Gambar hiasan.

Kredit foto: Freepik
Gambar hiasan. Kredit foto: Freepik

Murid sekolah muntah, penting akibat pencemaran bau kimia, berikut 5 organ pernafasan yang boleh terjejas

AZLEENDA SAHALUDIN
04 Aug 2023 05:43pm
A
A
A

Pencemaran bau merupakan salah satu isu alam sekitar yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan juga boleh mengundang masalah kesihatan diri seseorang sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak.

Ia merupakan isu serius apabila melibatkan pembuangan sisa kimia toksik ke dalam sungai yang akhirnya memberi kesan terhadap kualiti udara sebagai sumber oksigen kepada manusia.

Khamis lalu negara digemparkan dengan penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Johor Bahru selama dua hari akibat pencemaran bau di kawasan tersebut sehingga mengakibatkan 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin mengalami simptom pening serta muntah.

Detik mencemaskan itu telah mengerahkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya serta jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Larkin ke tempat kejadian susulan panggilan kecemasan pencemaran bau kimia diterima.

Seperti dipetik portal tempatan, Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed berkata, panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu diterima pada jam 3.13 petang sebelum 17 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati 10 mangsa mengalami pening-pening dan dua murid mengalami muntah. PKO bertindak membuat ‘size up’ bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.

“Semua murid dan guru diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera. PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tertarik untuk berkongsi isu ini dengan lebih serius, Sinar Bestari ingin kongsikan lima organ pernafasan yang boleh terjejas sekiranya terhidu bahan kimia berbahaya.

Jom kita lihat!

1) Lapisan mukosa di kawasan hidung

Gejala yang sering terjadi adalah berhingus dan kerap bersin. Sekiranya berlarutan gejala ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman di bahagian sinus dan seseorang itu tidak boleh menghidu dengan baik.

Gambar hiasan.

Kredit foto: Freepik
Gambar hiasan. Kredit foto: Freepik

2) Farinks (Pharynx)

Farinks adalah bahagian di kawasan tekak manusia. Sekiranya terhidu udara yang bercampur dengan bahan kimia, tekak akan kerap berasa sakit dan kering. Sebagai tindak balas badan terhadap tekak yang kering, kahak akan terhasil dengan banyak. Jika kahak terkumpul dan tidak dapat dikeluarkan, jangkitan kuman di bahagian tekak boleh berlaku.

3) Larinks (Larynx)

Di kawasan larinks ini terdapat peti suara manusia yang boleh menjejaskan suara seseorang. Ia menjadi lebih kasar dan sukar difahami. Jika ini berlarutan, kanser peti suara boleh berlaku dan rawatan terbaik adalah pembedahan.

4) Bronkus (Bronchus)

Bronkus boleh mengalami pengecutan akibat terhidu bahan kimia berbahaya. Keadaan ini dipanggil bronchospasm. Erti kata lain ialah asma. Jika ia berlaku dengan cepat atau akut (acute) serta teruk (severe), ia boleh membawa maut.

5) Alveolus

Organ pernafasan ini jika terjejas boleh menyebabkan paru-paru hilang elastik iaitu tiada daya mengembang (expansion) dengan baik. Pertukaran gas (gas exchange) akan terjejas dan badan akan mendapat kurang oksigen serta merasa lesu (fatigue).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok