Untitled design
Untitled design

7 watak penting di klinik pergigian kerajaan, jom kenali mereka!

Roshlawaty Md Raieh
28 Oct 2022 03:56pm
A
A
A

Jika guru dan pelajar ke klinik gigi, watak utama yang akan terlintas dan terbayang di fikiran masing-masing tentulah seseorang yang dipanggil sebagai doktor gigi.

Dengan raut wajah yang ditemani pelbagai bahan, perkakas dan peralatan pergigian, sudah tentu anda terlupa bahawa ramai lagi staf pergigian sokongan yang lain di klinik tersebut yang turut sama membantu untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat semua.

Sebagai membantu cikgu dan pelajar mengenali dengan lebih rapat tentang watak-watak penting yang ada di klinik gigi khususnya di klinik pergigian kerajaan, Dr Mohd Khairul Izwan menerusi Facebooknya memperincikan individu yang bertugas di klinik tersebut.

Jom kenal dengan mereka.

Semoga bermanfaat.

1) Pegawai Pergigian (Doktor gigi)

Doktor gigi di klinik gigi kerajaan lebih dikenali sebagai Pegawai Pergigian. Tiada uniform khusus untuk para pegawai pergigian ini. Bagi doktor gigi lelaki, biasanya mereka akan memakai baju kemeja serta seluar slack manakala untuk doktor gigi perempuan pula, mereka akan memakai baju kurung atau pakaian pejabat lain yang bersesuaian.

Antara tugas-tugas hakiki seorang pegawai pergigian adalah bertanggungjawab untuk:

a) Melaksanakan pemeriksaan dan rawatan pesakit luar serta temu janji yang datang ke klinik gigi tanpa mengira peringkat usia.

b) Menjalankan pemeriksaan, rawatan dan memberikan ceramah pergigian kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.

c) Terlibat dalam intervensi pencegahan merokok dalam kalangan pelajar sekolah dengan cara menjalankan kaunseling terhadap mereka.

d) Melakukan lawatan ke klinik kesihatan ibu dan anak serta klinik-klinik desa bagi menjalankan pemeriksaan gigi kepada ibu-ibu mengandung.

e) Menjalankan aktiviti promosi kesihatan pergigian serta pencegahan.

Selain menjalankan tugas-tugas klinikal, seorang pegawai pergigian juga bertanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan yang berkaitan bagi memastikan kelancaran sistem operasi di sesebuah klinik gigi.

2) Juruterapi Pergigian (JP)

Juruterapi Pergigian atau lebih dikenal dengan nama ‘Missy Gigi’ bolehlah diibaratkan sebagai serikandi dan lebih dekat di hati murid sekolah khususnya sekolah rendah.

Selain doktor gigi, merekalah yang menjalankan rawatan pergigian kanak-kanak di tadika dan murid-murid sekolah rendah.

Mereka boleh menampal gigi kekal dan gigi susu serta melakukan cabutan gigi namun terhad kepada gigi susu sahaja. Jika mereka menjumpai kes-kes pergigian yang rumit, mereka akan merujuk pesakit tersebut kepada doktor gigi untuk rawatan lanjut.

Selain itu, mereka juga sering mengajar murid-murid untuk memberus gigi dengan menggunakan model gigi serta berus gigi yang besar. Sekarang mereka lebih kreatif dalam mengajar kanak-kanak memberus gigi melalui teknik Latihan Memberus Gigi (LMG) diiringi irama serta muzik latar yang menarik.

JP juga turut terlibat dalam pemeriksaan gigi kanak-kanak di bawah usia 5 tahun (Toddlers) di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Klinik Desa (KD) dan Klinik Kesihatan (KK).

Untuk mengenali JP ini, mereka mengenakan uniform lengkap berwarna putih dengan ‘line’ berwarna kuning di atas tudung/kepala mereka disertakan bersama dengan senyuman manis untuk mengurangkan ‘ketakutan serta kegusaran’ para pelajar sekolah setiap kali melihat kakak-kakak Missy ini datang ke sekolah.

Tetapi awas! Kalau adik-adik degil dan tidak mahu mendengar kata, lemah gemalai para Missy gigi ini boleh bertukar menjadi seperti watak Black Widow dalam filem Avengers!

Oh ya! Ada juga JP yang mengikuti kursus lanjutan ‘post basic’ mengikut kepakaran tertentu. Setelah tamat latihan post basic ini, mereka biasanya akan ditempatkan di klinik-klinik pakar pergigian bagi membantu pakar-pakar pergigian di sana.

Selain itu, ada juga JP lebih senior yang sudah tidak lagi menjalankan tugas-tugas klinikal sebaliknya lebih bertanggungjawab dalam bidang pengurusan di peringkat kementerian, negeri dan juga daerah.

Mereka adalah Penyelia Juruterapi Pergigian ataupun lebih dikenali dengan panggilan ‘Matron’. Mereka mengenakan uniform berwarna biru gelap dan berkasut hitam.

Selain itu, ada juga Juruterapi Pergigian lebih senior yang sudah tidak lagi menjalankan tugas-tugas klinikal sebaliknya lebih bertanggungjawab di bidang pengurusan di peringkat kementerian, negeri dan juga daerah.

Mereka adalah Juruterapi Pergigian Kanan ataupun lebih dikenali dengan panggilan ‘Sister’. Mereka mengenakan uniform berwarna biru muda serta berkasut hitam.

3) Juruteknologi Pergigian (JT)

Salah satu watak di belakang tabir yang terlibat secara langsung dalam pembuatan gigi palsu untuk pesakit.

Mereka mempunyai ruang kerja khusus sendiri di dalam klinik gigi iaitu makmal pergigian yang merupakan ‘kawasan jajahan’ mereka.

Mereka perlu bekerjasama secara erat dengan doktor gigi bagi menghasilkan gigi palsu yang berkualiti. Jika doktor gigi terlibat dari segi klinikal, para JT ini pula lebih terlibat kepada bahagian pemprosesan sesebuah gigi palsu serta aplians pergigian yang lain.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menyelenggara aset-aset dan kelengkapan-kelengkapan yang ada di dalam sesebuah klinik di samping mengurus perolehan aset, kelengkapan dan bahan-bahan pergigian dari masa ke masa.

Jika di sesetengah klinik pergigian pakar, ada di antara JT ini yang mahir dalam menghasilkan mata palsu, hidung palsu dan juga telinga palsu.

Untuk mengenali, mereka memakai uniform dengan baju berwarna krim, berseluar hitam dan berkasut hitam. JT ini terdiri daripada lelaki dan juga perempuan.

4) Pembantu Pembedahan Pergigian (DSA)

Jika JP dianggap sebagai serikandi, DSA ini pula merupakan orang kanan kepada doktor gigi.

Ke mana doktor gigi pergi atau lakukan, mereka akan setia berada di sisi doktor kerana tugas utama mereka adalah membantu doktor gigi sepanjang rawatan dijalankan ke atas pesakit. Mereka diibaratkan sebagai ‘tangan dan kaki tambahan’ buat semua doktor gigi.

Mereka akan menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan oleh doktor dan membersihkan semua kelengkapan selepas digunakan.

Mereka juga akan memastikan semua kelengkapan dan peralatan berada dalam keadaan ‘steril’ atau bebas kuman bagi memastikan rawatan yang selamat dapat diberikan kepada pesakit.

Selain itu, DSA juga membantu mengumpul hasil kerja harian, mingguan dan bulanan klinik atau lebih dikenal sebagai ‘reten’ untuk diserahkan kepada pihak pengurusan.

Tanpa watak penting ini, tugas dan kelancaran doktor gigi dalam memberikan rawatan pasti akan terganggu.

Untuk mengenali DSA, mereka mengenakan uniform lengkap berwarna putih dengan ‘line’ berwarna oren/jingga di atas tudung/kepala mereka bagi DSA wanita.

Bagi DSA lelaki pula, mereka memakai uniform lengkap berwarna putih dengan ‘line’ oren/jingga di bahu mereka.

Bezakan mereka dengan JP ya!

JP = Line berwarna kuning.

DSA = Line berwarna oren/jingga.

5) Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK)

PPK merupakan antara watak penting yang ada di dalam sesebuah klinik pergigian.

Mereka membantu kelancaran klinik dengan menjalankan pelbagai tugasan seperti membantu membersihkan kelengkapan dan peralatan yang digunakan selepas rawatan, membantu para JP ketika rawatan dijalankan di sekolah dan kadang-kadang turut membantu urusan pendaftaran di kaunter hadapan klinik.

Selain itu, mereka juga membantu membersihkan kawasan klinik dan memastikan klinik sentiasa berada dalam keadaan kemas serta ceria.

Tidak susah untuk mengenali mereka. Jika anda melihat lelaki atau wanita dengan uniform berwarna putih tanpa sebarang ‘line’ di tudung atau di bahu serta berkasut hitam, itulah PPK.

6) Pembantu Tadbir (PT)

Pembantu Tadbir merupakan individu yang membantu melancarkan operasi sesuatu klinik dari segi pengurusan.

Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab dalam urusan pendaftaran pesakit dan menerima bayaran daripada pesakit setelah selesai sesuatu rawatan dijalankan.

Biasanya mereka berada di kaunter hadapan klinik bagi memudahkan urusan pendaftaran pesakit dijalankan. Dan disebabkan itulah, PT merupakan antara individu yang sering ‘diserang’ oleh pesakit jika hilang sabar kerana terpaksa menunggu sedikit lama bagi mendapatkan rawatan.

Namun itu langsung tidak membantutkan semangat mereka untuk terus berkhidmat bagi memastikan kelancaran urusan pesakit yang datang ke klinik gigi.

7) Pemandu

Ini merupakan antara satu lagi watak di belakang tabir yang jarang diberikan perhatian namun kehadiran mereka amatlah penting untuk memastikan kelancaran operasi klinik khususnya ketika rawatan pergigian akan dilakukan ke sekolah-sekolah.

Mereka bertanggungjawab sebagai ‘pilot’ bagi mengemudi kenderaan berserta aset dan anggota ke sesuatu tempat untuk menjalankan tugas rasmi seperti rawatan pergigian sekolah, aktiviti atau program promosi pergigian di luar klinik, lawatan ke loji penapisan air bagi program penfluoridaan serta ke tempat-tempat yang lain mengikut keperluan.

Uniform mereka mirip dengan JP iaitu baju berwarna krim dengan seluar dan kasut berwarna hitam.

Pemandu tidak mempunyai uniform khusus dan pakaian yang dipakai oleh mereka merupakan pakaian yang bersesuaian untuk ke pejabat.

Sumber: Facebook Mohd Khairul Izwan

Kredit ilustrasi: Dr Christie Li

Artikel berkaitan 

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid

Dua pelajar SMJK Sam Tet akan terus aktif dalam tarian singa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan