah; semakin banyak bersedekah, semakin bertambah rezeki,” katanya.
Beliau memberitahu, apabila menyebut mengenai pelajar cemerlang, perlu mempunyai anjakan paradigma berbanding melihat kejayaan daripada aspek akademik semata-mata kepada kecemerlangan adab dan akhlak serta pembangunan insan yang sejahtera.
Hayati berkongsi lima perkara perlu ada dalam diri untuk bergelar pelajar cemerlang.
1)Memelihara hubungan dengan Pencipta
Tidak kira apa agama yang dianuti, aspek spiritual atau kepercayaan kepada Tuhan sebagaimana dalam Rukun Negara perlu diberi penekanan. Individu yang cemerlang sentiasa menjaga amalan yang akan memelihara kesejahteraan diri.
2)Memelihara hubungan sesama manusia
Selaras dengan aspirasi Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan, individu yang cemerlang akan selalu menjaga hubungan dengan rakan-rakan, keluarga serta masyarakat sekeliling.
Dalam situasi tertentu, pergeseran sesama rakan memang tidak dapat dielakkan tetapi sebagai individu yang sejahtera, kedamaian dan ketenteraman hati perlu dijaga agar amalan seharian dapat dijalankan dengan cemerlang.
3)Mengatur masa dengan bijak
Individu yang cemerlang akan dapat membahagikan masa dengan baik agar keempat-empat aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat diberikan pengisian.
Mengulang kaji pelajaran, menunaikan solat atau meditasi bagi yang bukan Islam, serta bersukan dapat memelihara keseimbangan diri individu.
4)Menghormati guru dan ibu bapa
Sebagai seorang pelajar cemerlang, perlu diingatkan restu daripada guru dan ibu bapa penting agar segala usaha diberkati tidak kira aspek akademik mahupun sahsiah.
5)Konsisten (Istiqamah)
Seorang individu yang cemerlang akan memastikan diri mereka selalu melakukan yang terbaik dalam setiap aspek yang diceburi.
Sebagai contoh, seorang pelajar yang mulanya lemah dalam bidang akademik akan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan bimbingan daripada guru.
Walaupun mungkin keputusan yang baik tidak dapat dicapai, usaha yang ditunjukkan adalah satu iltizam yang menjadi indikasi kecemerlangan.