Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengumpulkan 80 anak-anak sindrom down bersama ahli keluarga dalam program Putra Bakti: Cakna Sindrom Down 2025 untuk didedahkan kepada aktiviti sosial.
Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengumpulkan 80 anak-anak sindrom down bersama ahli keluarga dalam program Putra Bakti: Cakna Sindrom Down 2025 untuk didedahkan kepada aktiviti sosial.

80 anak sindrom down dikumpulkan, beri pendedahan kepada aktiviti sosial

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
10 Jun 2025 04:52pm

Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengumpulkan 80 anak-anak sindrom down bersama ahli keluarga dalam program Putra Bakti: Cakna Sindrom Down 2025 untuk didedahkan kepada aktiviti sosial.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Dr Nor Azyati Yusoff berkata, pendekatan holistik tersebut sangat penting dalam menyokong perkembangan anak-anak golongan berkenaan.

“Interaksi positif dengan masyarakat serta pendedahan kepada aktiviti sosial dan pembelajaran seperti ini dapat merangsang kemahiran motor, sosial dan emosi mereka.

“Ia juga memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga untuk melihat potensi sebenar anak-anak mereka,” katanya.

Anak sindrom down bersukaneka bersama keluarga untuk mendedahkan tentang penjagaan anak istimewa.
Anak sindrom down bersukaneka bersama keluarga untuk mendedahkan tentang penjagaan anak istimewa.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhamad Syafiq Mohd Salleh yang juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, menzahirkan rasa syukur atas sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

“Program ini bukan sekadar platform kesukarelawanan, tetapi juga medan menyemai kemahiran insaniah mahasiswa secara holistik dan memahami keperluan golongan istimewa ini.

“Kami percaya, sinergi pelbagai pihak inilah yang menjadi kunci utama kepada pembinaan masyarakat yang lebih inklusif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Putra Bakti: Cakna Sindrom Down 2025 yang julung kali diadakan itu berlangsung meriah di Bukit Ekspo UPM dengan kerjasama pelbagai organisasi seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Farm Fresh, RHB Bank Islamic, NGO JIWA Malaysia, Pertubuhan Ihsan Masyarakat Malaysia, Satria Malaysia, Volunteer Trip Malaysia (VTM) dan Sekretariat Kesukarelawanan & Pengantarabangsaan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor UPM.

Turut melibatkan kelab-kelab sukarelawan universiti awam seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan komuniti ibu bapa Sindrom Down dari Kuala Lumpur, Selangor serta Putrajaya.

Antara pengisian utama program ini melibatkan empat teras aktiviti yang direka khusus melibatkan anak-anak sindrom down secara inklusif.

No Image Caption

Segmen pertama iaitu Putra Sihat: Kembara Simfoni Alam, menyaksikan peserta melakukan aktiviti ‘berjoging’ santai di sekitar kawasan hijau Bukit Ekspo, UPM bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat sambil mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Seterusnya, menerusi Putra Tani: Tunas Muda Hidroponik, peserta diberi peluang untuk mengenali teknik asas pertanian moden secara praktikal seperti hidroponik sekali gus memupuk minat terhadap aspek isu keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar.

Aktiviti seni tradisi pula diperkasakan melalui Putra Kreatif: Seni Terapi Labu Sayong, iaitu anak-anak sindrom down diberi ruang mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni kraf tradisional yang juga berperanan sebagai terapi emosi dan psikomotor.

Slot terakhir adalah Putra Kongsi: Membina Masa Depan yang Lebih Inklusif sebagai platform wacana dan perkongsian ilmu daripada pakar, sukarelawan serta ibu bapa dalam usaha memupuk kefahaman terhadap pembangunan komuniti istimewa secara menyeluruh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp