UMK-ROYAL BELOM3
UMK-ROYAL BELOM3

30 belia sertai program sukarelawan di Taman Negara Royal Belum

Norliza Wasilan
22 Sep 2022 11:25am
A
A
A

Program Sukarelawan Belia Warisan Dunia Hutan Simpan Royal Belum yang diadakan di Pulau Banding, Gerik, Perak, selama 10 hari bermula Isnin lalu telah disertai seramai 30 belia tempatan dan juga antarabangsa.

Selain membabitkan penyertaan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sukarelawan dari Indonesia, Somalia, Bangladesh, Iran dan China adalah antara yang turut tidak melepaskan peluang mengambil bahagian.

Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, program berkenaan adalah inisiatif Sukarelawan Warisan Dunia UNESCO 2022 yang diterajui Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (UMK-TRaCe), Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan kerjasama Malaysia National Commission for UNESCO dan Yayasan Pulau Banding.

Ujarnya, pelbagai aktiviti dirancang sepanjang program berlangsung bagi memberi kesedaran kepada belia, masyarakat serta pihak berwajib menghargai, melindungi dan mempromosikan Taman Negara Royal Belum.

“Program ini juga memberi peluang kepada pemain industri untuk bersama-sama mengukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Ini termasuklah sokongan penajaan bagi aktiviti dirancang sepanjang program berlangsung membabitkan khidmat bakti bersama komuniti, pemeliharaan dan pemuliharaan eko sistem hutan,” ujarnya.

Dr Razli (dua dari kanan) ketika merasmikan Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), sempena Majlis World Heritage Volunteers (WHV) – Together In Trace-Ing Rainforest Biodiversity, Culture and Education For Preservation And Conservation Of Royal Belum State Park, Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian World Heritage Volunteers (WHV) – Together In Trace-Ing Rainforest Biodiversity, Culture and Education For Preservation And Conservation Of Royal Belum State Park, Malaysia, di Pulau Banding, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Arham Abdullah; Dekan FSB, Profesor Madya Ts Dr Mohamad Faiz Mohd Amin; Pengarah UMK TRaCe, Dr Muhammad Firdaus Abdul Karim dan Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Che Omar serta Pengarah Pengurusan Belum Rainforest, Azmil Khuzaid Zakaria.

Sementara itu, Dr Muhammad Firdaus berkata, program sukarelawan itu akan memberi penekanan kepada daya tahan dan mobilisasi semula tapak warisan dunia pasca pandemik Covid-19.

Ujarnya, inisiatif WHV di bawah kerangka UNESCO World Heritage Education Programme itu akan membantu menggalakkan belia melakukan tindakan konkrit dan memainkan peranan aktif dalam perlindungan, pemeliharaan dan mempromosi tapak Warisan Dunia.

“Inisiatif WHV ini adalah kali pertama dianjurkan di hutan simpan Royal Belum dan mendapat kerjasama cukup baik daripada rakan penaja dan rakan strategik.

“Kerjasama ini diharap dapat memberi nafas baru bagi memastikan kelestarian dan kemampanan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan hutan hujan tropika,” katanya.

Artikel berkaitan

Hadif harumkan nama negara dalam Muay Thai, impi jadi peninju profesional

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

Aktiviti kesukarelawan universiti di Sarawak, angkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia berbilang kaum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok