UNIKLMSI-MENTAL-SINARBESTARI-2022
UNIKLMSI-MENTAL-SINARBESTARI-2022

UniKL-MSI anjur Sambutan Kesihatan Mental

nadzarul.amir
20 Dec 2022 04:02pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah memberi kesan kepada kehidupan termasuk berdepan masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

Menyedari kepentingan memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung masalah kesihatan mental ini, Unit Kaunseling Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI) telah menjalin usahasama dengan Jabatan Psikiatri Hospital Kulim, Kedah dalam melaksanakan program Sambutan Kesihatan Mental.

Lebih 100 peserta menyertai program sempena Bulan Kesihatan Mental itu yang terdiri daripada para pelajar UniKL-MSI, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan warga kerja Hospital Kulim.

Timbalan Dekan, Seksyen Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup kampus UniKL-MSI, Ts Dr Muhammad Al'Hapis Abdul Razak berkata, pandemik Covid-19 telah membuka minda masyarakat bahawa kesihatan mental adalah satu perkara yang serius dan perlu ditangani bersama.

“Ia kerana masalah berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada golongan dewasa tetapi remaja dan kanak-kanak.

“Justeru, program ini merupakan salah satu usaha yang dilakukan UniKL-MSI untuk memberi pendedahan kepada khalayak tentang kesihatan mental,” katanya pada program Sambutan Kesihatan Mental, baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengarah Hospital Kulim, Dr Mithali Abdullah dan dihadiri Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Kulim, Dr Nurul Nadia Ismail.

Sepanjang program berlangsung, Hospital Kulim telah mengatur pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan TikTok pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, para peserta turut diberi pendedahan berhubung kesihatan mental melalui dua sesi ceramah bertajuk Membina Daya Tahan Melalui Kaedah Spiritualiti dan Mental Health and Listening Skills.

Ia disampaikan Dr Nurul Nadia dan Dr Nurul Shahida Che Kamaruddin malah satu pertandingan kuiz kahoot dijalankan sewaktu sesi ilmu berkenaan untuk memeriahkan suasana.

Program itu berjaya memberi impak kepada para peserta terutama pelajar-pelajar UniKL-MSI apabila menyedari bahawa mereka perlu memperkukuhkan spiritualiti sebagai suatu pendekatan kesejahteraan mental selain pagangan agama yang kuat.

Selain itu, Dr Muhammad Al'Hapis memberitahu, sebagai seorang insan, kemahiran mendengar perlu dipertingkatkan agar dapat membantu masyarakat yang berdepan masalah kesihatan mental serta bersifat empati.

Beliau berharap lebih banyak program-program berkaitan kesejahteraan mental dapat dijalankan dengan lebih meluas agar dapat membuka minda masyarakat sekali gus membantu menghapuskan stigma berkaitan pesakit dan penyakit mental.

“Program-program sebegini dapat memberi kesedaran malah bersama-sama berganding bahu dalam membantu dan memberi sokongan menangani isu kesejahteraan mental,” ujarnya.

Artikel berkaitan

UniKL terus menerajui bidang teknologi kejuruteraan kimia

UniKL penuhi impian untuk belajar di Korea Selatan

UniKL BMI catat sejarah bina Bangunan Tenaga Sifar Bersih pertama di Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok