Relevankah belajar subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris?

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
25 Aug 2023 09:21am
A
A
A



Kepentingan bahasa Inggeris pada era globalisasi kini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Bukan sahaja digunakan sebagai pengantara komunikasi di peringkat antarabangsa, ia juga turut berfungsi sebagai medium penyampaian ilmu.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan mempertimbangkan supaya subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris seperti zaman pentadbirannya pada awal 2003.

No Image Caption



Ujar beliau, terdapat banyak input atau maklumat tentang subjek berkenaan yang berasal daripada bahasa tersebut,

Jelasnya lagi, sekiranya ingin diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ia melibatkan tambahan kerja yang lebih rumit atau menyusahkan.

“Penterjemah pula harus mempunyai kefahaman baik terhadap subjek dan lancar menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa Melayu.

“Tidak ramai mempunyai kelayakan itu, penemuan baharu dalam Sains dan Matematik berubah setiap hari untuk menterjemahkannya memerlukan sepasukan tentera penterjemah,” katanya dalam satu ciapan di X pada Rabu.

Artikel Berkaitan:


Hantaran Mahathir itu kemudian mendapat perhatian daripada orang ramai termasuk seorang penulis buku genre sains, Zamir Mohyedin.

Ujar penulis buku Genesis itu, perkara itu dilihat tidak wajar kerana pelajar sudah pun mempelajari bahasa Inggeris dalam kelas yang berlainan.

Ulas beliau, subjek tersebut hakikatnya cukup kritikal dan sukar dikuasai.

Justeru menurutnya, ia perlu dipelajari menerusi bahasa Melayu kerana pemahaman ilmu yang kritikal mampu difahami dengan laras bahasa ibunda.

No Image Caption



Apa pandangan orang ramai?

Sementara itu orang ramai meluahkan pandangan yang berbeza-beza mengenai mengenai pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.

Menurut seorang pembantu pensyarah, Azwan Fakhruddin, 25, pengajian subjek berkenaan tidak harus dipisahkan daripada bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda rata-rata rakyat Malaysia.

No Image Caption



“Setiap negara mempunyai bahasa tersendiri dan bahasa Melayu merupakan identiti buat negara ini jadi kenapa perlu ketepikannya daripada dijadikan dalam pengajian ilmu.

“Terdapat banyak negara seperti Jepun, Korea dan China menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri dalam pengajian sains dan matematik dan terbukti mereka mampu cemerlang dalam bidang teknologi.

“Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66 tahun dan lantas apa yang dibanggakan kalau identiti kita sendiri iaitu bahasa Melayu tidak diangkat,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu ketika dihubungi Sinar Bestari.

Sementara itu, guru agama, Khaulah Ramizu, 24, berpandangan, tiada keperluan untuk mewajibkan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris memandangkan pelajar kini masih terkial-kial untuk beradaptasi dengan silibus pembelajaran baharu yang sukar.

No Image Caption



“Hendak menguasai bahasa Melayu dengan baik pun ramai pelajar tidak mampu apatah hendak mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris.

“Ia mampu memberi impak buruk kepada mereka seperti membunuh minat untuk belajar,” katanya yang menetap di Temerloh, Pahang.

Dalam pada itu, Hasif Zakwan Hamidi, 24, berkata, sekiranya kerajaan tetap ingin melaksanakan sistem tersebut, ia perlu dirancang sebaiknya.

No Image Caption



“Sistem ini perlu dirangka sebaik mungkin dan tidak boleh dilaksanakan mengejut seperti pelajar Tahun Lima di sekolah rendah yang selama ini belajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tiba-tiba terpaksa belajar dalam bahasa Inggeris.

“Kalu hendak laksanakan, mesti mula dari peringkat paling awal iaitu semenjak Tahun Satu sekolah rendah lagi,” ulasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok