Fenomena kepala air akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa orang yang disayangi.
Fenomena kepala air akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa orang yang disayangi.

Petanda awal kepala air di kawasan air terjun dan sungai, ini perkongsiannya

ROSHLAWATY MD RAIEH
03 Jul 2023 04:28pm
A
A
A

Kejadian kepala air yang sering berlaku di kawasan air terjun dan sungai sememangnya sukar diramal.

Ia kerana fenomena kepala air itu terjadi secara tiba-tiba apabila berlakunya hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu di kawasan berkenaan.

Terbaharu, kisah 10 sekeluarga yang yang pergi berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu, bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Susulan tragedi menyayat hati itu, Sinar Bestari kongsikan beberapa info ancaman kepala air yang sering berlaku di kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara.

Berikut maklumat penting untuk rujukan bersama.

Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, fenomena kepala air bermaksud aliran air dalam kuantiti yang besar dan kuat mengalir dari hulu sungai atau air terjun lalu turun ke hilir atau sungai utama dan kadangkala membawa bersamanya balak, bongkah batu dan sebagainya.

Dalam masa sama, kepala air juga membawa makna permulaan atau penghabisan air bah.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata, kejadian kepala air berlaku apabila tanah yang lemah mendapat beban atau diganggu dan tepu dengan air, mengalir ke cerun sebagai tindak balas graviti apabila hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

“Kebiasaannya, aliran puing ataupun debris flow ini bermula dari hulu di kawasan pergunungan, mempunyai halaju (hala laju) yang tinggi iaitu 14 hingga 15 meter sesaat terutamanya di kawasan ekopelancongan hingga menyebabkan perubahan morfologi signifikan di sepanjang dasar sungai dan lereng gunung.

“Apabila fenomena kepala air berlaku, ia akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa,” katanya seperti dipetik menerusi portal tempatan.

Sambung Md Nasir, selalunya fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal.

Antaranya perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air tenang bertukar deras selain sampah-sarap berkumpul di satu tempat.

“Kepala air ini dalam lima hingga 10 minit boleh naik satu hingga dua meter dan air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat, sangat laju.

“Adakalanya akan kedengaran bunyi letupan kuat, sama ada akar pokok tidak stabil, tanah pecah atau pokok tumbang hingga mengakibatkan kayu dan sisa menuju ke arah mereka.

“Jika terdengar bunyi letupan kuat ataupun apa-apa bunyi kuat luar biasa ketika bermandi-manda di sungai atau air terjun, segera tinggalkan kawasan sungai berkenaan demi keselamatan,” nasihat beliau.

Akhir sekali, Sinar Bestari tidak ketinggalan turut menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi peraturan serta prosedur ditetapkan agar tidak timbul sebarang kejadian di kemudian hari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok