Di sebalik dinding penjara, ramai yang memilih untuk berubah memohon keampunan, belajar ilmu agama, memperbaiki akhlak dan menulis semula makna hidup.
Di sebalik dinding penjara, ramai yang memilih untuk berubah memohon keampunan, belajar ilmu agama, memperbaiki akhlak dan menulis semula makna hidup.

Hijrah banduan terbantut kerana mulut

05 Jun 2025 09:46am

Mereka sudah menjalani hukuman.

Dikurung bertahun-tahun, menanggung penyesalan dalam sunyi.

Di sebalik dinding penjara, ramai yang memilih untuk berubah memohon keampunan, belajar ilmu agama, memperbaiki akhlak dan menulis semula makna hidup.

Tapi bila keluar ke dunia luar, mereka berdepan dengan sesuatu yang lebih perit daripada dinding besi iaitu pandangan masyarakat. Mulut manusia.

"Boleh percaya ke dia ni?"

"Dulu penjara, sekarang konon nak jadi ustaz?"

"Orang macam ni memang tak akan berubah."

Ayat-ayat begini bukan sekadar menyakitkan. Ia membunuh semangat. Ia membatalkan harapan. Ia menghukum lebih lama daripada hukuman sebenar.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ramai banduan yang keluar dengan tekad mahu berhijrah. Ada yang mula jadi sukarelawan, jadi imam dan cari rezeki halal. Tapi usaha mereka terbantut bukan sebab mereka malas, tapi sebab masyarakat tak beri ruang.

Hijrah itu bukan sekadar soal dalaman. Ia juga soal penerimaan.

Dan bila masyarakat memilih untuk terus menghukum dengan mulut, hijrah itu perlahan-lahan mati.

Sedangkan hakikatnya, ramai yang keluar penjara jauh lebih insaf dan matang daripada kita yang 'bebas'. Mereka tahu pahitnya kehilangan. Mereka sedar harga sebuah kesilapan. Tapi dunia luar, terlalu ghairah menyimpan kisah lama mereka seolah-olah manusia tidak layak untuk peluang kedua.

Menurut laporan Jabatan Penjara Malaysia, lebih 70 peratus banduan menyertai program pemulihan dan pendidikan sepanjang tempoh hukuman. Ramai yang tamatkan pengajian agama, kemahiran teknikal, malah ada yang hafal al-Quran dalam penjara. Tapi bila keluar, sijil mereka tidak dipandang. Niat baik mereka dicurigai. Senyum mereka dibalas dengan sindiran.

Kita kata kita masyarakat penyayang. Tapi bila orang mahu kembali kepada kebaikan, kita yang tolak mereka dengan kata-kata.

Kita tak perlu agungkan mereka. Tapi paling kurang, berilah ruang untuk mereka membina semula hidup tanpa diburu silap lama.

No Image Caption

Di sinilah peranan masyarakat. Termasuk anak muda, aktivis dan pelajar. Melalui program-program komuniti seperti 'Masyarakat DokPanic 5.0', pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor tampil memberi suara kepada mereka yang sering dibungkam termasuk bekas banduan yang ingin mencari jalan pulang. Mereka tidak mahu dikasihani. Mereka cuma mahu difahami.

Kerana kadang-kadang, yang paling kuat bukan mereka yang lantang. Tapi mereka yang berani berubah walaupun seluruh dunia meragui mereka.

Dan kalau kita benar-benar percaya pada erti 'hijrah', maka diamkanlah mulut dan biarkan mereka melangkah ke arah yang lebih baik.

Maklumat Penulis:

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media (Pengiklanan), UiTM Shah Alam, Selangor, Puteri Anis Najwa Mohd Rafdi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp