Kepelbagaian penggunaan AI dalam dunia pendidikan
Kecerdasan buatan (AI) adalah cabang ilmu komputer yang bertujuan mengembangkan algoritma dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas manusia.
Antara tugas-tugas yang memerlukan pemikiran manusia adalah seperti pengenalan suara, pemprosesan imej, gambar, video dan bahasa serta proses membuat keputusan.
AI boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu AI Lemah (Weak AI), AI Kuat (Strong AI) dan AI Hebat (Super AI).
AI Lemah digunakan untuk melakukan tugas-tugas spesifik seperti pengenalan wajah atau penterjemahan bahasa.
Manakala AI Kuat dibina untuk melakukan tugas-tugas yang memerlukan pemikiran manusia yang kompleks seperti diagnosis perubatan atau membuat keputusan yang berkaitan perniagaan.
AI Hebat atau juga disebut kecerdasan umum artifisial adalah AI yang memiliki kemampuan seperti manusia dalam melakukan pelbagai tugas dan menyelesaikan masalah serta memiliki kemampuan belajar yang lebih cepat dan efisien.
AI diaplikasikan dalam pelbagai bidang seperti pengangkutan, penjagaan kesihatan, kewangan dan pendidikan untuk membantu manusia melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan tepat.
Bagaimanapun, dengan keupayaannya yang semakin meningkat, AI juga menimbulkan beberapa cabaran seperti keselamatan dan privasi data, algoritma yang bias serta implikasi sosial dan etika.
Oleh itu, pembangunan dan penggunaan AI perlu dikawal selia dengan betul untuk memberi manfaat yang optimum kepada masyarakat.
Dalam bidang pendidikan, AI memiliki potensi besar untuk meningkatkan keberkesanan kecekapan operasi dalam aktiviti pendidikan.
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana institut pengajian tinggi (IPT) dapat memanfaatkan AI
1) Pengambilan mahasiswa
IPT boleh menggunakan AI untuk menganalisa data profil calon mahasiswa, markah ujian dan pencapaian akademik untuk membantu dalam membuat keputusan penerimaan mahasiswa baru. Hal ini dapat menolong mengurangi masa dan usaha serta sumber kewangan yang diperlukan untuk menganalisis permohonan bakal-bakal penuntut.
2) Pembelajaran adaptif
AI dapat digunakan dalam sistem pembelajaran adaptif yang dapat menyesuaikan tahap kesukaran bahan-bahan, kursus dan program dengan kemampuan bakal siswa. Perkara ini dapat membantu mereka bagi meningkatkan pemahaman dan keterampilan dalam bidang yang mereka pelajari.
3) Chatbot
IPT juga boleh menggunakan Chatbot yang berasaskan AI untuk memberikan jawapan cepat dan tepat kepada pertanyaan mahasiswa seperti maklumat berkaitan jadual kuliah, lokasi bilik kuliah atau maklumat pengurusan mahasiswa yang lain sekali gus membantu mengurangkan masa dan usaha yang diperlukan bagi menjawab pertanyaan yang sentiasa diajukan mahasiswa.
4) Penyelidikan
AI digunakan dalam analisis data untuk membantu mempercepat dan meningkatkan kualiti penyelidikan. AI dapat membantu mengenal pasti pola dan tren dalam data penyelidikan dan memberikan cadangan berdasarkan kepada analisis tersebut.
5) Pengurusan data
AI membantu pengurusan data dalam bidang akademik seperti pengurusan data mahasiswa, data penyelidikan dan data pentadbiran yang lain. Cara ini dapat membantu meningkatkan kecekapan dan ketepatan pada pengurusan dan analisis data.
Bagaimanapun, penggunaan AI dalam bidang pendidikan juga perlu memperhatikan aspek-aspek keselamatan data, privasi dan etika dalam penggunaannya.
Oleh itu, pengembangan dan penerapan AI dalam bidang akademik harus dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil kira peraturan sedia ada.
AI dalam dunia pendidikan
Dalam dunia pendidikan, AI diaplikasikan dalam pembelajaran adaptif dan analisis prediktif.
Pembelajaran adaptif adalah satu sistem pembelajaran menggunakan teknologi seperti AI untuk menyesuaikan kurikulum dan metod pengajaran dengan kemampuan belajar mahasiswa secara individu.
Dalam pembelajaran adaptif, sistem akan mengumpulkan data dan maklumat tentang kemampuan, kekuatan dan kelemahan mahasiswa.
Kemudian, sistem itu akan menggunakan data tersebut untuk menyesuaikan tahap kesukaran bahan pengajaran dan menyediakan bahan pengajaran yang lebih spesifik dan relevan dengan keperluan mahasiswa.
Pembelajaran adaptif dapat membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam pembelajaran kerana mahasiswa dapat belajar dengan metod yang sesuai dengan kemampuan mereka dan dapat mengelakkan bahan pengajaran yang terlalu mudah atau terlalu susah.
Selain itu, dengan pembelajaran adaptif, penuntut dapat belajar berdasarkan kelajuan yang sesuai dengan kemampuan mereka dan para pendidik dapat memberikan sokongan dan bantuan yang lebih terfokus kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan tambahan.
Contoh teknologi yang digunakan dalam pembelajaran adaptif adalah sistem pengurusan pembelajaran (LMS), pengenalan suara, gamifikasi dan analisis data.
Seterusnya, pembelajaran adaptif dapat diterapkan dalam pelbagai tahap pendidikan, mulai dari sekolah dasar hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Malah, pembelajaran adaptif memungkinkan pengajaran yang disesuaikan dengan tahap pemahaman mahasiswa dan memberikan cadangan pembelajaran tambahan yang relevan.
AI juga dapat digunakan dalam analisis prediktif untuk meramalkan perilaku mahasiswa seperti kemungkinan penuntut lulus atau gagal dan memberikan maklumat berguna untuk meningkatkan prestasi mahasiswa.
Dalam pada itu, AI juga dapat membantu pihak IPT membentuk pembelajaran berdasarkan kepada keperluan mahasiswa dengan mempertimbangkan kemampuan belajar dan gaya belajar mereka secara individu.
Maklumat Penulis
Pensyarah/Penyelidik, Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Selangor (UIS), Ahmad Yani Ismail