4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PDP di sekolah
4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PDP di sekolah

4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PdP di sekolah

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
26 Jul 2022 04:47pm

Empat penyelidik dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membangunkan Modul STEM Covid-19 (Covid-19 STEM Module) bagi membantu guru-guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Salah seorang penyelidiknya, Dr Connie Cassy Ompok berkata, modul yang berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu adalah hasil inspirasi daripada Geran Penyelidikan Khas Pasca Covid-19.

“Modul ini menggunakan pendekatan inkuiri bagi memberi peluang kepada murid-murid mempelajari isu semasa seperti Covid-19 sekali gus melibatkan diri secara aktif dalam penerokaan setiap akiviti yang melibatkan pembelajaran STEM.

“Modul ini juga turut memberi fokus kepada kepentingan penjagaan kebersihan diri dan impaknya terhadap penaakulan moral murid-murid.

“Malah, pembelajaran kesihatan berkenaan secara tidak langsung membawa mereka meneroka punca seseorang itu mudah dijangkiti penyakit dan kaedah yang boleh menghindarkan diri daripada dijangkiti,” katanya yang juga Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, FPP, UMS.

Selain Connie Cassy, turut membangunkan Modul STEM Covid-19 adalah Dr Noraini Said, Phreoza Dayzency Missie dan Profesor Datuk Dr Noraini Idris sebagai penasihat projek.

Sementara itu, di awal fasa pembangunan modul, timbul persoalan tentang bagaimanakah strategi yang terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada murid, di samping membantu mereka mengetahui amalan kebersihan yang perlu diterapkan.

“Bagi menjawab persoalan tersebut, murid-murid telah didedahkan dengan 10 aktiviti berkaitan kebersihan diri menggunakan pembelajaran STEM seterusnya membantu penaakulan moral mereka seiring dengan perkembangan semasa ke fasa peralihan endemik,” kata Connie Cassy dengan menambah Modul STEM Covid-19 ini turut membantu guru dalam memanfaatkan ruang bilik darjah sebagai makmal Sains.

Dalam pada itu, Connie berkata, aktiviti dalam modul tersebut memenuhi standard pembelajaran tunjang sains.

Antaranya menunjukkan sikap ingin tahu, sistematik, bekerjasama dan bertanggungjawab, membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan dan menerangkan pemerhatian melalui hasil kerja atau lisan.

“Aktiviti yang dikenali sebagai Pertumbuhan Bakteria (Growing Bacteria) telah menyaksikan murid mampu mengenali nama bentuk bakteria seperti Cocci, Bacilli, Vibrio dan Spirochaete.

“Selain itu, aktiviti lain iaitu Calit dan Lihat (Swab and See) merupakan sebuah aktiviti yang memberi pendedahan awal untuk melihat bakteria menerusi mikroskop bagi tujuan membuat ramalan, pemerhatian, melaksanakan penilaian dan perbandingan akan objek atau tempat yang amat kotor.

“Bagi aktiviti Making Toy Soap pula, ia memperkenalkan konsep Matematik iaitu kemahiran mengukur di samping mempelajari konsep masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Connie Cassy memaklumkan bahawa Modul STEM Covid-19 telah dinobatkan sebagai penerima pingat perak dalam Ekspo Kecemerlangan Rekacipta UMS 2020.

“Ia juga mengharumkan nama UMS apabila digunakan dalam artikel International Conference on Art, Design, Education and Cultural Studies (ICADECS) pada 2 Jun 2021.

“Sehubungan itu, para guru atau ibu bapa yang berminat untuk mengakses modul ini boleh melayari laman web https://online.anyflip.com/hkgyn/hcfd/index.html,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat

Hasilkan pakaian guna tekstil kitar semula, pelajar Taylor’s University sokong Matlamat SDG


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp