Tangkap layar petisyen yang dimuat naik di Twitter Tiada Guru.
Tangkap layar petisyen yang dimuat naik di Twitter Tiada Guru.

Petisyen tuntut perlindungan Cikgu Nurhaizah

AZLEENDA SAHALUDIN
21 Jul 2023 03:22pm
A
A
A

Baru-baru ini dunia pendidikan dikejutkan dengan isu tiga bekas pelajar sekolah yang menang dalam tuntutan saman ke atas seorang guru kerana tidak hadir mengajar selama tujuh bulan pada tahun 2015.

Mereka yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, Sabah, akan menerima pampasan sebanyak RM50,000 dalam saman yang difailkan pada 7 Disember 2020 ke atas bekas guru bahasa Inggeris, Mohd Jainal Jamran yang juga merupakan defendan pertama.

Rentetan daripada kes ini, apa yang mengejutkan warga maya apabila satu-persatu isu dalaman lain terbongkar dan ia sememangnya memberi tanggapan negatif kepada sistem pengurusan sekolah.

Mana tidaknya ketika meninjau ke ruangan aplikasi Twitter, Sinar Bestari agak terkejut melihat satu hantaran yang dimuat naik di akaun bernama Tiada Guru tentang isu yang hangat diperkatakan ini.

Menerusi hantaran tersebut, satu petisyen telah dibuat bagi melindungi seorang guru, Cikgu Nurhaizah Ejab dari sekolah sama yang dikatakan bertindak sebagai pemberi maklumat (whistleblower) tentang insiden-insiden negatif berlaku dalam sekolah sejak 2015.

Dalam petisyen berkenaan turut menyatakan, pada November 2022 kenyataan daripada Cikgu Nurhaizah di mahkamah tinggi tidak mendapat perhatian media disebabkan oleh Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Oleh itu, dalam usaha mewujudkan kebenaran tentang ketidakadilan yang berlaku di sekolah berkenaan, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi hantaran dimuat naik oleh Tiada Guru yang berkait rapat dengan kenyataan dilontarkan Cikgu Nurhaizah.

Jom kita baca.

Artikel Berkaitan:

1) Pasti ramai tidak tahu Cikgu Nurhaizah merupakan seorang guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk memberi kenyataan di mahkamah tinggi susulan isu seorang guru tidak hadir mengajar selama tujuh bulan.

2) Hampir 100 orang guru di sekolah tersebut namun hanya beliau satu-satunya guru yang berani membuat aduan tentang ketidakhadiran guru bahasa Inggeris ke sekolah walaupun ia antara isu hangat diperkatakan di sekolah ketika itu.

3) Lebih memeranjatkan, pada 2015 aduan ketidakhadiran guru berkenaan telah dibuat Cikgu Nurhaizah kepada pengetua sekolah (pada ketika itu) tetapi ditolak selain turut diminta untuk menulis satu laporan penuh tentang isu terbabit.

“Saya telah membuat salinan Buku Rekod dan telah menunjukkan bukti kepada pengetua sekolah tetapi ditolak dan diminta untuk menulis satu laporan penuh.

“Apabila saya telah menulis laporan tersebut, namun masih ditolak serta dikatakan ia adalah bukti yang tidak berkualiti dan tidak akan digunakan di mahkamah kelak,” katanya.

4) Selain aduan yang tidak diterima pihak atasan sekolah, anak kelahiran Kota Belud, Sabah, itu turut menerima ugutan bunuh di samping tayar keretanya juga ditoreh.

Tindakannya yang membuat aduan tentang ketidakhadiran cikgu berkenaan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula dikatakan telah mencemarkan nama baik sekolah.

Malah, beliau juga turut kehilangan sokongan daripada seluruh warga sekolah di atas tindakan beraninya itu.

5) Bukan itu sahaja, rakan-rakan guru yang lain juga tidak mahu bersama-samanya dalam menyuarakan kebenaran yang berlaku di sekolah. Menurut Cikgu Nurhaizah, terdapat seorang guru yang turut diugut oleh pengetua sekiranya membuat aduan tentang isu ketidakhadiran itu.

“Guru yang digelar Cikgu Eddy merupakan Ketua Panitia Sejarah yang menyatakan dirinya telah dimalukan oleh pengetua di dalam kumpulan sembang aplikasi Whatsapp.

“Beliau dimalukan hanya kerana pengetua terbabit ingin melindungi guru subjek Sejarah yang juga tidak hadir mengajar,” ujarnya.

6) Selain itu, Cikgu Eddy mendakwa pengetua sekolah juga telah mereka dan mengada-adakan program-program sekolah selain turut memalsukan markah pelajar bagi memperlihatkan rekod sekolah berkenaan ‘cantik’.

7) Pada 2017, usaha Cikgu Nurhaizah untuk menuntut keadilan pelajar-pelajarnya diteruskan dengan merekod suasana kelas menggunakan kamera GoPro yang diletakkan di dalam kotak kitar semula.

“80 rakaman video telah direkodkan memperlihatkan suasana kelas 4 Sains Sukan yang ketiadaaan guru, Mohd Jainal Jamran masuk mengajar.

“Rakaman bertarikh 25 September 2017 iaitu hari Isnin menunjukkan situasi selepas lima minit sepatutnya kelas bermula selepas waktu rehat tetapi tiada guru yang masuk ke kelas,” tambahnya lagi.

8) Sebagai seorang penjawat awam yang masih bergelar guru di bawah KPM selain berani menyuarakan kebenaran, bukankah sepatutnya Cikgu Nurhaizah ini dilindungi?

Sinar Bestari berharap agar kemelut yang berlaku di sekolah terbabit dapat diselesaikan dengan adil dan saksama serta mereka yang bersalah dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok