pelajar ipt
pelajar ipt

Langkah demi langkah hasilkan kajian lepas (literature review) terbaik untuk pelajar IPT

Rasyidah Zulkifi
11 Feb 2022 03:41pm
A
A
A

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) pasti tidak terlepas dengan tugasan berbentuk kajian mini.

Dalam kajian tersebut, terdapat bahagian di mana pelajar perlu mengarang esei berkaitan kajian lepas atau lebih dikenali sebagai ‘literature review’ (LR).

Lazimnya, pelajar IPT akan mencari banyak jurnal sebagai rujukan bagi menyokong kajian yang dilakukan.

Baca juga:

UTM hasilkan kajian persekitaran maya 3D

Projek kajian pelajar KV Keningau bawa tuah. Bakal terbit dalam jurnal antarabangsa. Tahniah dik!

Seterusnya, pelajar akan memasukkan isi penting dari jurnal-jurnal tersebut ke dalam LR mereka.

Kebiasaannya, bahan sokongan untuk LR boleh didapati di perpustakaan biasa atau diakses secara maya.

Terdapat langkah demi langkah bagi menghasilkan sebuah kajian lepas yang terbaik dan padat untuk pelajar IPT.

Perkongsian tersebut disediakan oleh blog Petua Menulis.

**

LR merupakan analisis berbentuk kritikan membangun atau menjatuhkan terhadap suatu cabang ilmu. LR bukannya ringkasan terhadap sesebuah kajian lain tetapi merupakan cerita ilmu berkenaan permasalahan kajian tertentu yang dilakukan oleh orang lain.

Tujuan LR adalah untuk membentuk sebuah kerangka teori untuk bidang penelitian, menjelaskan definisi, kata kunci dan terminologi dan menentukan kajian, model, dan lain-lain yang menyokong topik.

Empat langkah yang perlu diambil apabila melakukan LR;

Langkah 1: Membaca jurnal yang berkaitan

Langkah 2: Menilai semua jurnal yang dibaca

Langkah 3: Membuat ringkasan

Langkah 4: Menggabungkan menjadi satu esei yang lengkap mengenai suatu masalah berkenaan kajian.

Langkah 1: Membaca jurnal yang berkaitan

Anda perlu mengenalpasti bahan-bahan yang akan dimasukkan dalam LR. Sumber utama yang perlu dicari berdasarkan tulisan-tulisan yang diterbitkan seperti dalam jurnal, laporan, kajian atau mendapatkan maklumat daripada pakar dalam bidang berkenaan melalui wawancara sama ada secara bersemuka atau maya.

Analisis akan dilakukan terhadap sumber yang telah dipilih melalui beberapa tahap bacaan iaitu;

Tahap 1: Melihat struktur teks

Setelah dapat sesuatu jurnal, anda perlu melihat struktur dan teks berkenaan seperti isi kandungan, abstrak, pengenalan, sub topik yang dibincangkan dan keseluruhan jurnal berkenaan sama ada sesuai atau tidak dengan apa yang dicari. Jurnal berkenaan perlu berkaitan dengan apa yang ingin anda kaji dalam kajian anda.

Tahap 2: Membaca dengan terperinci

Apabila jurnal berkenaan sesuai berdasarkan pemerhatian anda, anda perlu membacanya dengan lebih terperinci untuk mencari penelitian tertentu yang akan menyokong LR anda nanti. Teknik ini membolehkan anda untuk memastikan kesesuaian bahan berkenaan.

Pada peringkat ini, anda perlu membaca sebanyak mungkin bahan bacaan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dan pengertian umum mengenai kajian-kajian yang ada di dalam bidang kajian itu. Anda harus objektif apabila melakukan pemerhatian.

Pada peringkat ini juga, tujuan membaca adalah untuk memberi penilaian dan kritikan terhadap kajian orang lain yang dipilih. Jadi, anda tidak sepatutnya memilih kajian yang sependapat dengan apa yang anda anggap benar sahaja. Anda sepatutnya membaca semua tulisan yang berkaitan secara telus walaupun anda tidak bersetuju dengan pendapat penulis tersebut.

Panduan membaca jurnal adalah melalui proses ‘skimming’, membaca jurnal secara cepat sambil mengambil isi penting dari setiap perenggan. Proses ini dapat membantu anda melakukan penelitian dengan lebih cepat dan menyeluruh. Kedua, ‘paragraph statement’ (pernyataan utama di dalam suatu perenggan) yang membantu anda untuk memahami apakah pernyataan utama dalam perenggan berkenaan. Ketiga,‘document statement’ (masalah kajian), pernyataan utama dalam dokumen yang dibaca dapat membantu anda memahami tema secara keseluruhan.

Langkah 2: Menilai semua jurnal yang dibaca

Semasa menilai sesebuah jurnal yang akan dijadikan rujukan dalam LR, beberapa perkara perlu diteliti bagi memastikan kesesuaian sumber berkenaan;

A. Keutamaan penulis

Apabila meneliti jurnal yang ingin dijadikan LR, keutamaan seseorang penulis juga perlu diambil kira. Anda tidak boleh menjadikan semua jurnal yang diari sebagai bahan rujukan tanpa menyemak kredibiliti bahan berkenaan termasuk penulisnya.

Jurnal di internet tanpa sumber tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk LR. Walau bagaimanapun, sekiranya jurnal berkenaan anda dapati di laman sesawang kerajaan yang boleh dipercayai seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cyber Security, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebagainya, statistik atau maklumat berkenaan boleh digunakan.

B. Kandungan jurnal berkualiti

Sumber bacaan yang digunakan juga perlulah terdiri daripada jurnal yang berkualiti. Ini bermakna, tulisan-tulisan bersifat popular yang disiarkan untuk bacaan umum seperti di majalah, akhbar dan bahan bacaan popular tidak sesuai untuk dijadikan rujukan dalam LR.

Anda juga boleh mendapatkan sumber rujukan yang terdapat dalam jurnal elektronik yang disediakan secara dalam talian. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati apabila melakukan carian dalam internet yang menghasilkan laman web yang tidak telus.

C. Kebolehpercayaan sumber

Kebolehpercayaan sumber anda boleh teliti berdasarkan beberapa perkara iaitu perkara yang dibahaskan dalam kajian tersebut dan cara untuk mengetahui kesahihan jurnal berkenaan.

D. Jurnal terkini

Apabila menulis LR, anda perlu memastikan bahawa sumber rujukan yang digunakan terdiri daripada jurnal yang terkini. Rangkuman jurnal berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun lepas. Jika anda menulis pada tahun 2022, bahan rujukan yang digunakan mestilah antara tahun 2012 hingga 2021.

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian terhadap sumber rujukan berkenaan, termasuklah, jika menulis tentang sejarah sesuatu perkara atau rentetan peristiwa, menggunakan rujukan asal yang mencetus kepada sesuatu perkara; contoh teori darwin menjadi asas kepada kajian tentang kejadian alam dan membandingkan perbezaan pendapat antara dua perkara atau tokoh yang berlaku pada zaman yang berbeza.

Jadi, anda perlu meneliti perkara berikut untuk menentukan memastikan jurnal tersebut tidak lapuk.

Langkah 3: Membuat ringkasan

Anda boleh membuat ringkasan tentang jurnal dengan membacanya. Ringkasan berkenaan mesti merangkumi perkara berikut;

a. Apakah isi penting, teori, masalah utama yang diangkat dalam tulisan berkenaan?

b. Rangkumkan isi penting yang diajukan pengarang.

c. Catatkan secara terperinci sumber rujukan yang digunakan pengarang ini termasuk halaman yang dirujuk yang anda anggap mungkin berguna dalam LR.

d. Pastikan anda memiliki semua maklumat bibliografi seperti pengarang, tahun terbitan, judul buku, penerbit, halaman dll.

e. Catat bagaimana pengarang menggunakan sumber asal rujukannya. Jika anda meniru atau menyalin kata-kata pengarang asal secara langsung, anda perlu pastikan anda menulisnya dalam tanda petik dan menyebut halamannya.

f. Apakah tujuan pengarang; baik yang tersurat mahupun tersirat?

g. Apakah kesimpulan yang dibuat oleh pengarang? Apakah yang disimpulkan dari penemuan dalam kajian ini?

h. Tulis juga pendapat anda tentang bacaan tersebut. Hal ini berguna apabila anda melihat semula ringkasan tersebut atau menggunakannya semasa menulis nanti.

Untuk lebih mudah, senarai yang perlu anda dalam ringkasan pada LR ini adalah seperti berikut;

i. Penulis

ii. Tahun

iii. Judul

iv. Sumber (Nama Jurnal)

v. Tujuan Penelitian

vi. Hipotesis kajian

vii. Bahan, reka bentuk eksperimen yang dijalankan

viii. Hasil

ix. Kesimpulan dan perbincangan

Langkah 4: Menggabungkan menjadi satu esei yang lengkap mengenai suatu masalah berkenaan kajian.

Ketika menulis LR, anda perlu gabungkan kesemua jurnal supaya saling berhubungan dan berkaitan antara satu sama lain.

Untuk menggabungkan semua jurnal ini yang akhirnya menjadi LR, anda perlu kategorikan semua pemerhatian terlebih dengan salah satu teknik seperti menggunakan peta minda.

LR boleh ditulis dengan dua cara, melalui parafrasa atau petikan.Parafrasa adalah menulis semula apa yang ditulis penulis lain (dengan menggunakan ayat sendiri) tanpa menghilangkan maksudnya kerana ayatnya telah diubahsuai, tetapi masih lagi mempunyai maksud yang sama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Cara ini dapat menyelamatkan kita dari mengutip pernyataan orang lain secara langsung seperti apa yang diungkapkan oleh orang itu.

Petikan pula akan mencantumkan beberapa jurnal yang ditulis oleh penulis lain terhadap pernyataan orang lain secara langsung. Pernyataan berkenaan kemudiannya akan diparafrasa mengikut kesesuaian.

Akhir sekali, anda perlu membuat rujukan atau bibliografi dengan memasukkan jenis penerbitan yang dijadikan rujukan dalam LR mengikut format penulisan yang betul.

Sumber: Petua Menulis

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok