Ketahui kelebihan labu Sayong yang dapat menyamankan kawasan sekeliling

AZLEENDA SAHALUDIN
23 May 2023 04:44pm
A
A
A

Cuaca panas dan bahang yang melanda negara ketika ini semestinya mengundang ketidakselesaan kepada semua lapisan masyarakat.

Ini kerana situasi tersebut bukan sahaja boleh mengundang risiko kesihatan seperti strok haba tetapi juga boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain antaranya dehidrasi, lemah tumpuan serta keletihan.

Melihat kepada situasi ini pasti ramai terutamanya ibu bapa dan guru mengambil pendekatan dengan menghidupkan penyaman udara bagi mengurangkan rasa panas yang dirasai selain menyelesakan tubuh badan.

Walaupun menghidupkan penyaman udara ini memberi keselesaan dan kesegaran namun tindakan tersebut akan menyebabkan kenaikan bil elektrik sehingga boleh menjejaskan perbelanjaan bulanan.

Bahkan jika dilihat sebelum wujudnya alat elektronik itu rata-rata masyarakat berjaya mengatasi masalah kepanasan dengan menggunakan barangan atau produk lain.

Apakah barangan tersebut? Adakah ia menggunakan elektrik dan boleh menyebabkan bil mencanak naik ketika musim panas ini?

Justeru itu, Sinar Bestari ingin kongsikan keisitimewaan labu Sayong yang digunakan oleh masyarakat zaman dulu bagi menjaga suhu rumah agar kekal sejuk dan nyaman.

Jom kita lihat!

Artikel Berkaitan:

Labu Sayong adalah sejenis bekas simpanan air yang diperbuat daripada tanah liat dan mempunyai beberapa keistimewaan yang menjadikannya pilihan popular untuk mengawal suhu di dalam rumah.

Ia berupaya mengekalkan kesejukan air selain membantu memperlahankan pengaliran haba.

Ini terjadi apabila air di dalam labu Sayong menyejat, ia akan menyerap haba di sekelilingnya dan menjadikan suhu sekeliling sejuk dan nyaman.

Ibu bapa atau guru yang menginginkan suhu sejuk tanpa menggunakan penyaman udara boleh mengisi air di dalam labu Sayong dan meletakkannya di tempat yang sesuai sama ada di ruang tamu atau dapur.

Tidak hanya itu, kraftangan tersebut juga boleh berfungsi sebagai bekas penyimpanan air minuman yang jauh lebih baik jika disimpan di dalam bekas plastik atau logam.

Selain itu, penemuan pada tahun 2021 memperlihatkan labu Sayong juga mampu menurunkan suhu bilik supaya lebih nyaman.

Jadi dengan penggunaan labu Sayong ini menggantikan penyaman udara adalah Langkah alternatif yang dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok