No Image Caption

Talian hayat untuk graduan

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
14 Jul 2023 03:33pm
A
A
A

Tiada pekerjaan sejurus menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta sememangnya menimbulkan dilema dalam diri setiap graduan.

Ini kerana tanpa peluang tersebut, tiada sebarang pengalaman dapat diperolehi bagi membuktikan kualiti kemahiran mereka.

Bagaimanapun, para graduan jangan risau kerana terdapat beberapa platform yang dapat membantu membina karier anda secara tidak langsung.

Jom kita lihat!

1. MySTEP

Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) merupakan peluang pekerjaan jangka pendek yang disediakan kerajaan bagi membantu mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun daripada pelbagai latar belakang akademik bagi meningkatkan kebolehpasaran.

Mereka yang mengikuti program tersebut bakal ditempatkan di pelbagai kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan rakan strategik.

Tempoh kontrak yang diberikan adalah maksimum setahun atau minimum satu bulan.

Artikel Berkaitan:

Kadar upah yang diberikan adalah mengikut kesetaraan pencapaian akademik iaitu sekitar RM2,100 bagi Ijazah Sarjana Muda dan ke atas manakala RM1,900 untuk lepasan diploma dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga berpeluang menjalani program berkenaan dengan kadar upah sekitar RM1,700 manakala bagi yang tiada sijil SPM adalah RM1,500.

Boleh layari pautan https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/mystep.html untuk maklumat lanjut.

2. Sukarelawan JKM

Sering terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan atau dengan program kebajikan semasa pengajian?

Jika ya, andalah orang yang dicari bagi skuad sukarelawan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Antara skop tugasannya adalah memberi perkhidmatan sokongan sosial, bimbingan dan kaunseling kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Petugas sukarelawan juga terlibat dalam pengurusan bencana seperti membantu memindahkan mangsa dan menyediakan keperluan kepada mereka.

Boleh layari pautan https://mycorporatecarejkm.jkm.gov.my/public-volunteer/create untuk maklumat lanjut.

3. Kursus jangka masa pendek

Graduan yang ingin menambah lebih banyak kemahiran bagi meningkatkan kualiti keupayaan dan kebolehpasaran boleh mengikuti kursus jangka masa pendek yang ditawarkan mana-mana agensi kerajaan atau swasta seperti di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL).

Institut di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu menawarkan beberapa kursus dalam bidang teknologi penyelenggaraan mekanikal, grafik, elektrik dan pengurusan sistem komputer.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, orang ramai boleh layari pautan https://www.ilpkl.gov.my/ekjp/

Selain itu, terdapat beberapa pusat latihan lain yang turut menawarkan kursus jangka masa pendek seperti;

1. Institut di bawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA)

https://www.tvetmara.edu.my/index.php/kemasukan/programjangkapendek

2. Institut Teknikal Jepun Malaysia

https://www.jmti.gov.my/index.php/ms/program/kursus-jangka-pendek

Semoga maklumat di atas dapat membantu pembaca Sinar Bestari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok