Muhammad Syukur atau Mowgli Malaysia kini menguruskan bengkel motosikal milik abangnya di Kampung Banggol Katong. Foto: Bernama
Muhammad Syukur atau Mowgli Malaysia kini menguruskan bengkel motosikal milik abangnya di Kampung Banggol Katong. Foto: Bernama

Mowgli Malaysia mampu baiki pelbagai jenis motosikal! ‘Keputusan pilih TVET adalah pilihan paling tepat’

15 Nov 2024 03:00pm

Pernah menjadi tumpuan dunia pada usia 14 tahun apabila foto keakrabannya bersama lebih 50 haiwan ternakan kerbau ayahnya tular sehingga dikenali sebagai Mowgli Malaysia.

Kepopularan yang dikecapi remaja itu menyebabkan dia disunting membintangi drama Budok Kuba, justeru mungkin ada beranggapan dia akan berhijrah ke Kuala Lumpur apabila dewasa kelak.

Namun, Muhammad Syukur Khamis yang kini menginjak usia 19 tahun, nekad untuk kekal menjadi Kampung Boy di negeri kelahirannya, Terengganu, kerana yakin peluang keemasan dapat diperoleh dengan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dimilikinya.

Menguruskan bengkel motosikal milik abangnya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, Terengganu, anak bongsu daripada lapan beradik itu mampu membaiki pelbagai jenis motosikal selepas mendapat ilmu dan kemahiran berkenaan semasa melanjutkan pengajian di GiatMara Kuala Telemong, Hulu Terengganu, Terengganu selama enam bulan.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

"Minat membaiki motosikal memang telah ada sejak saya bersekolah lagi dan pernah cuba menukar minyak hitam, tetapi tidak berjaya bahkan saya rosakkan pula motosikal itu. Namun, saya tidak putus asa dan nekad menyertai TVET.

"Selepas habis sekolah, saya ikuti Kursus Teknologi Motosikal dan tamat pada Jun tahun lepas.

"Ilmu diperoleh membolehkan saya membaiki motosikal sehingga abang (Mohd Alias) memberi kepercayaan untuk saya uruskan bengkelnya kerana dia sibuk sebagai tenaga pengajar di GiatMara Kuala Telemong,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menemuinya baru-baru ini di bengkel terbabit, pemuda berkenaan mengakui gembira dengan pemilihan kerjayanya itu kerana masih lagi mempunyai masa untuk menguruskan lebih 80 ekor kerbau, 30 ekor kambing dan tiga ekor lembu ternakan yang diwarisi daripada bapanya itu.

Tidak berasa penat melakukan dua kerja kerana masanya fleksibel, rutin hariannya akan bermula seawal selepas subuh dengan melepaskan haiwan ternakannya itu dari kandang sebelum memulakan kerja di bengkel dan sekembalinya, menguruskan binatang ternakannya pada sebelah petang.

"Memang ada peluang pekerjaan dalam TVET.

"Yang penting, kita kena betul-betul minat dengan bidang dipelajari, fokus semasa menjalani latihan. Jika masih mencari hala tuju selepas habis sekolah, sertailah TVET, seperti pusat GiatMara kerana banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

"Tak perlu berhijrah kerana dengan kemahiran, insya-ALLAH di mana-mana sahaja kita boleh ‘hidup’. TVET menjanjikan masa depan cerah,” katanya yang turut menyimpan impian mendalami ilmu membaiki kereta dan memiliki bengkel sendiri serta menjadi tenaga pengajar di institusi TVET.

Bersyukur apabila adik bongsunya mengikuti jejak langkahnya menjalani latihan kemahiran TVET, Mohd Alias, 34, berkata, pelajar institusi TVET tidak sekadar dibimbing dengan kemahiran semata-mata, tetapi juga turut dibantu sekiranya mereka ingin mengusahakan perusahaan sendiri.

Memberi contoh dirinya yang menerima bantuan peralatan membaiki motosikal bernilai RM10,000 daripada pusat GiatMara ketika mula membuka bengkel pada 2012, bekas pelatih Kursus Teknologi Motosikal ini berkata, betapa besarnya jasa TVET dan GiatMara mencorak kehidupannya hari ini.

"Malah, ada peralatan yang diberikan melalui Program Pembangunan Usahawan Teknikal, seperti compressor (pemampat) yang saya masih gunakan hingga kini.

"Besar sumbangan TVET dalam kehidupan saya dan ingin saya nasihatkan kepada lepasan TVET bahawa dengan kemahiran, dapat membuka ruang dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan, keusahawanan serta membuka pintu kepada pendapatan yang tinggi berdasarkan kompetensi dan prestasi individu.

"Cari pengalaman dahulu. Seperti saya, setelah tamat latihan pada 2010, saya bekerja di bengkel orang lain dengan gaji pokok RM12 sehari, tetapi tidak kisah asalkan dapat pengalaman dan ilmu,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Selain itu katanya, minat terhadap bidang kemahiran TVET dan disiplin juga memainkan peranan penting untuk fokus dengan pekerjaan yang akan dilakukan.

Buktinya kini, bengkel Mohd Alias yang menawarkan perkhidmatan membaik pulih motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi dan juga mengecat kenderaan, mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari dalam Terengganu, malah dari luar negeri ini juga.

Hal ini bermakna TVET berperanan dalam mempersiapkan kemahiran yang relevan untuk masa depan dan dapat memenuhi keperluan kemahiran sehingga tahap yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Pengurus Pusat GiatMara Kuala Telemong, Siti Naemah Abd Hakim Amir berkata, kursus yang ditawarkan di semua pusat GiatMara berbeza dan bergantung pada persekitaran di sesuatu kawasan bagi memastikan kebolehpasaran pelatihnya.

"Pusat GiatMara Kuala Telemong mempunyai tiga kursus yang relevan dengan masyarakat setempat, iaitu Kursus Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Kursus Teknologi Motosikal dan Kursus Pendawaian Elektrik.

"Modul setiap kursus juga akan sentiasa ditambah baik bersesuaian kehendak pasaran semasa.

"Misalnya, pelatih Kursus Teknologi Motosikal turut diberi latihan membaiki motosikal berkuasa tinggi memandangkan aktiviti menunggang motosikal seumpama itu menjadi kegemaran masyarakat,” katanya.

Menepis dakwaan TVET pilihan kedua lepasan pelajar sekolah yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, beliau berkata, ketika ini semakin ramai pelajar cemerlang memohon melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan di GiatMara.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

"Kami menerima banyak permohonan lepasan sekolah setiap kali pengambilan baharu dibuka.

"Bagaimanapun, kami terpaksa hadkan pengambilan pelatih mengikut kuota berdasarkan proses temu duga bagi memastikan yang dipilih betul-betul minat dengan bidang dimohon.

"Kami juga sentiasa menjalin hubungan rapat dengan pemain industri bagi TVET, di samping menerapkan elemen latihan kemahiran dan keusahawanan dalam pembelajaran,” ujarnya.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Dengan integrasi ketiga-tiga elemen ini, pelajar TVET bukan sahaja lebih bersedia untuk bekerja dalam industri, tetapi juga berpotensi untuk menjadi usahawan yang berjaya dan berpendapatan tinggi seterusnya dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Ia juga dapat memudahkan perjalanan kerjaya pelatih selain pihak kami sentiasa memantau perkembangan mereka selepas tamat latihan," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp