Ikan buntal terkenal sebagai ikan beracun.
Ikan buntal terkenal sebagai ikan beracun.

Maut kerana ikan buntal! Ketahui 7 fakta penting berhubung ikan beracun ini

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
30 Mar 2023 01:02pm

Sedih dan menyayat hati! Begitulah yang dapat digambarkan berhubung kejadian makan hidangan ikan buntal oleh sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Chamek, Paloh, Johor.

Difahamkan, si isteri meninggal dunia manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) pada Sabtu.

Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, mangsa mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada pukul 3 petang serta dikejarkan ke hospital oleh anaknya.

Katanya, kira-kira sejam kemudian, suami mangsa pula mengalami gejala sama iaitu sesak nafas dan menggigil.

Sambung Tian Soon, pasangan suami isteri itu dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada pukul 5 petang dan isteri disahkan meninggal dunia pada pukul 7 malam manakala suaminya masih dirawat di ICU.

Ekoran tragedi itu, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi fakta berkaitan ikan buntal sebagai pengetahuan guru, pelajar serta ibu bapa.

Antara fakta yang paling popular adalah ikan buntal terkenal sebagai ikan beracun.

Bagaimanapun, terdapat banyak lagi fakta lain yang harus guru dan pelajar tahu mengenai ikan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Justeru, Sinar Bestari bawakan kepada anda sebahagian info penting untuk diberi perhatian.

1) Terdapat lebih daripada 100 spesies ikan buntal

Ikan buntal adalah spesies yang tergolong dalam keluarga Tetraodontidae. Ikan ini boleh didapati di kedua-dua air masin dan air tawar seperti Lautan Pasifik, Laut Merah, Sungai Mekong dan Sungai Amazon.

Ciri-ciri ikan beracun ini ia mempunyai badan yang panjang, meruncing, kepala bulat, bibir yang menonjol dan perut besar.

Ikan buntal mempunyai keupayaan untuk menukar arah apabila berenang dan berenang ke belakang.

2) Boleh membesar sehingga empat kaki

Ikan buntal terbesar diketahui sehingga empat kaki panjang atau kira-kira 47 inci. Panjangnya juga melebihi buaya bayi. Ikan ini terdapat di Australia, Jepun dan Afrika.

Saiz terkecil ikan buntal ini kurang daripada satu inci dan terdapat di sekitar India Barat Daya. Walaupun kerdil tetapi mereka mempunyai keupayaan menonjol iaitu boleh memilih untuk menjadi ikan jantan atau ikan betina.

3) Mengembung badannya sehingga tiga kali saiz biasa

Oleh kerana ikan buntal bergerak perlahan dan berwarna terang, ia menjadikan pemangsa lain dapat memakannya dengan mudah.

Untuk mengatasi masalah ini, ikan buntal akan mengembung dirinya dengan mengambil udara dari perut tiga kali lebih besar daripada saiz badannya dan menyerlahkan tulang belakang supaya mereka tidak menjadi makanan pemangsa.

Inilah sebabnya mengapa ikan buntal dipanggil ikan puffer, blowfish, baloonfish, globefish atau toadfish.

4) Salah satu haiwan yang paling beracun di dunia

Ikan buntal adalah haiwan beracun. Apabila dalam keadaan terancam, ikan puffer mengembung diri dan melepaskan toksin dari kulit yang dikenali sebagai Tetrodotoxin atau TTX iaitu bahan kimia yang 100 kali lebih toksik daripada sianida.

Di samping itu, ikan puffer juga boleh mengeluarkan toksin yang boleh membunuh 30 orang dewasa. Sesiapa yang terdedah kepada racun ini boleh mengalami kebas, lumpuh otot, pening, kegagalan jantung dan kematian.

5) Ikan buntal boleh bina sarang

Ikan buntal berwarna putih ternyata mempunyai tabiat yang unik iaitu membina sarang. Ikan buntal jantan membuat sarang dalam bentuk sfera pasir dan diameter enam kaki.

Tujuan mereka membuat sarang untuk menarik perhatian ikan betina. Di samping itu, ikan buntal jantan lain juga membuat sarang dengan tujuan yang berbeza. Mereka membuat sarang sperma untuk melindungi diri daripada pemangsa.

6) Gigi ikan buntal terus tumbuh

Ikan buntal sebenarnya mempunyai empat gigi. Dua di bahagian atas dan dua di bawah. Kedua-duanya bersatu agar kelihatan seperti satu gigi besar seperti tikus.

Gigi ikan buntal sentiasa berkembang jadi untuk memastikan ia pendek, mereka menggunakan gigi untuk membuka cengkerang, makan alga dan ikan-ikan di dasar lautan.

7) Ikan buntal adalah hidangan yang lazat di Jepun

Walaupun ia merupakan ikan beracun, ikan buntal adalah salah satu hidangan lazat di Jepun. Namun begitu, hidangan ini hanya boleh dimasak oleh chef terlatih yang mempunyai banyak pengalaman kerana mereka perlu mengeluarkan organ-organ beracun dan memasaknya dengan betul supaya tidak meracuni pelanggan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp