Azam (kiri) dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi program Doktor Falsafah PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), UTeM.
Azam (kiri) dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi program Doktor Falsafah PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), UTeM.

Azam Baki dilantik Profesor Adjung UTeM

10 Jan 2026 02:15pm

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi program Doktor Falsafah PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember tahun lalu hingga 30 November 2027.

Ketika menerima surat lantikan daripada UTeM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Jumaat, Azam menitipkan nasihat kepada pelajar kejuruteraan supaya melangkah bukan hanya dengan pengetahuan mengenai teknikal dan teknologi, tetapi juga hala tuju hidup.

Azam berkata, pelajar dalam bidang kejuruteraan atau teknologi adalah prospek yang tangkas mempelajari sesuatu dan fokus menyelesaikan perkara secara objektif.

"Mereka juga cenderung kepada pemikiran menyelesaikan masalah. Bagaimanapun, kita mahu pelajar kejuruteraan ini bukan hanya tahu mengenai teknikal dan teknologi tetapi juga hala tuju.

"Mereka perlu tahu ke mana hendak pergi selepas tamat pengajian. Bukan hanya sekadar tamat belajar, tetapi juga bersedia menjadi penyumbang pada masa hadapan dan berdepan masyarakat mahupun kerjaya.

"Ini penting kerana kita memerlukan lebih ramai individu seperti ini untuk bekerjasama dengan bidang lain dan membangunkan negara secara menyeluruh," ujarnya dalam kenyataan.

Surat lantikan itu disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Azam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh dan Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM, Profesor Madya Dr Mustafah Mohd Tahir.

Pada pertemuan itu, Massila berkata, pemilihan Azam adalah kerana latar belakang beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang, selain berpengalaman luas dalam bidang integriti serta pencegahan rasuah.

Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 20 alumni UTeM kini berkhidmat dengan SPRM, sekali gus membuktikan betapa relevan bidang teknologi serta kejuruteraan dengan pencegahan rasuah.

"Kami juga berhasrat menubuhkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di UTeM pada tahun ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan mempromosikan budaya antirasuah dalam kalangan pelajar," tambahnya. - Sinar Harian 

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi di UTeM
  • Pelantikan berlangsung selama dua tahun bermula 1 Disember tahun lalu hingga 30 November 2027
  • Azam menasihatkan pelajar kejuruteraan supaya memiliki pengetahuan teknikal dan arah tuju hidup
  • Pemilihan Azam berdasarkan latar belakangnya dalam kejuruteraan, undang-undang, dan pengalaman dalam integriti dan pencegahan rasuah
  • UTeM berhasrat menubuhkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) untuk meningkatkan kesedaran antirasuah among students
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp