300613181_5657442490962253_8401155319937719243_n
300613181_5657442490962253_8401155319937719243_n

Hasrat Cikgu Hazeem bangunkan Studio Multimedia PPKI untuk pelajar berkeperluan khas tercapai

Adlan Farhan Azwan
09 Nov 2022 09:25am
A
A
A

Kerjasama antara Taylor’s College dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Temerloh, Pahang, berjaya membantu pelajar berkeperluan khas memperoleh kemahiran digital menerusi pembangunan Studio Multimedia Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang pertama di Malaysia.

Penubuhan studio multimedia itu bertujuan menyediakan kemudahan serta fasiliti yang lengkap kepada warga SMK Kuala Krau yang terdiri daripada pelajar Orang Asli dan berkeperluan khas.

Ia turut dilengkapi dengan modul dan program untuk membantu mereka mempelajari kemahiran digital teknikal seperti penciptaan kandungan, penyuntingan video dan pengetahuan lain yang berkaitan dengan teknologi.

Guru Pendidikan Khas, Cikgu Mohammad Hazeem Azemi menyedari terdapat jurang digital antara pelajar di bandar dan kawasan luar bandar, terutamanya bagi mereka yang kurang upaya kerana tidak mempunyai peluang yang sama kepada teknologi.

Cikgu Hazeem yang merupakan pemenang RISE Educator of the Year untuk Anugerah Pendidik RISE anjuran Kolej Taylor’s sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran para pelajar pendidikan khas di SMK Kuala Krau.

Menurutnya, beliau mendapat ilham untuk membina studio multimedia apabila negara dilanda pandemik Covid-19 yang memaksa para pelajar menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Apabila PdPR dilaksanakan, pelajar mengalami masalah untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan pada masa yang sama fenomena penstriman permainan video di platform seperti YouTube, Facebook dan Twitch mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam kalangan anak muda.

Semasa pandemik Covid-19, Cikgu Hazeem aktif dalam melakukan aktiviti 'streaming' menerusi platform Facebook. Kredit foto: Facebook Cikgu Hazeem Gaming

“Jadi, saya mengambil inisiatif menjadikan satu ruang di rumah sebagai sebuah studio untuk menjalankan PdPR bagi menarik minat pelajar mengikutinya.

“Hasilnya, para pelajar semakin bersemangat untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian lebih-lebih lagi apabila terdapat elemen permainan video yang turut diselitkan semasa sesi pembelajaran,” katanya ketika ditemui di Studio Multimedia SMK Kuala Krau, baru-baru ini.

Pada penghujung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Cikgu Hazeem meneruskan usahanya dengan membina studio multimedia untuk pelajar bagi membantu mereka mengembangkan kemahiran dalam dunia digital.

Dengan kemenangan tajaan RM10,000 daripada Anugerah Pendidik RISE awal tahun ini, beliau telah menambahbaik fasiliti studio multimedia dengan komputer, peralatan penciptaan video dan banyak lagi.

Studio Multimedia PPKI ini turut dilengkapi dengan sistem simulator untuk kegunaan para pelajar.

Cikgu Hazeem memberitahu, usaha yang dilakukan adalah bagi memastikan setiap pelajar dapat mengasah kemahiran teknologi maklumat (IT) dan belajar menggunakan peranti dan juga perisian penyuntingan foto dan video; alat penyiaran dan permainan maya.

“Pendidikan digital penting bagi pelajar untuk membangunkan dan mengembangkan kemahiran mereka bermula di peringkat sekolah untuk persediaan masa hadapan.

“Selepas tamat persekolahan, mereka akan melalui fasa di mana penggunaan teknologi adalah sebahagian daripada kehidupan seharian yang merangkumi aspek pembelajaran dan sumber pendapatan.

“Sehubungan itu, pelajar yang menamatkan kursus melalui Studio Multimedia PPKI juga akan diberikan Sijil Kemahiran Tahap Tiga yang boleh digunakan oleh pelajar untuk memohon pekerjaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Guru Besar SMK Kuala Krau, Cikgu Mat Jusoh Che Ngah pula berkata, penubuhan studio multimedia itu akan dapat memenuhi lebih daripada sekadar pengetahuan akademik dan membangunkan kemahiran digital praktikal yang kini penting untuk merangka laluan kerjaya.

“Kami berterima kasih kepada Kolej Taylor’s atas sokongan mereka terhadap visi Cikgu Hazeem untuk membina sebuah studio multimedia untuk pelajar Orang Asli dan pendidikan khas dengan menaja sebanyak 15 tablet dan 50 kit permulaan pencipta kandungan.” tambahnya.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kuala Krau, Cikgu Norsyarina Mohd Angkashah; Guru Besar SMK Kuala Krau, Mat Jusoh Che Ngah; Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan, Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Saufie Abdul Manaf dan pemenang RISE Educator of the Year 2022, Cikgu Hazeem bersama-sama dengan pelajar berkeperluan khas memegang tablet tajaan Taylor's College.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kolej Taylor’s, Josephine Tan memaklumkan, dengan sokongan yang berterusan, pihaknya yakin sesiapa sahaja boleh diberi peluang yang sama untuk belajar.

“Justeru, kami berbesar hati untuk menyokong Cikgu Hazeem dan SMK Kuala Krau dalam usaha mereka untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua pelajar mereka.

“Usaha sedemikian juga sejajar dengan visi institusi kami untuk memberikan impak yang bermakna bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat yang berkaitan dengan pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs),” katanya.

Artikel berkaitan

Universiti pertama lengkap dengan fasiliti Studio E-Sports, UUM ketengahkan bakat dan minat pelajar.

Jasa Cikgu Lana mendidik pelajar berkeperluan khas terima pengiktirafan World Changer Award

Pengetua perlu kuasai bidang pendigitalan, ini antara sebab-sebabnya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan