Ubah ekonomi atau kompromi privasi?
Dalam kesibukan menangani masalah membangunkan semula ekonomi selepas pasca Covid-19, Malaysia tidak terkecuali turut sama mengembangkan keupayaannya bagi menjadikan setanding dengan negara maju lain.
Negara kini menghadapi pembangunan teknologi melalui ID Digital terlebih dahulu dari negara-negara serantau.
ID Digital ialah suatu bentuk pengenalan diri ataupun bentuk pengesahan diri secara digital atau maya di mana merujuk kepada sumber tunggal - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Hal ini kerana, ID Digital juga dapat melancarkan dan memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara jarak jauh di alam maya melalui penyedia perkhidmatan digital yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan sektor awam mahupun sektor swasta, bertujuan melakukan pengesahan diri dengan selamat, terjamin dan lebih menjimatkan masa.
Terdapat beberapa negara yang telah melaksanakan ID Digital iaitu United Kingdom, Estonia, Kanada, India, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
ID Digital Malaysia bakal dikenali sebagai ID Digital Nasional dan digunakan oleh rakyat bermula tahun 2024.
Malaysia pula mengambil pendekatan berbeza berbanding negara-negara lain dalam konteks ID Digital ini iaitu melalui pendekatan tidak akan merakam cap jari ataupun iris pengguna yang bertujuan menjimatkan kos pembiayaan pelaksanaan ID Digital Nasional.
Malaysia pula telah menjalankan projek kerjasama ID Digital bersama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) gunaan Nasional atau lebih dikenali dengan MIMOS.
Manakala ID Digital dikatakan akan lebih mempengaruhi ekonomi melalui pelbagai cara iaitu kecekapan dan pengurangan kos.
Proses bakal diperkemas melalui ID Digital yang membolehkan pelbagai proses dipermudahkan dan dipercepatkan seperti onboarding pelanggan, pengesahan dan transaksi.
Penyelarasan ini selalunya akan membawa kepada peningkatan kecekapan operasi.
Dalam customer onboarding secara fizikal perniagaan selalunya akan memerlukan pelanggan untuk mengemukakan dokumen pengenalan secara fizikal yang membawa kepada kelewatan dan kesulitan.
Ia juga bakal mengurangkan kos pentadbiran melalui proses pendigitalan secara automatik di mana pengesahan identiti dapat dilakukan dengan mudah dan membolehkan kos pentadbiran dapat dikurangkan dalam pentadbiran bagi perniagaan serta agensi-agensi kerajaan.
Membangunkan ekonomi
ID Digital dapat membangunkan ekonomi dalam aspek kewangan iaitu melalui akses terhadap perkhidmatan perbankan.
Pelaksanaan ID Digital membolehkan akses terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan akan lebih mudah bagi individu yang mungkin tidak mempunyai kad pengenalan diri secara fizikal.
Hal ini demikian dapat menggalakkan rangkuman kewangan bagi membolehkan lebih ramai dalam kalangan masyarakat mengambil bahagian dalam ekonomi formal.
Di samping itu, melalui perkhidmatan E-kerajaan, ID Digital dapat meningkatkan akses terhadap perkhidmatan awam seperti akses terhadap perkhidmatan kerajaan dalam talian, mengurangkan keperluan kehadiran secara fizikal di jabatan-jabatan kerajaan dan dapat melakukan pengurangan kertas kerja.
Perkara tersebut dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
ID Digital juga dapat mencegah daripada berlakunya penipuan di mana ia dapat membantu dalam mencegah penipuan identiti dalam program kerajaan dan juga dapat memastikan manfaat dan perkhidmatan dapat sampai kepada penerima-penerima yang layak mendapatkan bantuan.
Pada masa sama, melalui platform E-dagang dan transaksi digital, transaksi dalam talian akan lebih selamat apabila menggunakan ID Digital kerana ia dapat menyediakan tempat melakukan pengesahan identiti yang lebih dipercayai dan lebih selamat.
Hal ini secara tidak langsung dapat mengalakkan pertumbuhan e-dagang dan pembayaran secara digital.
Penipuan dalam talian dapat dicegah dan dikurangkan sekali gus dapat melindungi hak kedua-dua perniagaan dan pengguna.
Keselamatan siber akan lebih dipertingkatkan seperti berikut iaitu melalui pergabungan ciri-ciri keselamatan oleh ID Digital seperti pengesahan biometrik atau pengesahan dua faktor yang menjadikannya lebih sukar bagi individu yang tidak dibenarkan untuk mengakses maklumat yang sensitif.
Beri perlindungan
ID Digital dapat memberi perlindungan terhadap kecurian identiti dengan memastikan proses pengesahan identiti dilakukan dengan lebih selamat dan disahkan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu urusan.
Ia juga adalah rantaian terhadap bekalan dan logistik.
Pengurusan rantaian bekalan yang cekap melalui penggunaan ID Digital bagi menjejak dan mengesahkan barangan dalam rantaian bekalan, meningkatkan ketelusan dan pengurangan terhadap risiko pemalsuan ataupun penipuan.
Juga membolehkan proses di Kastam dapat dilakukan dengan lebih pantas dengan menyediakan langkah ebih cekap dan selamat untuk sebarang pengesahan individu atau sesuatu entiti yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa serta yang terlibat dalam permerdagangan manusia.
Selain itu, ID Digital meningkatkan inovasi dan perkembangan ekonomi digital.
Hal ini kerana ID Digital adalah elemen asas untuk pembangunan pelbagai perkhidmatan dan inovasi digital serta memupuk pertumbuhan sektor ekonomi digital berkembang dengan lebih pesat.
Kemudahan perkhidmatan dalam talian seperti pendidikan atas talian sehinggalah kepada teleperubatan, ID Digital memainkan peranan penting bagi membolehkan pelbagai perhidmatan dalam talian dapat disalurkan kepada masyarakat sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kesimpulannya, revolusi ID Digital mempunyai potensi besar untuk mengubah ekonomi dengan memupuk kecekapan, mengurangkan kos dan membolehkan ketersambungan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Walau bagaimanapun, evolusi ini bukan tanpa cabarannya, terutamanya dalam bidang privasi.
Mencapai keseimbangan yang betul antara faedah ekonomi ID Digital dan melindungi hak privasi individu adalah yang terpenting.
Semasa kita mengemudi transformasi ini, adalah penting bagi kerajaan, perniagaan dan pihak berkepentingan teknologi untuk secara kolaboratif mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang mantap.
Rangka kerja ini harus menangani kebimbangan yang berkaitan dengan keselamatan data, akses tanpa kebenaran dan kemungkinan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keterangkuman dalam penggunaan sistem ID Digital adalah penting untuk memanfaatkan kesan ekonomi yang positif sambil menegakkan hak asasi untuk privasi dalam era digital.
Evolusi ID Digital harus dipandu oleh pertimbangan etika, meletakkan individu di tengah-tengah revolusi ini bagi memastikan manfaat dikongsi secara saksama merentas masyarakat.
Maklumat penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Arfah Adilah Ahmad
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my