No Image Caption

Tuisyen Rahmah bantu pelajar keluarga B40 dan M40

26 Jul 2023 09:14am

Biar miskin harta, jangan miskin pendidikan. Itu antara ungkapan pepatah Cina yang keluar daripada bibir pengasas Fast Academy, Adam Kelvin.

Jelas anak kelahiran Johor itu, terdapat sesetengah generasi muda kini yang memilih untuk terjun ke dalam bidang hiburan seperti menjadi pempengaruh dan mengabaikan aspek penguasaan ilmu lantaran mendapat wang yang banyak.

Ujar graduan UNITAR International University (UNITAR) itu, hakikatnya meskipun kadang kala pendidikan tidak dapat membantu menaikkan taraf kehidupan seseorang, namun ia mampu menyumbang kepada pengurusan hidup yang lebih tersusun dan bijaksana.

Adam Kelvin
Adam Kelvin

Namun begitu, bapa kepada seorang cahaya mata itu memahami situasi kebanyakan masyarakat kini yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi sehingga menghimpit perbelanjaan bagi pendidikan.

Lantaran daripada isu tersebut, tidak menghairankan ramai remaja kini yang luntur semangat untuk meneruskan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Peka dengan masalah yang timbul, pihaknya memperkenalkan Tuisyen Rahmah bagi membantu pendidikan para pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) mulai Ogos ini.

Adam yang sudah berpengalaman menjalankan tuisyen semenjak menuntut di universiti berkata, kelas tersebut akan diadakan dengan secara atas talian dengan kadar RM60 bagi satu subjek bermula daripada Tahun 5 sekolah rendah hingga Tingkatan 5 sekolah menengah.

Justeru, ibu bapa tidak perlu risau untuk memikirkan tentang kos pengangkutan bagi menghantar anak mereka ke pusat tuisyen kerana ia tidak dijalankan secara fizikal dan harganya juga berpatutan.

Jelasnya, harga bagi sesebuah subjek di pusat tuisyen adalah sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga RM100 dan sudah pasti bukan mudah untuk mana-mana isi rumah merangka perbelanjaan bagi pendidikan.

Tuisyen berkenaan akan tertumpu kepada beberapa subjek termasuk matematik, sains, fizik, biologi dan Bahasa Melayu.

“Kaedah pembelajaran yang digunakan memang akan tertumpu dari segi cara memberi kefahaman lebih mendalam tetapi santai kepada para pelajar.

“Sekarang ini silibus yang diterapkan sama ada sekolah rendah atau menengah memang berbeza berbanding dahulu dan sangat menguji minda.

“Contohnya kalau di sekolah menengah, mereka sudah mula belajar tentang hartanah, kiraan cukai pendapatan, insuran dan juga kad kredit,” katanya ketika diubungi Sinar Bestari pada Selasa.

No Image Caption

Adam juga menambah, perkara tersebut turut berlaku kepada pelajar sekolah rendah yang mana mereka telah mula didedahkan dengan pengenalan terhadap topik algebra semenjak darjah enam lagi.

Oleh itu, sudah pasti ia memerlukan kehalusan teknik dalam memberikan penjelasan

Sementara itu, seorang lagi guru Fast Academy, Syifa Kamardin mengulas, ia bukan sahaja berlaku bagi subjek matematik tetapi juga Bahasa Melayu.

“Memandangkan silibus semakin kritikal dan jauh berbeza berbanding sebelum, maka perkara itu menjadi satu cabaran buat mereka untuk memahami pembelajaran dengan baik.

“Misalan, mereka yang berada di sekolah rendah sekitar Tahun Dua dan Tiga ketika ini perlu belajar mencari isi tersirat dalam sesebuah ayat sedangkan ini merupakan topik yang generasi kita pelajari semasa di sekolah menengah.

“Jadi, dengan tahap umur mereka yang masih sebegitu ditambah silibus tersebut jika tiada pengenalan konsep tersusun, ia boleh membunuh minat murid untuk belajar. Maka, kita perlu menelusuri kaedah pengajaran kepada mereka dengan lebih berseni,” ujarnya yang juga merupakan pasangan hidup kepada Adam.

Dia juga berkata, kehadiran Fast Academy itu bukan untuk menjadi saingan buat sekolah tetapi sebagai pelengkap dalam membantu kefahaman pelajar.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp