Azua Biyanti (kanan) menerima anugerah pingat Agok Bakti Lebah yang disampaikan oleh Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Azua Biyanti (kanan) menerima anugerah pingat Agok Bakti Lebah yang disampaikan oleh Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Persatuan Pandu Puteri platform martabatkan kebolehan wanita

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Aug 2023 11:29am

Selesa beraktiviti bersama-sama selain bertukar pendapat serta pengetahuan antara penyebab anak jati kelahiran Chemor, Perak ini memilih untuk aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Aktif dalam pelbagai acara anjuran PPPM sejak di bangku sekolah, Azua Biyanti Baharuddin turut diberi peluang menyandang jawatan Kapten Kadet Pandu Puteri ketika menuntut di Maktab Perguruan Perlis.

Jadi tidak hairanlah wanita berusia 47 itu dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Cawangan Perak PPPM pada 2 April lalu.

Jawatan itu disandang Azua Biyanti selepas memegang jawatan Setiausaha Kehormat Cawangan dan Pesuruhjaya Daerah Hilir Perak dalam Lembaga Eksekutif Cawangan Perak sejak 2005.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk melibatkan diri seterusnya bergiat aktif dalam PPPM kerana didorong oleh mendiang gurunya, Cikgu Ng Mei Kuan selain mendapat sokongan daripada suami yang sudah lama berkecimpung dalam bidang kesukarelawan.

“Kesibukan menggalas jawatan guru bukan alasan untuk tidak meneruskan penglibatan dalam PPPM malah saya disuntik semangat untuk menubuhkan pasukan Pandu Puteri sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Laksamana Raja Mahkota, Teluk Intan ketika mengajar di sana.

“Hasil usaha keras bersama pasukan melalui Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Negeri, saya telah menerima anugerah Tokoh Belia Perdana,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjaya Cawangan

Sebagai Ketua Pesuruhjaya Cawangan, menjadi tanggungjawabnya untuk menitikberatkan program yang membantu dan mendidik anak-anak gadis serta wanita agar mereka berkemahiran, berpengetahuan selain turut bersedia dalam apa jua cabaran.

Bukan itu sahaja, beliau yang pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris juga memaklumkan, PPPM menjadi pilihan kerana ia adalah salah satu persatuan yang menitikberatkan pendidikan bercorak tidak formal.

“Pelaksanaan program bukan formal ini mementingkan kaedah yang fleksibel, ceria dan aktif untuk memenuhi kehendak dan keperluan remaja serta wanita dewasa.

“Malah dikelilingi dengan kaum sejenis ini lebih memudahkan urusan kami untuk berkongsi minat dan kemahiran tanpa halangan.

“Ini akan membantu proses mendidik anak-anak gadis dan wanita dewasa dengan lebih mendalam akan perkembangan semasa, cakna dan cekap dalam pengurusan diri, keluarga serta masyarakat,” ujarnya lagi.

Amanah dan tanggungjawab

Walaupun diamanahkan• satu tanggungjawab yang besar, namun ada manisnya dalam perjalanan menerajui kepimpinan sebagai Ketua Pesuruhjaya Cawangan Perak.

Ujar Azua Biyanti, beliau pernah dianugerahkan pingat Agok Bakti Lebah, Anugerah kedua tertinggi untuk khidmat pemimpin serentak dengan Asia Pacific Leadership Award buat kali kedua di Sabah.

Ia antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau turut membuat persembahan nyanyian dan menari bersama kontingen Perak di hadapan tetamu Kehormat dan semua delegasi pada majlis tersebut.

Selain itu, ketika ditanya mengenai kepentingan persatuan itu khususnya melibatkan pelajar sekolah, ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, nilai kebersamaan semakin berkembang melalui kesukarelawan dan penting dalam membajai jati diri ahli sebagai pemimpin masa depan yang tidak mementingkan diri sendiri.

Bukan sahaja penting dari aspek akademik semata-mata tetapi nilai kokurikulum mereka juga dilihat sama dalam melahirkan pemimpin wanita yang berkaliber dan berkemahiran demi kemajuan negara.

“Once a guide, always a guide adalah ungkapan yang menjadi pegangan ahli PPPM, merupakan nilai kesetiaan dan semangat sisters in guiding menjadikan penubuhan ini terus bertahan.

“Tidak hanya menumpukan pembentukan jati diri seorang wanita khususnya murid sekolah, ia juga sebuah organisasi yang membina dan mencungkil bakat semula jadi anak-anak,” tuturnya.

Sejarah penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) selepas merdeka

1957 - PPPM bergabung dengan WAGGGS (Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia).

1960 - PPPM diterima sebagai Ahli Tenderfoot WAGGGS dalam Persidangan Dunia ke-17 di Athens, Greece.

1962 - PPPM diberi penghormatan menjadi penganjur dan tuan rumah Persidangan Pemimpin Pandu Puteri Sedunia yang diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Disember.

1964 - Pengarah Biro Dunia, Dame Leslie Whateley memberi pengiktirafan PPPM, gabungan Persatuan Pandu Puteri Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) hasil dari pembentukan Malaysia pada 1963.

1969 - Perletakkan Batu Asas Bangunan Ibu Pejabat dan Perasmian Bangunan Ibu Pejabat, Wisma Pandu Puteri oleh Sri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Intan Zaharah Ibni Almarhum Tengku Seri Setia Raja Terengganu.

1977-1986 - Sambutan Tahun Jubli Intan disambut dengan Jambori Jubli Intan selain Majlis Kebangsaan bersetuju menukarkan BROWNIE kepada TUNAS PUTERI. Pakaian seragam baru untuk Pandu Puteri, Tunas Puteri dan pemimpin mula digunakan di seluruh negara.

1987-1996 - PPPM menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Asia Pasifik, Persidangan Ketua Pesuruhjaya Komanwel dan Jambori Pandu Puteri Kebangsaan.

2004 - 55 orang ahli Renjer Puteri dan pemimpin mencipta sejarah mendaki Gunung Kinabalu dengan menyertai Ekspedisi Kinabalu Rakan Muda yang bertemakan ‘Menuju ke Puncak’.

2006 - Perubahan nama bahagian dalam PPPM berkuatkuasa. Tunas Puteri kepada Pandu Puteri Tunas; Pandu Puteri kepada Pandu Puteri Remaja; Renjer Puteri kepada Pandu Puteri Renjer dan Kadet Puteri kepada Pandu Puteri Kadet.

2007 - Pelaksanaan perlembagaan baharu Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp