Kemuka teori penyelesaian isu air, pelajar Victoria International School Malaysia bawa pulang anugerah
Tuah ayam nampak di kaki, tuan manusia siapa yang tahu. Itulah pepatah yang sesuai digambarkan kepada sekumpulan pelajar Victoria International School.
Laporan bertajuk ‘Perbandingan Kaedah Berbeza Pemurnian Air Tepi Tasik’ yang dibentangkan oleh Ahrayn Jordan, Siti Noor Halijah Md Moslem, Threessha Uganathan dan Yap Zhi Heng berjaya membawa pulang anugerah ‘Terbaik di Asia Tenggara dan Pasifik’ pada Pertandingan Sains Menengah Atas Cambridge 2023.
Menurut Guru Biologi, Cikgu Priyatharshini Balakrishnan, pihaknya menghargai anugerah terhormat yang diterima dari Cambridge International itu.
“Pengetua kami sentiasa menggalakkan para pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan tempatan dan antarabangsa.
“Kami meminta para pelajar mengambil kira tentang kemampanan serta alam sekitar dalam kajian mereka dan pemenang daripada Victoria International School telah menyahut cabaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pertandingan Sains Menengah Atas Cambridge 2023 telah disertai 151 pasukan dari seluruh dunia dan ia memberi peluang kepada pelajar untuk membangunkan minat mereka dalam sains dan kemahiran praktikal yang melengkapi pembelajaran akademik.
Berbicara lebih lanjut mengenai kajian yang dilakukan anak didiknya itu, Cikgu Priyatharshini memberitahu, para pelajarnya telah mengkaji keberkesanan beberapa kaedah pemurnian air dan kos penggunaan meluas bagi setiap kaedah untuk penggunaan atau aplikasi dunia sebenar.
Hasil kajian tersebut menyentuh mengenai kaedah paling berkesan untuk membersihkan air dari sumber tepi tasik.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pembangunan Kelayakan dan Sokongan Cambridge International, Carolyn Tiller mengucapkan tahniah kepada para peserta atas kejayaan tersebut.
Ujarnya, pertandingan tersebut diharapkan dapat membantu para pelajar mengaplikasi teori pembelajaran dalam dunia sebenar.