Kesan daripada lonjakan harga barang asas hingga meningkatkan komitmen kewangan mengakibatkan kumpulan M40 berhadapan dengan tekanan yang kian membebankan.
Kesan daripada lonjakan harga barang asas hingga meningkatkan komitmen kewangan mengakibatkan kumpulan M40 berhadapan dengan tekanan yang kian membebankan.

Tertekan akibat peningkatan kos sara hidup

11 May 2025 10:15am

Malaysia mempunyai tiga golongan kumpulan isi rumah iaitu B40, M40 dan T20.

Kini, golongan M40 iaitu kumpulan isi rumah pertengahan menghadapi cabaran besar dalam kehidupan kesan daripada kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Secara tradisinya, golongan ini dianggap sebagai kumpulan yang hanya cukup makan dan stabil dari segi kewangan berbanding golongan kumpulan B40, namun mereka terhimpit akibat kenaikan kos sara hidup ini.

Kesan daripada lonjakan harga barang asas hingga meningkatkan komitmen kewangan mengakibatkan kumpulan M40 berhadapan dengan tekanan yang kian membebankan.

Situasi ini menyebabkan ramai daripada golongan berkenaan berada di ambang ketidakcukupan.

Krisis ini mencerminkan realiti bahawa betapa seriusnya krisis yang sedang melanda mereka, malah ia bukan sahaja memberi impak terhadap ekonomi peribadi tetapi impak terhadap ekonomi negara secara keseluruhan.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kumpulan M40 merupakan isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM4,850 hingga RM10,959.

Namun, walaupun pendapatan mereka lebih tinggi berbanding B40, kestabilan kehidupan tidak menjamin kerana mereka turut menanggung komitmen yang besar dalam kehidupannya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sebagai contoh, komitmen kewangan seperti ansuran rumah, kos pendidikan anak-anak dan perbelanjaan harian telah menambah tekanan kepada golongan ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kenaikan harga barangan asas seperti beras, minyak dan telur serta perkhidmatan telah memberi penekanan yang hebat kepada mereka.

Tamsilnya, awal 2023 berlaku peningkatan harga makanan sekitar lima peratus hingga lapan peratus malah kos utiliti seperti elektrik, air dan gas turut menunjukkan trend kenaikan.

Dengan kadar inflasi tahunan sekitar tiga peratus hingga empat peratus, ramai isi rumah M40 bergelut untuk menampung keperluan asas mereka sehingga terpaksa mengubah gaya kehidupan.

Realitinya, kumpulan M40 kini bukan lagi golongan ‘cukup makan’ seperti yang digambarkan malah golongan ini digelar sebagai ‘golongan miskin baharu’.

Mereka tidak layak untuk menerima subsidi atau bantuan tunai kerana tahap pendapatan mereka melebihi had kelayakan, walaupun secara realiti mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas impak daripada kenaikan kos sara hidup tersebut.

Misalnya, seorang pekerja swasta yang berpendapatan RM5,000 sebulan mungkin terpaksa membelanjakan separuh gajinya untuk ansuran rumah dan kenderaan.

Tetapi, sebahagian besar gaji itu perlu dibelanjakan untuk kos makanan, pendidikan anak-anak dan kesihatan, jadi lebihan baki yang tinggal hanya untuk simpanan atau perbelanjaan ketika kecemasan.

Situasi ini menunjukkan wujudnya jurang yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Keadaan ini digambarkan memberi tekanan hidup yang ketara oleh kumpulan M40 apabila tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulai Pinang.

Kurangkan kualiti hidup

Kos hidup yang tinggi memaksa golongan M40 mengurangkan kualiti hidup termasuk memotong perbelanjaan bagi pendidikan anak-anak dan kesihatan.

Situasi lebih menyedihkan apabila tekanan kewangan dihadapi membawa kesan psikologi yang mendalam.

Oleh sebab itu, ramai golongan M40 menghadapi tekanan dan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan mereka. Keadaan tersebut akan menjejaskan kesihatan mental, produktiviti kerja dan hubungan keluarga mereka.

Di samping itu, golongan M40 juga sering berdepan dengan stigma masyarakat kerana mereka tidak tergolong dalam golongan miskin tegar.

No Image Caption

Situasi ini menyebabkan keluhan oleh golongan M40 dipandang ringan oleh masyarakat dan pihak berkuasa. Akibatnya, masalah yang dihadapi terus memburuk tanpa sokongan dan perhatian yang sewajarnya.

Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan telah melaksanakan pelepasan cukai bagi perbelanjaan tertentu seperti pendidikan, perubatan dan pembelian peralatan teknologi.

Dari segi pengangkutan pula subsidi minyak turut diperkenalkan. Ia bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat.

Namun begitu, masih ramai dalam kumpulan M40 merasakan bahawa inisiatif yang disediakan ini tidak mencukupi.

Bantuan tunai seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR) lebih memfokuskan kepada golongan kumpulan B40.

Situasi ini mengakibatkan golongan M40 yang berada di ‘zon kelabu’ iaitu zon antara stabil dan tertekan sering terlepas daripada sebarang bantuan langsung.

Pendekatan lebih menyeluruh

Menurut Pakar Ekonomi, Dr Farah Asyikin dari Universiti Malaya, beliau menjelaskan peningkatan kos sara hidup ini memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

Oleh sebab itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melakukan kenaikan had kelayakan bantuan berdasarkan kepada kos hidup wilayah.

Sebagai contoh, pendapatan isi rumah RM6,000 mungkin mencukupi untuk rakyat hidup di kawasan luar bandar tetapi ia tidak mencukupi untuk hidup di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Tambahan pula, beliau turut menyarankan agar subsidi bersasar perlu diperluaskan kepada golongan kumpulan M40 yang benar-benar memerlukannya, termasuk subsidi bagi pendidikan, kesihatan dan perumahan bertujuan untuk membantu mereka menghadapi cabaran kos hidup.

Walaupun bantuan kerajaan amat diperlukan, Namun, dalam masa yang sama golongan kumpulan M40 juga boleh mengambil langkaH inisiatif sendiri bagi menguruskan kewangan dengan cara yang lebih baik.

Antaranya termasuklah mengenal pasti perbelanjaan yang penting dan tidak penting bagi memastikan wang itu digunakan secara optimum.

No Image Caption

Selain itu, golongan M40 juga perlu mengutamakan simpanan dalam instrumen pelaburan yang lebih berdaya saing seperti unit amanah atau saham bertujuan memperolehi pulangan yang lebih tinggi berbanding simpanan biasa.

Secara tidak langsung, individu dalam golongan kumpulan M40 ini, boleh memfokuskan kepada usaha untuk mengurangkan jumlah hutang terutamanya hutang yang membawa kadar faedah tinggi perlu diberi perhatian bagi mengurangkan beban kewangan.

Seterusnya, golongan ini boleh meningkatkan pendapatan melalui pencarian peluang pendapatan tambahan misalnya, melakukan kerja sambilan atau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Dengan cara tersebut, keadaan ini dapat membantu meningkatkan kestabilan kewangan mereka untuk keperluan asas dan simpanan.

Selain daripada kerajaan dan individu, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam menyokong kumpulan ini dengan cara melaksanakan program-program komuniti.

Sebagai contoh, melaksanakan pasar komuniti atau koperasi yang menawarkan barang-barang asas pada harga yang lebih rendah sekali gus membantu mereka menjimat perbelanjaan.

Lain daripada itu, sektor swasta juga boleh memperkenalkan latihan kemahiran atau menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi membantu golongan M40 meningkatkan pendapatan mereka.

Majikan boleh menawarkan elaun khas kepada pekerja di kawasan bandar.

No Image Caption

Cabaran besar

Kesimpulannya, krisis kos kehidupan yang melanda kumpulan M40 merupakan satu cabaran besar yang memerlukan perhatian segera daripada semua pihak.

Sebagai tulang belakang ekonomi negara, kelemahan yang dihadapi oleh kumpulan ini boleh memberi impak besar terhadap kestabilan keseluruhan masyarakat.

Pihak kerajaan, swasta dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan golongan kumpulan M40 ini tidak terpinggir.

Pelbagai langkah proaktif yang perlu diperkenalkan di samping golongan ini berusaha secara sendiri terhadap pengurusan kewangan mereka.

Secara tidak langsung, pendekatan ini bukan sahaja membantu kumpulan golongan M40 malah ia turut memastikan masa depan yang lebih cerah dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Hamizah Mansor

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp