
Buli: Krisis senyap yang merosakkan generasi
Setiap kali kes buli tular di media sosial, kemarahan dan simpati masyarakat pasti memuncak. Ramai yang mendesak agar pelaku dihukum dengan tegas.
Namun, seperti biasa, selepas beberapa hari berlalu, isu itu tenggelam tanpa penyelesaian yang benar-benar tuntas. Hakikatnya, buli bukan sekadar masalah disiplin pelajar adalah cerminan kegagalan sosial dan moral yang semakin membara dalam masyarakat kita.
Lebih merisaukan, budaya ini bukan lagi terbatas di sekolah tetapi turut berlaku di universiti, tempat kerja malah di alam maya melalui kata-kata kesat, ejekan dan penghinaan yang sering dipandang ringan sebagai gurauan.
Buli meninggalkan parut yang sukar dipadam. Luka pada tubuh mungkin sembuh, tetapi trauma yang terukir di hati boleh kekal seumur hidup.
Ramai mangsa mengakui bahawa mereka hilang keyakinan diri, takut bergaul dan sering merasa tidak berharga. Perasaan itu terbawa hingga ke alam dewasa, menjadikan mereka sukar menyesuaikan diri di tempat kerja mahupun dalam hubungan sosial. Mereka menjadi cepat cemas, mudah tersinggung dan cenderung mengasingkan diri daripada orang sekeliling.
Lama-kelamaan, mereka menjadi kurang produktif, cepat tertekan dan gagal menyerlahkan potensi sebenar. Inilah kesan jangka panjang yang jarang disedari kerana semuanya tersembunyi di sebalik senyuman yang kelihatan tenang tetapi penuh kepura-puraan.
Budaya buli terus subur apabila pelaku tidak dikenakan tindakan tegas. Ada kalanya, pihak sekolah atau institusi memilih untuk menutup kes demi menjaga imej sedangkan tindakan itu hanya menambah penderitaan mangsa.
Lebih membimbangkan, sikap ini menghantar mesej bahawa kekerasan boleh diterima dan dianggap perkara biasa. Apabila pelaku terlepas daripada hukuman, mereka berasa kebal dan cenderung mengulangi perbuatan yang sama.
Akibatnya, mangsa yang pernah ditindas juga berisiko menjadi pelaku apabila mereka berada di posisi berkuasa.
Inilah kitaran ganas yang berulang tanpa henti dan jika tidak dihentikan, ia akhirnya membentuk budaya masyarakat yang membenarkan kekerasan atas nama 'pengajaran' atau hubungan 'senior-junior'.
Pendidikan sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah budaya buli. Namun, sistem pendidikan kita masih terlalu menumpukan kepada keputusan peperiksaan dan pencapaian akademik semata-mata.
Nilai kemanusiaan, empati dan kawalan emosi sering diketepikan.
Anak-anak diajar cara menjawab soalan, tetapi tidak dibimbing untuk memahami perasaan orang lain. Sedangkan dalam dunia hari ini, kejayaan bukan lagi diukur melalui gred atau sijil semata-mata, tetapi juga melalui kemampuan berfikir secara matang, menghormati orang lain dan berinteraksi dengan empati.
Pelajar yang cemerlang akademik tetapi gagal mengawal emosi dan tidak menghargai perasaan manusia lain sebenarnya belum boleh dianggap berjaya sepenuhnya.
Ibu bapa pula memikul tanggungjawab yang sangat besar. Rumah adalah sekolah pertama bagi setiap anak tempat mereka belajar tentang kasih sayang, hormat, disiplin dan cara berkomunikasi.
Namun dalam kesibukan mengejar kejayaan hidup, ramai ibu bapa tidak sempat memperhatikan perubahan emosi anak-anak. Ada yang tidak menyedari bahawa anak mereka menjadi mangsa dan ada juga yang tidak tahu bahawa anak mereka sebenarnya pelaku. Kadangkala, sikap kasar anak diabaikan kerana dianggap 'biasalah, budak-budak tengah membesar'.
Sedangkan dari situlah bibit-bibit buli mula tumbuh. Komunikasi terbuka, masa berkualiti dan kasih sayang yang konsisten mampu menjadi benteng awal daripada budaya negatif ini. Anak yang merasa disayangi tidak perlu membuktikan kekuatan dengan menyakiti orang lain.
Di era digital kini, buli tidak lagi terbatas di halaman sekolah, ia meresap ke dalam ruang maya yang kita fikir selamat. Setiap hari, berderet komen menghina, ejekan terhadap rupa, status atau kelemahan seseorang menghantui media sosial.
Buli maya ini lebih licik dan berbahaya kerana ia menyerang secara senyap tetapi meninggalkan luka yang mendalam di jiwa mangsa. Ada yang terseret ke lembah kemurungan, tekanan yang membelenggu, malah ada yang terdorong melakukan tindakan membahayakan diri sendiri.
Yang menyedihkan, masyarakat seolah menjadi penonton bisu, terbiasa melihat penderitaan orang lain tanpa rasa tanggungjawab untuk menegur atau membantu. Fenomena ini jelas menandakan krisis empati manusia semakin pudar kepekaannya terhadap derita sesama manusia.
Untuk menangani isu buli, langkah pencegahan perlu bermula dari akar umbi. Sekolah dan universiti harus menjadi ruang selamat, bukan medan ketakutan.
Setiap insiden buli mesti disiasat dengan telus dan adil tanpa memihak kepada sesiapa. Pelaku perlu dipertanggungjawabkan, manakala mangsa diberi perlindungan serta sokongan psikologi berterusan.
Selain itu, sistem aduan yang selamat dan mengekalkan kerahsiaan identiti pelapor perlu diwujudkan supaya pelajar berani bersuara tanpa rasa takut.
Apabila mereka yakin bahawa suara mereka didengar dan dilindungi, pelajar akan lebih berani melaporkan kejadian buli tanpa risau akan dipinggirkan atau dibalas dendam.
Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja menangani buli, malah membina budaya empati dan keberanian di kalangan generasi muda.
Pada masa yang sama, pendidikan moral dan nilai murni harus dimasukkan secara rasmi ke dalam kurikulum bukan sekadar kempen bermusim atau aktiviti sampingan seperti ceramah motivasi sekali-sekala.
Kanak-kanak perlu dididik sejak kecil untuk mengenal emosi, mengawal kemarahan dan memahami kesan setiap perbuatan terhadap orang lain. Pendidikan empati sepatutnya menjadi sebahagian daripada rutin pembelajaran harian, sama pentingnya dengan mata pelajaran akademik lain.
Selain itu, guru perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal buli seperti perubahan sikap, ketakutan untuk datang ke sekolah atau penurunan prestasi akademik. Dengan kepekaan dan kesedaran guru, banyak insiden boleh dicegah sebelum ia berkembang menjadi masalah yang lebih serius.
Kempen kesedaran masyarakat perlu dijalankan secara berterusan bukan hanya selepas tragedi berlaku. Masyarakat harus difahamkan bahawa buli bukan perkara remeh atau sekadar 'main-main', ia adalah tingkah laku yang mampu meruntuhkan masa depan seseorang. Kita perlu membina budaya yang menolak sebarang bentuk kekerasan sama ada fizikal, lisan, mahupun digital.
Setiap individu termasuk pelajar, ibu bapa, guru, majikan dan pengguna media sosial mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan berempati.
Dalam hal ini, media juga boleh memainkan peranan penting dengan menyebarkan mesej positif, bukannya menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan hiburan.
Jika budaya buli terus dibiarkan, kesannya tidak hanya dirasai oleh mangsa, tetapi turut menjejaskan seluruh masyarakat. Kita mungkin menyaksikan peningkatan masalah kesihatan mental, penurunan kualiti pendidikan dan kehilangan generasi muda yang berpotensi menjadi pemimpin masa depan negara.
Lebih menyedihkan, masyarakat akan terbentuk menjadi kelompok yang acuh tak acuh, hilang rasa belas kasihan, dan kehilangan nilai kemanusiaan.
Sebuah negara yang berteraskan nilai ihsan tidak seharusnya membiarkan warganya dibentuk dalam budaya yang menindas dan merendahkan orang lain.
Buli bukan sekadar isu pelajar tetapi ia mencerminkan siapa kita sebagai manusia. Ia menyingkap sejauh mana nilai kemanusiaan masih hidup dalam diri kita.
Sudah tiba masanya kita menghentikan normalisasi penderitaan atas alasan 'tradisi', 'gurauan', atau 'disiplin'.
Setiap kali seorang anak menjadi mangsa buli, masa depan sebuah bangsa turut tercalar. Negara yang benar-benar maju tidak diukur oleh bangunan tinggi atau kemajuan teknologi semata-mata, tetapi melalui kemampuan untuk melahirkan rakyat yang berperikemanusiaan dan berhati besar.
Untuk membanteras buli, kita tidak perlu bermula dengan kemarahan, tetapi dengan pendidikan, empati, dan keberanian untuk bertindak. Perubahan bermula daripada diri sendiri iaitu di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan di dunia maya.
Hanya dengan hati yang penuh kasih, fikiran yang terbuka, dan tindakan yang berani, kita mampu membina generasi yang bukan sahaja cerdas dan berjaya, tetapi juga berhati manusia dan berperikemanusiaan.
Menurut Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 7,681 kes buli di sekolah direkodkan tahun lalu, menunjukkan peningkatan ketara dan menandakan bahawa isu ini masih membarah dalam sistem pendidikan negara.
Angka ini bukan sekadar statistik semata-mata, tetapi cerminan realiti bahawa sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk belajar kadang-kadang bertukar menjadi medan ketakutan bagi sesetengah pelajar.
Peningkatan kes ini juga menegaskan bahawa usaha pencegahan sedia ada masih belum mencukupi, sekaligus menuntut pendekatan baharu yang bukan hanya menumpukan kepada hukuman, tetapi juga memperkukuh pendidikan nilai, empati dan kesedaran emosi dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Khaleeda Yasmin
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (UMT), Jaharudin Padli
Ringkasan AI
- Kes buli sering tular di media sosial tetapi isu itu tenggelam tanpa penyelesaian tuntas
- Buli bukan hanya terbatas di sekolah tetapi juga di universiti, tempat kerja dan alam maya
- Mangsa buli sering mengalami trauma jangka panjang yang mempengaruhi keyakinan diri dan kemampuan sosial
- Kebiasaan menutup kes buli untuk menjaga imej institusi menambah penderitaan mangsa
- Pendidikan empati dan nilai murni sejak kecil adalah penting untuk mencegah budaya buli