HomeIPTBuletin IPTBengkel dan pengurusan MYSUN, usaha ke arah kelestarian kampus

Bengkel dan pengurusan MYSUN, usaha ke arah kelestarian kampus

Rangkaian Universiti Lestari Malaysia (MYSUN) telah menjalankan bengkel dan pengurusan kelestarian yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama empat hari bermula 4 hingga 7 Julai lalu.

Bengkel ini merupakan sesi kerja yang melibatkan rakan kongsi MYSUN dalam usaha meningkatkan lagi kelestarian kampus.

Menurut Dekan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Profesor Dr Nor Aziah Abd Manaf, MYSUN merupakan projek pembinaan Kapasiti di bawah Erasmus+ bertujuan untuk mempromosikan kampus universiti di Malaysia yang lestari dan cekap tenaga.

Tambah beliau, cabaran utama dalam menjayakan misi ini adalah menitipkan kepentingan kelestarian dan sifat tanggungjawab kepada semua yang terlibat supaya masing-masing dapat memainkan peranan.

“Oleh itu, kerjasama antara universiti-universiti, agensi kerajaan dan industri amat penting dalam perkongsian cadangan serta idea agar kampus universiti dapat dijadikan sebuah tempat yang lestari.

“Kepentingan kelestarian dalam projek MYSUN ini juga bukan sahaja tertumpu kepada kampus universiti semata-mata.

“Segala nilai murni yang ditonjolkan menerusi projek ini sebenarnya mampu diamalkan oleh setiap individu dan seterusnya dapat meningkatkan lagi tahap kualiti kehidupan.

Selaras dengan keyakinan ini, MYSUN telah menghasilkan modul kelestarian melalui MOOC sebagai agen pendidikan kepada umum,” ujarnya kepada Sinar Bestari ketika dihubungi, baru-baru ini.

Sepanjang bengkel berlangsung, pelbagai hasil kajian telah dibincangkan yang memberi penekanan terhadap kelestarian dalam aspek persekitaran kampus dengan penglibatan pelajar dan staf institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di dalam atau luar negara.

Antara rakan strategik yang menyertai bengkel ini ialah UUM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Multimedia University (MMU).

Walaupun bengkel ini diadakan secara bersemuka, tetapi ia turut dihadiri oleh wakil daripada beberapa universiti di Eropah seperti University of Alicante (UA), Sepanyol, FH JOANNEUM Gesellschaft mbH (FHJ), Austria serta University of Genoa (UniGe), Itali secara atas talian.

Artikel berkaitan

UUM tersenarai 148 universiti terbaik Asia

Projek lestari alam di sekolah buahkan hasil lumayan, galak penglibatan guru dan pelajar

Projek pelajar bina sangkar kitar semula untuk manfaat komuniti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok