Murid di sekolah rendah sewajarnya mengetahui dan memahami tentang ilmu-ilmu berkaitan solat sebelum melangkah kaki ke peringkat sekolah menengah. Kredit: Facebook SK Tebelu D'Persado
Murid di sekolah rendah sewajarnya mengetahui dan memahami tentang ilmu-ilmu berkaitan solat sebelum melangkah kaki ke peringkat sekolah menengah. Kredit: Facebook SK Tebelu D'Persado

Program J-Qaf capai objektif

08 Dec 2023 02:15pm

Program J-Qaf adalah suatu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah.

Namun persoalannya, adakah pengajaran program itu dalam kalangan murid berjaya dicapai?

Kali ini, ustaz ingin kongsikan pencapaian murid mengenai penghayatan amalan Fardhu Ain, iaitu pengetahuan dan amalan solat murid Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJK Tamil (SJKT) dan Asli.

Hal ini kerana solat adalah tiang agama buat umat Islam yang perlu diajarkan bahkan Islam menyuruh melakukannya sejak umur tujuh tahun lagi.

Seramai 108 responden dari SJKC dan SJKT serta 101 responden dari Sekolah Asli berjaya diambil maklum balas mengenai pengetahuan dan amalan solat murid.

Malah, sampling turut dilakukan secara rawak di negeri Selangor.

Dapatan kutipan maklum balas mengenai tahap pengetahuan solat dalam kalangan murid SJKC dan SJKT berada tahap yang tinggi iaitu skor min 4.19 (Landell, 1977) dan pencapaian nilai peratusnya sebanyak 83.8 peratus.

Manakala tahap pengetahuan solat oleh murid di Sekolah Asli pula pada tahap sederhana iaitu skor min 3.51 dengan nilai peratus sebanyak 70.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

Secara umumnya, tahap pencapaian murid di sekolah Cina, Tamil dan Asli tentang pengetahuan solat menunjukkan pencapaian yang baik iaitu antara nilai peratus 70.2 peratus hingga 83.8 peratus.

Perkara tersebut bertepatan hasrat dan aspirasi KPM terhadap keberkesanan program J-Qaf dalam menghayati kefarduan solat dalam kalangan murid di sekolah.

Dengan kata lainnya, murid di sekolah rendah sewajarnya mengetahui dan memahami tentang ilmu-ilmu berkaitan solat sebelum mereka melangkah kaki ke peringkat sekolah menengah seperti aspek rukun, sah batal solat, syarat wajib dan lain-lain lagi.

Maklum balas seterusnya adalah berkaitan mengenai tahap amalan solat dalam kalangan murid SKJC, SKJT dan Asli.

Secara praktikalnya, penghayatan amalan solat adalah lebih rendah pencapaian berbanding pencapaian pengetahuan murid mengenai solat.

Tahap pengamalan solat oleh murid Cina dan Tamil ialah skor min 3.68 iaitu pada tahap minima yang tinggi (Landell, 1977) dan nilai peratusnya sebanyak 73.6 peratus.

Manakala tahap pengamalan solat oleh murid Asli pula ialah skor min 3.33 iaitu pada tahap sederhana dengan nilai peratus 66.6 peratus.

Hal ini menunjukkan tahap pencapaian murid di sekolah Cina, Tamil dan Asli tentang amalan solat adalah membanggakan kerana berada antara nilai peratus 66.6 peratus hingga 73.6 peratus.

Akhir sekali, ustaz ingin kongsikan perkara yang paling ramai murid di sekolah Cina, Tamil dan Asli sangat bersetuju tentang pengetahuan mereka terhadap solat ialah aspek berwuduk dahulu sebelum solat.

Mengenai amalan solat pula, mereka sangat berminat menghadiri kem solat jika dianjurkan oleh pihak sekolah namun bagi murid di sekolah Asli menyatakan merasakan ketenangan ketika menunaikan solat.

Kesimpulannya, pengetahuan dan amalan solat dalam kalangan murid Islam terutamanya di sekolah rendah berkenaan penting dipelajari dan dikuasai.

Hal ini terbukti dengan kegagalan menguasai ilmu berkaitan solat sebagai perkara asas dalam agama mengakibatkan kegagalan murid dalam penghayatan ibadah lain dalam agama Islam.

Maklumat Penulis

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat, Selangor, Dr Hasnurol Hashim

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp