
Lebih 30 tahun mendidik, kini dua anak teruskan legasi Cikgu Roslah
Setiap kali melangkah ke bilik darjah, senyuman kecil yang menyapa wajah murid-murid sudah cukup untuk menghapuskan segala penat lelah seorang guru.
Itulah pengalaman berharga yang menjadi penguat semangat buat Roslah Ishak, 58, sepanjang lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia pendidikan.
Dilahirkan pada 19 Ogos 1967 di Lurah Bilut, Bentong, Pahang, Roslah menutup tirai kerjayanya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebu, Bentong, Pahang dengan penuh rasa syukur, selepas hampir 10 tahun berkhidmat di sekolah itu.
Baginya, profesion perguruan bukan sekadar kerjaya tetapi satu panggilan jiwa dan amanah yang digalas dengan penuh cinta.
Perjalanan Roslah bukan mudah. Pada 1992, demi mengejar cita-cita bergelar pendidik, beliau melangkah masuk ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu (kini dikenali Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail).
Namun, keputusan itu menguji jiwa seorang ibu apabila terpaksa meninggalkan suami, Roslan Endot dan anak sulungnya, Nurul Anira yang ketika itu baru berusia setahun setengah.

"Masa itu hati saya luluh, tetapi saya yakin ini jalan yang akan membuka ruang rezeki dan masa depan keluarga. Walaupun berat, saya kuatkan diri," ujarnya mengimbas kenangan lama.
Permohonan pertama ditolak, namun percubaan kedua membuahkan hasil. Detik itu menjadi titik mula perjalanan panjang Roslah dalam dunia pendidikan.
Selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Kuala Terengganu pada 1994, Roslah memulakan khidmatnya sebagai guru di SK Sulaiman di sini pada 1994 sebelum ditukarkan ke SK Lurah Bilut setahun kemudian.
Beliau berkhimat di SK Lurah Bilut selama 20 tahun dan kemudian meneruskan khidmatnya di SK Kampung Lebu sehingga bersara.
Sejak di bangku sekolah, Roslah sudah menunjukkan minat untuk mengajar apabila sering membantu guru dan rakan-rakan. Baginya, mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menyentuh hati dan membimbing sahsiah murid.
"Saya memang minat menjadi guru kerana saya percaya ilmu adalah kunci kejayaan. Mendidik anak bangsa bukan tugas biasa, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di akhirat,” katanya.
Menjadi guru perlukan kesabaran luar biasa
Sepanjang kerjayanya, Roslah mengajar Bahasa Melayu, Sejarah, Seni serta Muzik dan beliau mengakui, menjadi seorang guru menuntut kesabaran yang tinggi, apatah lagi apabila perlu berdepan cabaran teknologi serta dasar baharu pendidikan.
"Menjadi seorang guru memerlukan banyak kesabaran selain sentiasa memperbaiki kemahiran, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT). Sebagai golongan pelaksana dasar-dasar baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), perkembangan teknologi memang mencabar, namun ia perlu diharungi demi anak bangsa," jelasnya.

Terkenal dengan sifatnya yang penyayang dan dermawan dalam kalangan warga sekolah, Roslah menyifatkan setiap murid yang pernah dididiknya sebagai bintang yang akan terus bersinar.
"Setiap senyuman, setiap kejayaan dan setiap usaha murid saya adalah motivasi untuk saya bertahan selama ini. Mereka adalah inspirasi yang tidak ternilai,” katanya.
Selain Nurul Anira, 34; Roslah dan Roslan, 62, dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nurul Aina Alia, 30; Muhammad Ammar, 27, dan Nurul Aisyah Asilah, 24.
Selepas lebih 30 tahun mencurahkan tenaga, Roslah kini mahu menumpukan masa kepada keluarga namun dalam dirinya, jiwa seorang guru tidak pernah pudar.
"Walaupun sudah bersara, saya tetap seorang guru. Jiwa ini tetap bersama dunia pendidikan,” ujarnya yang turut menghadiahkan beg sekolah kepada dua murid yang berkongsi tarikh lahir sama dengannya iaitu 19 Ogos, sempena persaraannya.
Kini, setelah bersara, Roslah bersyukur apabila pengorbanan dan kasih sayangnya terhadap kerjaya menjadi inspirasi buat anak-anak apabila dua daripada empat cahaya matanya iaitu anak sulung, Nurul Anira dan anak bongsu, Nurul Aisyah Asilah memilih untuk menjadi pendidik, meneruskan legasi ibunya.

"Itulah hadiah paling bermakna buat saya. Saya mahu mereka bukan sahaja menjadi guru yang mengajar, tetapi pendidik yang mendidik dengan hati,” katanya.
Kini, apabila tirai kerjaya sudah dilabuhkan, Roslah membawa bersama segunung kenangan manis dan pahit tetapi satu perkara pasti, jasa seorang guru tetap hidup dalam hati murid-muridnya selama-lamanya.