Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Magdlane Tuborng Melai bergambar bersama peserta dan penganjur Program Inap Desa Herba di Kampung Parit Bugis, Muar, Johor.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Magdlane Tuborng Melai bergambar bersama peserta dan penganjur Program Inap Desa Herba di Kampung Parit Bugis, Muar, Johor.

Inap Desa Herba inisiatif FAST-UTHM rancakkan kembali sektor pelancongan tempatan

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
27 Feb 2023 05:38pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 telah memberikan satu tamparan hebat kepada sektor dan aktiviti pelancongan di dalam mahupun luar negara.

Hal ini kerana penutupan sempadan antarabangsa telah dilaksanakan negara seluruh dunia serta larangan rentas negeri yang dilakukan kerajaan ketika itu menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penyebaran wabak merbahaya tersebut.

Hari ini, bagi membantu merancakkan kembali aktiviti pelancongan selepas hampir dua tahun terjejas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Yayasan UTHM dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad telah menganjurkan Program Inap Desa Herba.

Dalam satu kenyatan yang dikeluarkan, FAST-UTHM berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta sesi bertukar pendapat antara pihak mereka dengan pengusaha inap desa di kawasan setempat yang dijalankan di Kampung Parit Bugis, Muar, Johor.

Menurut FAST-UTHM, program berkenaan juga merupakan platform kepada pelajar UTHM untuk meningkatkan kemahiran komunikasi melalui perkongsian ilmu teori dan aplikasi bersama masyarakat setempat.

Ujarnya, ia dikendalikan sepenuhnya 12 pelajar Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) yang juga merupakan ahli Persatuan Planeteers UTHM di bawah naungan Sr Ts Dr Nazirah Mohamad Abdullah.

“Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada komuniti setempat.

“Bagi mencapai objektif program, empat modul telah dikongsikan Pensyarah FAST UTHM melibatkan slot pembuatan ais krim nanas yang disampaikan oleh Dr Nurhafizah Malik, pembangunan produk sabun nanas daripada minyak masak terpakai dan sisa kulit nanas oleh Ts Dr Siti Fatimah Sabran serta pembuatan cenderahati resin menggunakan tumbuhan herba oleh Dr Salasiah Mohamad.

Artikel Berkaitan:

“Satu sesi ceramah bertajuk ‘Pengalaman Homestay Malaysia’ turut diadakan di mana ia disampaikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Magdlane Tuborng Melai,” ujar FAST-UTHM lagi.

Sementara itu Penyelaras Homestay Kampung Parit Bugis yang juga Penyelaras Homestay Negeri Johor, Saifudin Mohd Kodak berkata, program itu dilihat dapat meningkatkan semangat daya saing dan mencambah idea kreatif kepada mereka untuk diketengahkan dalam perusahaan.

Jelasnya, program tersebut juga secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk sedia ada untuk dipasarkan kepada pengunjung pada masa depan.

“Program ini dilihat dapat meningkatkan semangat berdaya saing dan pencambahan idea kreatif terutamanya dalam komuniti pengusaha inap desa.

“Menerusinya, ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan sedia ada yang mempunyai keunikan dan identiti tersendiri untuk dipasarkan,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok