Warden asrama bekerja 24 jam, sentiasa dicari selesaikan masalah!
Warden asrama antara individu yang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat apabila berlakunya kejadian tidak diingini membabitkan pelajar di asrama sekolah.
Ini disebabkan mereka ialah individu yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal berkaitan pelajar merangkumi disiplin, kesihatan pelajar, kemasukan penghuni asrama, jadual waktu harian asrama dan sebagainya.
Dalam perkara ini, warden merupakan orang pertama dicari untuk bertindak atas segala perkara yang berlaku. Kerana itu, mereka (warden) perlu banyakkan bersabar dan kuatkan semangat!
Pengguna Facebook, Dr Zulkifli Hussain yang kini Timbalan Pengarah II (Sains Sosial), Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kaunselor pernah dilantik sebagai warden asrama di sebuah sekolah.
Kongsi Zulkifli, menjadi warden asrama menguji dirinya kerana jawatan itu seolah-olah bekerja 24 jam tanpa henti.
“Jadi warden asrama ini, hati kena kuat dalam menghadapi apa saja situasi di sekolah dan asrama.
“Jiwa juga kena kental dan cekal serta banyakkan bersabar,” tulisnya seperti dipetik di laman sosial Facebook.
Walaupun pelbagai cabaran dilalui, namun Zulkifli tetap tenang mengalas tugas dan tanggungjawab diberikan.
Selanjutnya, jom ikuti pahit manis beliau sebagai warden asrama yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada guru yang sedang dan bakal menjadi warden kelak!
*****
Jadi guru asrama atau warden asrama memang menguji. Betul tak?
Siapa yang pernah dan sedang jadi warden asrama boleh kongsi pengalaman masing-masing. Tapi bagi sesiapa yang tidak berpeluang menjadi, pada saya macam tidak lengkap pengalaman sebagai pendidik.
Kalau hendak tengok karekter pelajar yang sebenar, makanya kena jadi warden asrama.
Apa yang mencabarnya menjadi warden asrama ini?
1) Masa
Kita seolah-olah bekerja 24 jam. Balik daripada sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, kita kena bergelumang dengan kerenah pelajar di asrama.
Malam, ketika gosok gigi, cuci muka, basuh kaki dan seterusnya mahu sarung selimut untuk tidur, tiba-tiba pintu rumah kena ketuk.
“Cikgu, saya demam.”
Segera bangun dari katil dan terus ke hospital bawa pelajar yang demam tadi. Kalau sampai di hospital jam 12 tengah malam, rasanya dapat selesaikan 12.30 malam ke? Awas, tidak ya. Tunggulah beberapa jam di hospital untuk urus pelajar.
Tersengguk-sengguklah di kerusi tempat menunggu.
Selesai di hospital dalam pukul 2 atau 3 pagi, balik ke sekolah dan esoknya kena beraksi di kelas pulak. Tapi anehnya cikgu-cikgu ini macam sudah kebal. Seolah ada kuasa ghaib yang memberi tenaga kepada mereka.
2) Tugas
Warden asrama ini seperti ayah dan ibu kepada pelajar di asrama. Kebersihan, keselamatan dan keceriaan kena jaga. Sebelum pelajar tinggalkan asrama, cadar kena tegang, tuala di jemur di ampaian, loker tersusun, tandas bersih, kasut selipar tersusun, bilik belajar kemas dan macam-macam lagi.
Anak-anak ini biasalah. Kita suruh kadang macam kita larang. Ada yang patuh alhamdulillah, yang tidak patuh? Kena sabar, kalau tidak sabar memang darah naik.
3) Kerjasama
Banyak jenis kerjasama yang saya maksudkan.
Pertama, pasukan warden asrama - Kalau pasukan jenis ‘power rangers’, memang seronok. Kerja penat macam mana pun, warden tetap gembira.
Kedua, komitmen pengurusan - Kalau pengetua dan timbalan pengetua jenis sanggup singsing lengan dengan warden, kerja penat macam mana pun, warden tetap gembira.
Ketiga, kerjasama pelajar dan yang ini paling mahal. Kalau pelajar jenis patuh rasanya ini bonus, tetapi langit tidak sentiasa cerah ya.
Keempat, kerjasama ibu bapa - Jika ibu bapa yang boleh bekerjasama dengan warden ini juga bonus. Tetapi sepanjang lima tahun sebagai warden asrama, saya dapat rasa semua kerjasama ini.
4) Urus hal-hal yang tidak terduga
Anak-anak tetap anak-anak. Kita bagi makan, kita bermain dekat padang dengan mereka, kita bawa ke hospital dan sebagainya, kalau mereka hendak buat hal mereka akan buat juga. Maklum sahajalah budak-budak. Kalau ada kes disiplin, kita kena sentiasa bersedia. Pendek kata, tidak tidur malam itu kalau kes disiplin berlaku.
Tetapi saya tidak mahu melihat cabaran ini sebagai isu yang hendak diratap-ratap. Saya secara peribadi, melihat tugas warden sebagai satu peluang untuk saya belajar.
Sebab?
1) Kita kerja lebih tiada masalah. Ya. Jadi warden asrama ini umpama kerja 24 jam. Lebih baik kita kerja lebih daripada tidak cukup. Semasa kita ditemu duga untuk masuk kerja sebagai guru - 'tukar tayar bas pun sanggup kan...'
2) Kita berbakti kepada anak orang, insya-ALLAH anak kita juga dilayan baik oleh guru-gurunya nanti. Buat sehabis baik untuk didik pelajar. Mudahkan urusan semua orang insya-ALLAH urusan kita pasti dipermudahkan. Ini merupakan matlamat kerohanian yang perlu ditanam dalam diri seorang warden.
3) Ruang untuk belajar mengenal karekter anak-anak remaja. Setiap pelajar membawa karekter berbeza. Setiap tingkatan juga berbeza perangainya. Keterbezaan ini perlu dilayan dengan kaedah yang berbeza yang akhirnya akan mematangkan warden tersebut.
4) Medan latihan untuk bersabar.
Emosi kita adalah pilihan sendiri. Dalam banyak situasi, menjadi warden memang kena banyak sabar. Kita berurusan dengan ‘human being’ yang unik.
5) Medan latihan kerohanian.
Kita suruh pelajar berjemaah di surau, takkanlah kita tidak ke surau? Yang ini memang menarik. Kita akan membentuk diri kita yang suka solat berjemaah, baca al-Quran, puasa sunat dan sebagainya. Latihan ini memang mahal untuk saya. Alhamdulillah.
Kesimpulannya, bertugas sebagai warden asrama dengan penuh kesedaran ketuhanan. Anggaplah tugas warden sebagai ladang pahala untuk kita. Belajar terus belajar untuk bersabar, berkomunikasi berkesan dengan pelajar dan ibu bapa serta belajar psikologi perkembangan remaja.
Pendek kata, kena jadi warden asrama yang berkemahiran dan berilmu.
Untuk pihak pengurusan (pengetua dan timbalan), guna prinsip balkoni & dance floor (balkoni & lantai tarian).
Duduk di balkoni untuk memantau secara efisyen dan duduk di lantai tarian untuk menari dan bersingsing lengan dengan warden asrama. Keberadaan pihak pengurusan amat bermakna untuk warden.
Untuk para ibu bapa, kurangkan indeks rungutan. Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang banyak memberi perkara positif.
Faham bebanan dan kekangan warden. Beri sokongan dengan cara masing-masing kepada warden secara berterusan.
Hakikatnya inilah dunia pendidikan. Setiap isu yang berlaku adalah peluang untuk kita belajar dan belajar.