HomeIPTBuletin IPT17 sukarelawan UTHM pupuk kesedaran keselamatan jalan raya

17 sukarelawan UTHM pupuk kesedaran keselamatan jalan raya

Kreatif dan sarat dengan mesej keselamatan jalan raya. Itulah pendekatan diambil sekumpulan 17 sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketika menjalankan program khidmat masyarakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rejo Sari, Senggarang, Johor.

Sukarelawaan itu terdiri daripada ahli Kumpulan Fokus Advanced Pavement Materials (PAVE-MAT), staf Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dan dua pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Sukarelawan UTHM bersama-sama pelajar SK Seri Rejo Sari menjayakan program khidmat masyarakat, baru-baru ini. Foto/UTHM.

Program berkenaan selain memberi peluang kepada sukarelawan dan pelajar sekolah bersama-sama melakukan aktiviti membersih dan mengecat koridor seumpama jalan raya ia turut diisi dengan ceramah keselamatan jalan raya yang bertajuk ‘Kepentingan Papan Tanda dan Keselamatan Jalan Raya’ dalam usaha meningkatkan kesedaran seramai 295 pelajar Tahun Satu hingga Lima sekolah berkenaan.

Hasil selepas mengecat koridor sebagai laluan jalan raya. Foto/UTHM.

Menurut pengarah program, Dr Nurul Hidayah Mohd Kamaruddin, SK Seri Rejo Sari adalah sekolah angkat di bawah Kumpulan Fokus PAVE-MAT.

“Tahun lalu, kami pernah mengadakan webinar bersama sekolah ini secara dalam talian bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, untuk tahun ini, kami sangat teruja kerana dapat menjayakannya secara fizikal dengan melakukan pelbagai aktiviti.

“Kami berpeluang membersihkan koridor bangunan sekolah, mengecat koridor seperti jalan raya dan membantu penandaan garis jalan bersama pelajar Tahun Enam,” ujarnya seperti dipetik portal berita UTHM, hari ini.

Antara pelajar yang turut mengambil bahagian dalam program dianjurkan sukarelawan UTHM. Foto/UTHM.

Program terbabit mendapat tajaan kewangan daripada Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, UTHM.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Rejo Sari, Mohd Iswandy Sahlan menzahirkan penghargaannya atas inisiatif yang dilakukan sukarelawan terbabit.

“Saya mewakili pihak sekolah berterima kasih kepada UTHM kerana sudi menyumbang tenaga dan ilmu yang sangat berguna kepada pelajar.

“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” tuturnya.

Penceramah sesi pemindahan ilmu, Dr Mohammad Nasir Mohamad Taher menyampaikan cenderahati kepada pelajar yang membuat persembahan syair. Foto/UTHM.

Artikel berkaitan

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia

UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok