Beri ruang kepada guru melaksanakan tugas hakiki mereka iaitu mengajar.
Beri ruang kepada guru melaksanakan tugas hakiki mereka iaitu mengajar.

KPM perlu kurangkan program, beri ruang guru laksana tugas hakiki iaitu mengajar - Ibu

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
15 Aug 2024 12:48pm

Sejak akhir-akhir ini, kita sering digembar-gemburkan tentang isu pendidikan yang mengundang pelbagai persoalan membabitkan fokus dan hala tuju melibatkan kemenjadian murid di sekolah bawah kerajaan.

Isu ini antara topik hangat yang menjadi perbualan dan membangkitkan pendapat pelbagai pihak khususnya orang-orang berpendidikan dan ibu bapa.

Tertarik untuk mengetahkan isu ini, Sinar Bestari mendapati satu perkongsian yang dimuat naik di aplikasi X oleh seorang ibu yang menyatakan pendapatnya setelah memindahkan anak-anak daripada sekolah kerajaan kepada sekolah antarabangsa.

Perkongsian yang dimuat naik dua hari lepas itu telah mendapat perhatian lebih 100,000 pengguna aplikasi tersebut serta 1,100 tanda suka.

Menurut @sitizaudzah, dia bersetuju dengan kenyataan yang dimuat naik oleh Othman Talib di laman Facebook yang menyatakan fokus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah kemenjadian murid di Malaysia.

“Fokus KPI KPM adalah kemenjadian murid Malaysia. Bukan buat program, lancar program, rancang program, mesyuarat program, tambah program, baiki program dan program lawatan,” tulis Othman.

Siti Raudzah Ghazali mengakui bersetuju dengan pendapat itu, namun tidak menyalahkan cikgu sebaliknya jelas kelihatan betapa tertekannya para guru di sekolah kerajaan.

Justeru, dia telah membuat keputusan untuk memindahkan anak-anaknya ke sekolah antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Tidak hanya itu, dia turut menyatakan 10 sebab mengapa keputusan memindahkan persekolahan anaknya dibuat.

Antara sebab tersebut:

1)Bilangan murid di dalam kelas rendah. 20 ke 30 murid menjadikan kelas tidak sesak.

2)Tidak ada kumpulan Whatsapp ibu bapa atau anak-anak dengan guru kelas atau guru subjek. Semua urusan melalui email.

3)Tidak ada hari peluncuran, pelancaran atau perasmian. Tugas guru hanyalah mengajar.

4)Mesyuarat ibu bapa jika mula pukul 3pm dan dijadualkan habis dalam tempoh sejam memang akan tepat habis.

5)Tandas bersih. Anak tidak perlu menahan diri apabila hendak membuang air besar.

6)Cikgu-cikgu mempunya masa kalau anak datang awal, hendak ‘mencuri’ masa cikgu 20 minit bagi bertanyakan soalan subjek Matematik atau subjek lain. Cikgu tidak kelam-kabut untuk uruskan program sekolah pelancaran itu ini.

7)Guru besar, penolong kanan akademik dan penolong kanan murid menyambut pelajar dengan muka yang sangat manis di awal pagi. Belum sekali sejak saya menghantar anak-anak ke sekolah guru besar tidak menyambut pelajar mereka. Melainkan hampir setiap hari beliau ada untuk menyambut pelajar. Sesekali apabila pakaian sekolah pelajar senget dan selekeh, guru besar atau penolong akan akan tolong betulkan. Anak-anak terus bersembang macam-macam. Setakat nak berbual mesra dan ucap selamat pagi sambil lalu ke kelas, anak-anak kecil atau remaja tidak berasa takut.

8)Hendak hantar dan ambil anak senang. Cikgu dan rakan-rakan guru yang lain dengan pembesar suara duduk depan lobi mengawal selia anak-anakl yang duduk berbaris menunggu ibu bapa, membuat pengumuman ibu bapa siapa yang sudah sampai. Proses laju, anak-anak tidak sibuk nak main sebab pagi dah berkubang di padang.

9)Sampai sekolah, anak-anak pergi main bola dulu. Mereka dibenarkan bermain.

10) Tidak ada hari kecemerlangan. Jika dapat semua A (straight A’s) raikan saja bersama keluarga. Semua murid sama sahaja.

Tambah Siti, setiap sistem mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Namun tindakan untuk memindahkan sekolah anak-anak dibuat bagi mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa berdepan kurikulum nasional yang terlalu banyak, tinggi serta berpaksikan peperiksaan.

“Di sekolah lama, anak-anak mengeluh. Ada kalanya, cikgu tidak masuk kelas sebab menguruskan program yang dianjurkan. Saya tidak salahkan cikgu. Guru anak-anak saya semua guru yang berwibawa.

“Walaupun sekolah antarabangsa duit simpanan memang habis, tetapi kata-kata dariada Benjamin Franklin membuatkan rasa berasa ini pengorbanan yang berbaloi.

“An education is the invstment with the greatest return. KPM perlu kurangkan program. Beri ruang kepada guru melaksanakan tugas hakiki mereka iaitu mengajar,” tulisnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp