Kacau dodol, agihkan kepada komuniti
Selalunya pada bulan Ramadan, kita akan melihat masyarakat mengambil kesempatan menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada komuniti setempat.
Lain yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila buat julung kalinya, warga Kolej Keris Mas (KKM) universiti itu, bergotong royong menghasilkan makanan tradisi yang kian dilupakan iaitu dodol.
Pengetua KKM, Profesor Madya Dr Hamidun Bunawan berkata, warga kolej menyahut cabaran itu dan menghasilkan tiga kawah dodol sebelum diagihkan kepada warga UKM dan juga komuniti di sekitar Bangi.
“Seawal jam tujuh pagi lagi mereka bersiap sedia menyediakan dodol tersebut. Ia disertai kira-kira 75 orang yang terdiri dalam kalangan pihak pengurusan, kakitangan, barisan felo, Majlis Eksekutif Pelajar dan warga kolej.
“Selain dari hubungan universiti dan komuniti, program ini juga diadakan bagi mengeratkan kerjasama dan silaturahim antara warga kolej.
“Bukan senang untuk kita menghasilkan dodol kerana ia mengambil masa yang lama. Dengan keadaan cuaca panas dan kita berpuasa, sudah tentu kerjasama semua pihak penting untuk mengacau dodol sehingga siap,” ujarnya.
Sementara itu, program kacau dodol turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil dan Pendaftar, Datuk Dr Syed Kamarudin Sadakkuthulla.
“Kali terakhir saya mengacau dodol adalah lebih kurang tujuh hingga lapan tahun lepas,” kata Mohd Ekhwan yang teruja sewaktu turut sama menyumbang tenaga mengacau dodol.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Biologi Sistem (INBIOSISI), Profesor Dr Syarul Nataqain Baharum berkata, penghuni KKM beruntung dapat merasai pengalaman kacau dodol beramai-ramai.
“Manis dodol bukan sahaja pada rasanya, tapi pada kerjasama yang terjalin sepanjang proses pembuatan,” ujarnya.
Terdahulu, selain penglibatan warga kolej, beberapa organisasi dan Pusat Tanggungjawab UKM lain turut serta untuk merasai kemeriahan mengacau dodol bersama-sama.
Antara yang terlibat ialah kakitangan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (KOR SUKSIS), Polis Bantuan UKM, INBIOSISI, Pusat Kesatria, Institut Kajian Etnik, Unit Audit Dalam dan beberapa pihak pengurusan Kolej Kediaman.