Picture3-1
Picture3-1

Program Pemerkasaan ICT beri pendedahan teknologi maklumat kepada murid, komuniti setempat

Adlan Farhan Azwan
26 Sep 2022 02:08pm
A
A
A

Dalam usaha melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang Teknologi Maklumat (ICT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan baru-baru ini telah menganjurkan Program Pemerkasaan ICT di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Senau, Dalat, Sarawak.

Program yang berlangsung selama dua hari itu merupakan usaha bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Senau dengan melibatkan 40 orang murid, 20 orang guru serta 20 orang wakil ibu bapa.

Seramai enam orang tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), iaitu Dr Lee Beng Yong, Lenny Yusrina Bujang Khedif, Zubaidah Bohari, Sulastri Putit, Ketty Chachil dan Abdul Hadi Abdul Talip telah berkongsi kepakaran masing-masing dalam menjayakan program ini.

Objektif utama program ini adalah bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran warga SK Kampung Senau serta komuniti setempat dalam memperkasakan penggunaan teknologi maklumat.

Menurut Guru Besar SK Kampung Senau, Cikgu Hambli Rabi, program sebegini dapat mewujudkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam melaksanakan sesuatu projek dalam kalangan komuniti SK Kampung Senau.

“Projek ini merupakan projek pertama SK Kampung Senau berkolaborasi dengan pihak luar yang mana melalui program ini, ia dapat memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan antara UiTM dengan komuniti SK Kampung Senau,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua SK Kampung Senau, Yunus Sepi’e, yang menzahirkan harapan agar murid-murid sekolah tersebut dapat memanfaatkan ilmu yang telah dikongsikan oleh UiTM.

“Saya berharap satu hari nanti murid-murid dapat menjejakkan kaki ke UiTM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas beliau.

Barisan tenaga pengajar dari FSKM bagi menjayakan program ini.

Antara pengisian program yang telah dilaksanakan adalah Taklimat Kepentingan Keselamatan Siber untuk murid-murid, ibu bapa dan guru-guru yang menekankan kepada isu-isu semasa berkaitan ancaman serta keselamatan alam siber.

Di samping itu, murid-murid SK Kampung Senau juga telah diberi pendedahan tentang teknik penghasilan serta pengeditan imej dan kandungan video untuk dimuat naik melalui platform dalam talian.

Program ini dimeriahkan lagi dengan sesi Simulasi Pengendalian Dron dan Robot yang berlangsung pada hari pertama program.

Guru-guru SK Kampung Senau turut diajar dengan ilmu asas pembangunan sistem melalui Bengkel Pengenalan Kepada Pembangunan Sistem Secara Offline.

Kemuncak program adalah Pertandingan Video YouTube Kreatif bertemakan Sekolahku Sejahtera yang telah disertai seramai 40 orang murid.

Artikel berkaitan

Dedah bidang ICT, pelajar Tingkatan 4 dan 5, terima ilmu bermanfaat

Platform pembelajaran digital, sedia pelbagai sumber rujukan untuk pelajar ulang kaji

3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan