22 pegawai Majlis Kesukarelawan Universiti Malaysia berjaya tamat Kursus Pensijilan Bencana

AZLEENDA SAHALUDIN
12 Sep 2023 11:01am
A
A
A

Aktiviti sukarelawan atau khidmat masyarakat dilihat sebagai satu platform terbaik dalam memecahkan tembok serta merapatkan jurang antara dua pihak iaitu universiti dan masyarakat.

Justeru itu, aktiviti ini semakin giat dijalankan demi membantu masyarakat yang dalam kesusahan selain dijadikan nilai tambah dalam melahirkan mahasiswa cekal dan berani pada masa akan datang.

Baru-baru ini, seramai 22 pegawai Majlis Kesukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) telah berjaya menamatkan Kursus Pensijilan Pengurusan Bencana di University of Melbourne, Australia.

Mereka terdiri daripada pegawai dari institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang mengendalikan aktiviti sukarelawan di universiti masing-masing.

 Zulkifli (kanan) bergambar bersama Tuan Mohd Salman.
Zulkifli (kanan) bergambar bersama Tuan Mohd Salman.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Zulkifli Che Hussin, kursus tersebut telah dilengkapkan dengan prinsip Pengurusan Bencana yang memerlukan setiap peserta memahami konsep Preparednes, Prevention, Response and Recovery atau 2P2R.

Beliau yang juga merupakan pengarah bagi program ini berkata, pemahaman konsep 2P2R adalah penting bagi mempersiapkan warga universiti seluruh negara sekiranya perlu berdepan dengan sebarang bencana pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Untuk menyertai aktiviti sukarelawan ini, tidak boleh dengan hanya berlandaskan minat tetapi ia perlulah selari dengan ilmu dan pemahaman tentang beberapa aspek penting antaranya pengurusan bencana.

“Oleh itu, dengan adanya Kursus Pensijilan Pengurusan Bencana yang menitikberatkan konsep 2P2R ini akan menjadikan aktiviti sukarelawan bukan sahaja menyeronokkan tetapi yang lebih penting dapat membantu mereka di dalam kesusahan,” katanya.

Hadir sama ke program itu, pegawai dari Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) USM, Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga merangkap Pengerusi MASKUM, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, kesungguhan pegawai yang terlibat dalam program ini sememangnya satu pencapaian membanggakan.

“Saya amat berbangga dengan pegawai yang menyertai kursus ini serta melengkapkan diri dengan Sijil Pengurusan Bencana.

“Ini membuktikan bahawa MASKUM sangat serius dalam mempelopori bidang pengurusan bencana di Malaysia,” ujarnya.

Kursus Pensijilan Pengurusan Bencana telah berlangsung pada 5 Jun hingga 9 September lalu dan mendapat sokongan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mereka yang terlibat merupakan kumpulan antarabangsa pertama yang mengikuti modul pengurusan bencana di bawah kelolaan University Of Melbourne.

Selain itu, kursus juga telah disempurnakan dengan penyampaian sijil yang disampaikan Timbalan Ketua, Jabatan Penjagaan Kritikal (Department of Critical Care), University of Melbourne, Profesor George Braitberg.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok