upm midi panah
upm midi panah

Kreatif! Pelajar MIDI UPM tonjol kreativiti reka bentuk perindustrian

Norliza Wasilan
19 Oct 2022 10:19am
A
A
A

Kreatif dan penuh inovasi. Itulah gambaran yang boleh diberikan kepada rekaan kerusi makan kanak-kanak, pinggan untuk pesakit Parkinson dan pelindung dada wanita berhijab dihasilkan pelajar tahun akhir Master Inovasi Reka Bentuk Perindustrian (MIDI), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kreativiti pelajar-pelajar berkenaan mencuri tumpuan ramai ketika rekaan mereka dipamerkan di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB) UPM, baru-baru ini.

Muhd Azizi Ahmad yang menghasilkan C.A.C iaitu kerusi makan makan kanak-kanak yang boleh dilaraskan ketinggiannya mengikut usia berkata, inovasi itu memudahkan ibu bapa.

Ini kerana, ujarnya, kerusi berkenaan boleh diubah ketinggiannya tanpa menggunakan skrew atau perkasas bertukang dan sesuai untuk kanak-kanak berumur antara 2 hingga 12 tahun.

Tuturnya, inovasi itu adalah hasil pemerhatiannya selepas melihat kerusi makan kanak-kanak sedia ada tidak lagi sesuai untuk anak-anak yang mula memasuki usia tiga tahun.

“Keistimewaannya ialah ia sangat memudahkan ibu bapa apabila kerusi ini boleh diubah ketinggian tanpa menggunakan skrew atau perkakas bertukang.

“Selalunya, apabila masuk umur 3 tahun, kanak-kanak perlu menggunakan kerusi orang dewasa yang tidak sesuai buat mereka sehingga membataskan aktiviti dan pergerakan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhd Azizi memaklumkan, ciptaannya menggunakan kayu sebagai bahan asas.

“Kayu adalah bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan produk ini kerana ia senang dilupuskan dan paling penting dapat menjaga alam sekitar,” tuturnya lagi.

Inovasi pinggan untuk pesakit Parkinson dan juga warga emas.

Seorang lagi pelajar MIDI, Azri Hafizee Hariri pula telah menghasilkan Piatto yang bermaksud pinggan dalam bahasa Itali, khas untuk pesakit parkinson ataupun warga emas.

Dia memaklumkan, idea itu timbul selepas melihat golongan ini menghadapi kesukaran menggunakan pinggan biasa kerana keadaan tangan yang lemah.

“Saya mendapat idea menghasilkan pinggan yang mempunyai tombol di tengah permukaan pinggan bagi memudahkan mereka makan.

“Tombol itu adalah titik tengah yang memudahkan warga tua atau mereka yang menghidap parkinson mengambil makanan dalam pinggan menggunakan satu tangan sahaja,” ujarnya lagi.

Inovasi pinggan ini direka khas mempunyai tombol di tengah permukaan pinggan dan agak berat.

Mengulas lanjut, Azri Hafizee berkata, pinggan berkenaan agak berat dan tidak mudah bergerak, sesuai untuk kegunaan golongan itu.

Siti Ruzimah Kamaruddin yang tampil dengan inovasi pakaian sukan memanah untuk wanita berhijab pula berkata, rekaannya adalah selaras dengan kehendak syariat dalam tatatertib pemakaian bersukan.

Tuturnya, rekaannya akan membantu wanita berhijab menutup aurat ketika melakukan sukan memanah.

“Produk yang dibangunkan ialah pelindung dada yang mengawal tudung wanita berhijab daripada terbuka aurat di bahagian leher, bahu dan dada.

“Ini juga dapat meningkatkan keselamatan dan prestasi atlet pemanah wanita berhijab kerana pemakaian hijab ketika memanah menyukarkan atlet mencapai teknik sempurna.

“Saya berharap ia dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada atlet dalam negara, malah berpotensi untuk diguna pakai pemanah muslimah dari negara Islam lain,” tambahnya.

Inovasi pakaian sukan memanah untuk wanita berhijab yang selaras dengan kehendak syariat dalam tatatertib pemakaian bersukan.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akedemik dan Hal Ehwal Pelajar FRSB, Profesor Madya Dr Zalina Shari berkata, program itu mampu membantu pelajar berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mempersembahkan idea masing-masing.

Tambahnya, pada masa sama, ia dapat melahirkan insan berkemahiran tinggi selaras keperluan industri masa kini.

“Setiap pelajar ditugaskan menghasilkan idea dan solusi melalui kaedah reka bentuk bagi membantu serta memberikan manfaat kepada organisasi syarikat mahupun individu tertentu,” tuturnya.

Artikel berkaitan

UPM raih kemenangan berganda Anugerah Inovasi negeri Selangor 2022

Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu

22 penyelidik UMP tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok