Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan anak-anak lebih-lebih lagi jika mereka mengadu kepanasan sebagai langkah pencegahan strok haba.
Kredit foto: Freepik
Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan anak-anak lebih-lebih lagi jika mereka mengadu kepanasan sebagai langkah pencegahan strok haba. Kredit foto: Freepik

Strok haba boleh bawa maut, ikuti langkah pencegahan elak anak terkena gejala ini

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
28 Apr 2023 08:40pm

Strok haba merupakan satu keadaan yang sangat serius akibat daripada pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak lagi mampu menstabilkan suhu.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40 darjah Celsius atau lebih tinggi lagi yang dikenali sebagai hipertermia.

Menurut perkongsian Dr Samhan di laman Twitternya, strok haba sangat bahaya dan berisiko tinggi kepada golongan warga emas terutamanya mereka yang mengalami sakit jantung, buah pinggang dan paru-paru; golongan atlet yang selalu berada di padang atau gelanggang terbuka dan terdedah kepada matahari; pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada matahari serta kanak-kanak.

Lebih memeranjatkan, baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang disyaki terkena strok haba dan dehidrasi.

Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan anak-anak lebih-lebih lagi jika mereka mengadu kepanasan sebagai langkah pencegahan strok haba.
Kredit foto: Freepik
Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan anak-anak lebih-lebih lagi jika mereka mengadu kepanasan sebagai langkah pencegahan strok haba. Kredit foto: Freepik



Menurut perkongsian berita tempatan, ibu kepada kanak-kanak itu, Wanie Alias memaklumkan bahawa anaknya, Muhamad Syamil Aqil sangat aktif pada hari raya pertama dan kedua sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.

Malah laporan bedah siasat juga mendapati jantung dan buah pinggang Muhamad Syamil sudah hangus begitu juga air dan darah dalam tubuh badannya sudah kering.

Berita sedih ini perlu dipandang serius dan diambil iktibar oleh semua masyarakat khususnya ibu bapa untuk lebih peka tentang isu kesihatan lebih-lebih lagi pada musim panas ketika ini.

Sehubungan itu, Sinar Bestari ingin berkongsi gejala strok haba untuk perhatian ibu bapa serta langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan anak-anak terkena gelaja itu.

Artikel Berkaitan:


Jom kita lihat.

Gejala strok haba

1) Suhu badan meningkat sehingga 40 darjah Celsius atau lebih tinggi.

2) Muka berubah menjadi merah.

3) Peluh keluar dengan banyak.

4) Anak mengadu sakit kepala.

5) Mual dan muntah-muntah.

6) Air kencing berwarna keruh.

7) Ruam merah timbul pada kulit.

8) Pengsan atau tidak sedarkan diri.

Langkah ibu bapa mengelakkan anak-anak terkena strok haba.

1) Pastikan rumah mempunyai aliran udara yang baik bagi mengelakkan anak tersedut karbon dioksida terlalu banyak.

2) Pasangkan kipas angin kerana ia mampu menurunkan risiko kematian bayi atau kanak-kanak secara mengejut sebanyak 72 peratus mengikut kajian.

3) Laraskan suhu penyaman udara kepada 24 darjah Celsius kerana ia sudah mampu mengoptimumkan suhu badan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

4) Jangan sesekali memakaikan anak-anak pakaian yang terlalu tebal dan ketat.

5) Beri anak-anak minum air kosong dengan kerap walaupun mereka tidak mengadu dahaga.

6) Sediakan makanan yang banyak air dan bersup.

7) Elakkan dari membiarkan anak-anak tidur dengan berselimut.

8) Sekiranya anak mengadu kepanasan segera bantu mereka untuk menurunkan suhu dengan lap muka dan badan menggunakan kain yang basah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp