Dari kiri: Neelofa, Awal Ashaari dan Raqim selaku panel dalam Program Bual Bicara Komunikasi Krisis bertajuk Menangani Krisis Membina Reputasi di UKM baru-baru ini. Gambar kecil: Sudirman.
Dari kiri: Neelofa, Awal Ashaari dan Raqim selaku panel dalam Program Bual Bicara Komunikasi Krisis bertajuk Menangani Krisis Membina Reputasi di UKM baru-baru ini. Gambar kecil: Sudirman.

Pentingnya komunikasi elak krisis

26 Jan 2024 09:28am

Setiap individu termasuk remaja pasti pernah menghadapi krisis dalam kehidupan.

Perkara ini terjadi apabila individu mengalami kejadian traumatik atau ketegangan yang menyebabkan ketidakseimbangan, gangguan dan disorientasi.

Kegagalan mengawal masalah ini membawa kesan negatif terhadap diri individu berkenaan. Namun krisis yang berjaya ditangani memberi kesan baik untuk perkembangan kendiri mereka.

Justeru, intervensi yang berkesan perlu membabitkan bimbingan, sokongan dan psiko pendidikan kepada remaja yang mengalami krisis dalam kehidupan mereka.

Dalam usaha mengaplikasikan intervensi ini, maka krisis dalam kalangan remaja perlu difahami secara tepat.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kadaruddun Aiyub berkata, kemahiran komunikasi sangat penting dalam menangani krisis terutama membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, pendekatan yang diambil di fakulti bawah pimpinannya adalah dengan mengaplikasikan beberapa elemen dalam membuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau di FSSK sendiri, apa yang kami lakukan terutama dalam kurikulum ada dua perkara iaitu secara terus yang memang dimasukkan beberapa elemen dalam membuat keputusan.

"Aspek ini penting kerana berkait dengan analisis data dan keputusan yang dibuat. Ia memang ada dalam kurikulum baharu dan akan dilaksanakan dalam tahun ini.

“Kedua, dalam konteks kerja, pelajar kami menguruskan projek sebagai contoh program secara langsung. Dari situ, berlaku keputusan dan krisis serta dapat dipelajari terus sekali gus dilaksanakan dalam semua program,” katanya.

Kongsi Kadaruddun, memberi kefahaman tepat berkaitan krisis dalam kalangan remaja supaya dengan maklumat yang diperoleh menjadi asas garis panduan dan penentu dalam mengendalikan kes krisis secara berkesan.

“Paling penting adalah menghindari krisis. Saya lihat ia satu perkara yang sangat penting dan berkait juga dengan tahap kesihatan mental seseorang. Ia perlu diketengahkan, cuba didik dan tunjuk juga apa impak yang akan berlaku.

“Apa yang hendak ditekankan adalah dalam apa sahaja keputusan yang diambil, kita tetap akan berhadapan krisis. Sama ada krisis dalaman atau luaran.

“Daya tahan generasi sekarang sangat kurang, jadi kalau tidak diutamakan bagaimana untuk mengurus krisis, ia akan menjadi masalah. Itu pandangan kami dalam pendidikan ini dan ia sangat penting,” katanya.

Kadaruddin hadir merasmikan Program Bual Bicara Komunikasi Krisis anjuran Pelajar Sarjana Komunikasi Krisis di bawah seliaan Dr Ammar Redza Ahmad Rizal selaku pensyarah kursus merangkap Penyelaras Strategik FSSK.

Program yang membawakan tajuk 'Menangani Krisis Membina Reputasi' itu menampilkan selebriti terkenal, Neelofa dan Awal Ashaari serta Naib Presiden Strategik Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad selaku ahli panel.

Antara hadirin yang tidak melepaskan peluang mendengar perkongsian mereka.
Antara hadirin yang tidak melepaskan peluang mendengar perkongsian mereka.

Sementara itu, Ammar berkata, krisis dalam kalangan pelajar IPT perlu ditangani sebaik mungkin kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan akademik pelajar dan keseluruhan kehidupan mereka.

Katanya lagi, apabila seseorang pelajar itu mengalami krisis, mereka mungkin menghadapi masalah motivasi, pencapaian akademik yang rendah emosi pun tidak stabil.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi pelajar agar mereka dapat menghadapi dan menyelesaikan krisis tersebut dengan jayanya.

"Menjadi kepentingan juga dalam memastikan bahawa pelajar tahu bahawa luahan mereka didengar dan dipedulikan. Ia penting untuk memberi mereka ruang berkongsi perasaan dan kebimbangan tanpa takut dihukum atau diabaikan.

“Melalui pendekatan empati dan pemahaman yang mendalam terhadap setiap individu, kita dapat membantu mereka merasakan sokongan sejati.

"Dalam masa yang sama, penjagaan diri dan kesejahteraan mental pelajar perlu diutamakan dalam setiap penyelesaian krisis.

"Menerapkan gaya hidup sihat, mempraktikkan teknik-teknik relaksasi dan akses kepada persekitaran seimbang mampu menjadikan pelajar lebih berkeyakinan menangani krisis,” katanya.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Fakulti i Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Sudirman Mohd Tahir

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp