No Image Caption

Kenali 4 wanita hebat

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
08 Mar 2023 06:14pm

Tanggal 8 Mac setiap tahun merupakan hari di mana masyarakat seluruh dunia menyambut Hari Wanita.

Ia disambut tanpa mengira latar belakang, etnik, budaya dan kepercayaan. Jika mengikut sejarah, sambutan Hari Wanita Sedunia bermula melalui dua peristiwa penting yang berkaitan pergerakan wanita di Amerika Utara dan benua Eropah.

Peristiwa pertama bermula sekitar bulan Februari tahun 1909 di Amerika Utara apabila berlakunya satu bantahan dan protes dalam kalangan wanita di sana yang memperjuangkan hak wanita untuk mengundi pada pilihan raya di negara-negara tersebut.

Manakala peristiwa kedua berlaku kira-kira setahun selepas itu iaitu pada Ogos 1910 di mana kali ini terjadi di Eropah sewaktu Persidangan Antarabangsa Sosialis kali kedua.

Dalam persidangan itu, telah dicadangkan agar Hari Wanita turut diangkat sebagai hari rasmi bagi wanita di seluruh dunia dan ia telah menerima persetujuan daripada 27 delegasi yang hadir ketika itu.

Selepas peristiwa itu Hari Wanita Sedunia telah diiktiraf dan sebab itulah ia disambut setiap tahun sehingga hari ini.

Untuk itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, Sinar Bestari ingin kongsikan kepada pembaca antara empat sosok wanita hebat serta mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat seluruh dunia sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Kredit foto: Unsplash
Kredit foto: Unsplash



Jom baca!

1) Datuk Nicol Ann David (Malaysia)

Datuk Nicol Ann David adalah bekas atlet kebangsaan yang telah memahat namanya sebagai legenda di dalam arena sukan skuasy dan merupakan seorang atlet yang mendapat penghormatan tidak kira di dalam mahupun luar gelanggang.

Insan yang lebih mesra disapa Datuk Nicol David ini adalah pemegang ranking Pemain Nombor 1 Dunia paling lama dalam sejarah sukan skuasy bermula Ogos 2006 sehingga Ogos 2015.

Beliau juga memiliki 51 rekod kemenangan berturut-turut dari Mac 2006 sehingga April 2007.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada tanggal 26 Ogos 1983, Datuk Nicol David telah memenangi semua yang dipertandingkan di dalam sukan itu sehingga beliau mengumumkan persaraannya pada 2019.

Hasil kecermelangan yang dipamerkan beliau dalam peringkat domestik serta kerja kerasnya demi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, pada 12 Julai 2008 bersempena Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas ke-70, beliau menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

2) Raden Adjeng (R.A) Kartini (Indonesia)

R.A Kartini seorang wanita yang dipandang tinggi oleh masyarakat di Indonesia. Beliau merupakan pelopor awal yang memperjuangkan hak wanita yang pada zamannya itu menghadapi kesulitan dek kerana adat dan tradisi kepercayaan masyarakat yang beranggapan wanita tidak sopan untuk keluar dari rumah.

Antara intipati utama perjuangan Kartini adalah wanita-wanita pribumi yang berbangsa Jawa khususnya diberikan pendidikan dan kebebasan untuk menjalani kehidupan serta membuat keputusan sendiri berkaitan masa depan.

Dilahirkan pada 21 April 1879, beliau meninggal sewaktu usianya baru menginjak 25 tahun pada 17 September 1904.

Walaupun meninggal pada usia muda, perjuangan dan idealogi yang dibawa Kartini terus kekal segar dan mekar di ingatan dunia terutamanya masyarakat Indonesia hingga ke hari ini.

3) Ibu Teresa (Albania)

Mary Teresa Bojaxhiu yang lebih dikenali sebagai Ibu Teresa merupakan seorang biarawati kelahiran Albania yang terkenal kerana mengabadikan seluruh hayatnya untuk kerja-kerja amal.

Beliau dianggap sebagai ibu kepada hampir jutaan orang susah yang terdiri daripada fakir miskin, anak-anak yatim dan juga kumpulan yang disangka tiada harapan untuk hidup seperti mereka yang mempunyai penyakit berjangkit tahap kronik.

Pada tahun 1950, Ibu Teresa telah menubuhkan pusat kebajikannya sendiri yang dinamakan Missionaries of Charity.

Beliau mengetuai pusat kebajikan itu selama 45 tahun sebelum meninggal pada 5 September 1997.

Ibu Teresa juga pernah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 1979 serta diberikan anugerah tertinggi di negara India iaitu Bharat Ratna pada tahun 1970.

4) Maya Angelou (Amerika Syarikat)

Maya Angelou adalah seorang aktivis, wartawan, pelakon dan pemuisi. Beliau juga terkenal sebagai seorang penulis buku yang berbakat besar.

Dilahirkan pada tanggal 4 April 1928, Maya Angelou meninggal dunia pada 28 Mei 2014 ketika berusia 86 tahun.

Sepanjang hayatnya beliau dihormati dan mempunyai pengaruh besar kerana kelantangan suara yang dimiliki untuk membela nasib komuniti Afrika-Amerika ketika zaman itu menghadapi penindasan terutamanya isu berkaitan perkauman.

Buku autobiografi beliau yang bertajuk ‘I Know Why The Caged Bird Sings telah memberikan satu impak yang cukup besar kepada dunia sastera ketika itu dan juga telah membuka pintu kepada wanita berbangsa Afrika-Amerika untuk melibatkan diri mereka dalam bidang tersebut.

Maya Angelou merupakan inspirasi kepada orang ramai yang memandang tinggi kepada perjuangan murninya dalam membela mereka yang tertindas khususnya kaum minoriti dan wanita.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp