nur-syazwani-uitm
nur-syazwani-uitm

Graduan UiTM terima Anugerah Khas, keluarga dan pensyarah pembakar semangat

Adlan Farhan Azwan
05 Jul 2022 03:08pm
A
A
A

Meskipun pernah hampir berputus asa semasa tempoh pengajian, Nur Syazwani Redi, 29, masih bersemangat untuk terus meraih kejayaan sehingga muncul sebagai penerima Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-93 pada 4 Julai lalu.

Pencapaian cemerlang Nur Syazwani dalam bidang akademik dan kokurikulum di UiTM telah membuahkan hasil apabila dia berjaya menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan (Sarjana Muda).

Kecemerlangan dalam bidang akademik dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86 juga membolehkan Nur Syazwani mendapat Anugerah Dekan untuk setiap semester sebelum ini dan sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan Anugerah Naib Canselor.

Menurut Nur Syazwani, nasihat dan bimbingan daripada semua insan yang penting dalam kehidupannya menyumbang kepada kejayaan pada hari ini dan akan sentiasa terpahat di hatinya.

“Mereka menjadi sumber inspirasi saya untuk menjadi lebih cekal dan kuat sedangkan pernah satu ketika, saya merasa putus asa disebabkan masalah tekanan.

“Ini kerana untuk menjadi yang terbaik dan mengekalkan pencapaian cemerlang adalah antara cabaran besar kepada pelajar.

“Namun, saya bersyukur kerana ibu, keluarga dan pensyarah sentiasa menjadi penyuntik semangat untuk perbaiki diri supaya menjadi yang terbaik demi masa depan,” katanya ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak ke-93, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat adik beradik ini menjelaskan, antara resipi kejayaannya adalah sentiasa mementingkan keberkataan ilmu serta menjaga hubungan dengan keluarga dan pensyarah.

Tambahnya, setiap pelajar juga perlu memahami pembelajaran selain bijak mengurus masa.

“Sekiranya kita gagal mengurus masa, secara tidak langsung kita akan gagal mengurus kehidupan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Syazwani turut meluahkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perladangan dan menceburi bidang pertanian du masa depan.

“Melibatkan diri dalam kedua-dua sektor berkenaan merupakan impian dan cita-cita saya sejak kecil kerana saya ingin memajukan ladang milik keluarga selain menyimpan impian untuk mempunyai ladang sendiri.

“Saya berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri dalam sektor perladangan seperti tanaman organik berkaitan pertanian,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Tamat pengajian sarjana dalam bidang TESL, Najwa Latif teruja mahu bergelar Doktor

Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit

Punya semangat yang luar biasa, Nor Shazlina sanggup sengkang mata demi dapatkan ijazah kedua


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok