Sematkan nilai sebenar sebuah kemerdekaan

AZLEENDA SAHALUDIN
01 Sep 2023 09:21am
A
A
A

Dilahirkan sebagai rakyat Malaysia menjadi satu keuntungan kerana bukan sahaja boleh menikmati kekayaan hasil negara tetapi juga berpeluang untuk hidup harmoni dengan pelbagai kaum dan bangsa.

Keunikan ini turut dirasai apabila Malaysia merupakan antara negara yang berjaya meraih kemerdekaan dengan perundingan dan bukan peperangan sama seperti negara jiran yang lain.

Hasilnya, nilai sebuah kemerdekaan itu dapat dicapai tanpa pertumpahan darah dan lebih dahsyat lagi meragut puluhan nyawa yang tidak berdosa.

Ishak Saat
Ishak Saat

Menurut Pensyarah, Fakulti Sains Manusia (Jabatan Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Ishak Saat, walaupun tidak mudah untuk negara mencapai kemerdekaan setelah melalui pelbagai halangan serta rintangan usaha keras pemimpin negara pada waktu itu membolehkan rakyat hari ini menikmati kekayaan dan keharmonian negara.

“Rakyat perlu sedar dan tahu tiada faedahnya jika perlu menempuhi tempoh peperangan kerana bukan sahaja kehilangan nyawa tetapi juga terpaksa berdepan dengan risiko penyakit dan kekurangan makanan.

“Justeru, kemerdekaan yang dirasai hari ini hendaklah dihargai dan dipertahankan tanpa mengira apa jua bangsa dalam usaha mengeratkan lagi hubungan sesama kita,” ujarnya kepada •Sinar Bestari •baru-baru ini.

Tambah Ishak, semua masyarakat perlu diberi kesedaran kerana tidak akan ada majoriti sesebuah bangsa yang akan memerintah Malaysia melainkan jalinan kerjasama semua kaum dan menerima seadanya supaya kekayaan negara dapat dinikmati bersama.

Artikel Berkaitan:

Sejarah kebangkitan Tanah Melayu

Menyelusuri sejarah kebangkitan Tanah Melayu, Ishak sempat berkongsi ilmu tentang kebangkitan tokoh yang berani dalam menentang penjajah sekitar tahun 1824.

Ujarnya, tokoh terkenal seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said dan ramai lagi bangkit menentang British yang ketika itu menakluki Tanah Melayu selain turut memperjuangkan hak orang Melayu.

Namun, mereka ini berdepan dengan kekalahan disebabkan faktor teknologi senjata yang tidak secanggih orang British selain komunikasi yang terhalang ketika itu.

Masuk abad ke-20, selepas perang dunia kedua kebanyakan negara mula bangkit menuntut kemerdekaan dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada orang Melayu untuk melakukan perkara yang sama.

“Antara negara yang mula bangkit ialah India, Filipina, China dan Indonesia yang memberi pengaruh kepada orang Melayu untuk turut bangkit menentang penaklukan orang Inggeris.

“Dan yang terawal mempunyai kesedaran ialah Sultan Idris Training College atau lebih dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

“Bila semua bakal guru dilatih di Maktab ini, maka ramai guru-guru mempunyai kesedaran yang tinggi dan antara yang terkenal ialah Abdul Hadi dan Aminuddin Baki,” jelasnya lagi.

Penjajahan Tanah Melayu

Berbicara mengenai kewujudan Tanah Melayu, Ishak menegaskan, tiada spesifik tempat atau kawasan yang boleh dinyatakan Tanah Melayu.

Ini kerana terdapat pelbagai pecahan rumpun Melayu yang terdiri daripada Jawa atau Bugis yang menjadikan Tanah Melayu itu terpecah kepada beberapa bahagian.

“Ketika dijajah dan melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada 1874, alam Melayu ini terbahagi kepada dua bahagian yang melibatkan campur tangan British dan Belanda.

“Selat Melaka ketika itu dijadikan sebagai sempadan di mana Utara Selat diberikan kepada British dan Selatan Selat diberikan kepada Belanda yang kini dikenali sebagai Indonesia,” tuturnya.

Ulas beliau lanjut, Tanah Melayu pula terpecah kepada tiga bentuk wilayah yang dikenali sebagai negeri Melayu Bersekutu, negeri Melayu Tidak Bersekutu dan negeri Selat.

Dengan kedatangan British serta segala fahaman dan ideologi yang dibawa melalui sistem Presiden dan penasihat telah menjadikan kebangkitan rakyat negara pada ketika itu untuk berani berjuang mengusir penjajah.

Walaupun berdepan kekalahan disebabkan faktor kemunduran teknologi, namun ia tetap tidak mematahkan semangat para pejuang ini agar hak orang Melayu ketika itu terjamin dan terbela.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok