HomeIPTIPT tidak terkecuali daripada kes buli

IPT tidak terkecuali daripada kes buli

Menerusi tingkah laku ‘maladaptif’, pembuli yang tidak mendapat sesuatu yang diingini cenderung melepaskan masalah yang dihadapi dengan cara mencari mangsa-mangsa yang boleh dimanipulasi.” Demikian kata Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Nurul ‘Ain Mohd Daud, ketika diminta mengulas mengenai tingkah laku seorang pembuli.

Sambungnya, golongan disasar itu dinamakan sebagai mangsa buli berdasarkan ciri perwatakannya yang lemah, menunjukkan sikap tidak melawan dan mempunyai tahap sosioekonomi rendah berbanding si pelaku.

“Seseorang membuli juga mengambil kira faktor pengalaman sewaktu mereka masih kecil pernah dibuli ataupun suspek menghadapi isu psikologi ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Contohnya, masalah kewangan, percintaan atau konflik identiti diri yang menjadikan si pelaku untuk bertindak negatif dan agresif terhadap pelajar lain yang tidak bersalah.

“Selain itu, tingkah laku buli juga berlaku disebabkan keinginan pelajar senior untuk mengekalkan identiti sosial dengan mewujudkan geng yang tersendiri,” jelasnya yang membuktikan kes itu tidak semestinya melibatkan suspek berbadan besar sahaja.

Masalah buli

Tambah Nurul ‘Ain, stres juga boleh menjadi punca berlakunya masalah buli dalam kalangan pelajar di IPT.

“Dalam konteks pembelajaran di universiti, mahasiswa yang mengalami tekanan perasaan dalam usaha mengekalkan prestasi akademik terbaik juga terdorong untuk menjadi pembuli disebabkan kecewa dengan sistem pendidikan yang menyekat hasrat mereka mencapai kejayaan.

“Sebagai contoh, buli akademik berlaku apabila ia melibatkan suspek bertindak membuli orang lain dalam jurusan yang sama untuk menyempurnakan tugasan mereka.

“Golongan ini mensasarkan pelajar yang pandai kerana sedar ketidakmampuan diri untuk melakukan yang terbaik dalam akademik, namun rentan untuk menjadikan mereka mangsa bagi menyiapkan tugasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul ‘Ain menjelaskan, terdapat juga masalah sesetengah pelajar yang mementingkan diri dengan melengkapkan tugasan akademik tanpa memberikan ahli kumpulan lain peluang untuk menyumbang tenaga menyiapkan kerja bersama-sama.

Tutur beliau, buli siber juga merupakan masalah penindasan yang popular dalam kalangan pelajar di IPT hari ini.

“Aktiviti ‘prank’ di media sosial ini memberikan idea kepada pembuli untuk mengenakan mangsa di media sosial.

“Dalam aspek hubungan interpersonal, buli siber ini melibatkan aktiviti memuat naik dan memanipulasi gambar di platform tersebut tanpa keizinan orang yang dibuli.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan pelajar yang ditindas berasa malu dan boleh mencetuskan ketegangan emosi serta kebimbangan terhadap diri mangsa,” sambungnya.

Tindakan diambil

Berhubung kes ini, Nurul ‘Ain menggariskan tiga tindakan yang wajar diambil oleh mangsa buli untuk menghentikan penindasan yang dilakukan terhadap mereka di IPT.

“Pertama, adukan masalah kepada hal ehwal pelajar IPT masing-masing untuk membolehkan siasatan dijalankan.

“Berdasarkan laporan yang diterima, pihak kaunselor akan mengenal pasti kesahihan fakta kejadian itu berlaku di dalam atau di luar universiti, berkenaan suspek dan juga mangsa buli.

“Mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan secara terperinci dan jika didapati bersalah, hukuman akan diberikan berdasarkan tahap keseriusan kes tersebut,” ujarnya.

Nurul ‘Ain menjelaskan hukuman yang akan dijatuhkan kepada pembuli termasuk diberikan surat amaran, diletakkan di bawah pengawasan pihak universiti, digantung atau dibuang dari universiti.

Beritahunya lagi, tindakan kedua yang wajar diambil adalah suspek dan mangsa menjalani sesi pemulihan menerusi beberapa intervensi yang bersesuaian untuk mencegah isu ini daripada berulang lagi.

Antaranya, Terapi Kognitif Tingkah Laku, Terapi Rasional Emotif Tingkah laku dan Terapi Pilihan Teori Realiti yang memfokuskan kepada pemikiran, tingkah laku dan emosi seseorang individu terbabit.

“Tindakan yang terakhir adalah kempen pencegahan juga turut dilaksanakan untuk membanteras gejala ini agar ia tidak berleluasa di mana pelajar akan diberikan kesedaran menerusi pelbagai program, aktiviti dan webinar serta pelaksanaan modul khusus berkaitan buli.

“Pihak pengurusan fakulti dan universiti juga akan membuat penyaringan mengenai tahap tekanan psikologikal dan tahap kemarahan pelajar secara berkala.

“Ini bagi memastikan kes yang memerlukan khidmat kaunseling tidak tercicir untuk mendapatkan bantuan dan psikososial daripada barisan pakar psikologi, kaunselor dan kesihatan mental yang ada di kampus masing-masing,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan 

IPT disaran hasilkan penyelidikan berimpak kepada masyarakat  

KPM lancar portal aduan buli

Bukan kali pertama, ini 4 kes buli sehingga menyebabkan kematian yang pernah berlaku di Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok