Kerana bahayanya rokok dan vape, kumpulan mahasiswa UMS sanggup lakukan ini kepada komuniti Kampung Minyak
Sesetengah masyarakat masih tidak menyedari tentang bahayanya merokok dan menghisap vape.
Bagi mereka, merokok dan vape hanyalah sekadar aktiviti biasa yang hanya dilakukan bagi mengisi masa lapang semata-mata.
Bagaimanapun, merokok dan vape yang dilakukan secara berterusan akan menyebabkan ketagihan sekali gus mendatangkan pelbagai risiko penyakit seperti serangan jantung, diabetes, kanser paru-paru, strok, asma untuk kanak-kanak, kesihatan mental, gangguan pada tahap kesuburan lelaki, angin ahmar dan mulut berbau.
Manakala ketagihan vape pula akan mengakibatkan para penggunanya terdedah kepada serangan jantung, risiko barah, popcorn lung (bronchiolitis obliterans) dan hepatitis.
Menyedari banyaknya kesan buruk akibat merokok dan menghisap vape, kumpulan mahasiswa Doktor Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Promosi Kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Minyak, Kudat, Sabah baru-baru ini.
Program bertemakan Kampung Minyak O.S.E.M. (Orang Sihat Elak Merokok) yang dihadiri komuniti di kampung tersebut memberi tumpuan kepada usaha pencegahan merokok berdasarkan hasil kajian selama empat minggu di kampung berkenaan.
Menurut kenyataan media UMS, program bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk kampung dengan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya merokok dan vape khususnya dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, program juga berkongsi maklumat tentang cara-cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ketagihan sekali gus melahirkan generasi bebas rokok dan vape.
Kata kenyataan media itu lagi, pelaksanaan program sejajar dengan cadangan dasar ‘Generational Endgame’ (GEG) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Februari 2022 yang melarang aktiviti berkaitan rokok tembakau termasuk vape bagi mereka yang lahir selepas tahun 2005.
“Di bawah pelaksanaan GEG, produk merokok kini tidak boleh dijual kepada generasi yang lahir bermula dari 1 Januari 2005 dan ke atas.
“Secara spesifiknya, golongan belia yang berumur 18 tahun dan ke bawah pada 2023 adalah dilarang untuk membeli dan memiliki sebarang produk merokok,” ujarnya.
Sementara itu, hasil analisa data dalam kajian yang dijalankan oleh kumpulan Doktor Perubatan UMS mendapati mereka yang bukan perokok memiliki kesihatan mental dan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan yang lebih baik secara keseluruhannya.
“Justeru, penganjuran program ini amat penting dalam mencapai GEG yang bermatlamat menurunkan peratus perokok kurang daripada lima peratus menjelang 2040,” jelas kenyataan media itu lagi.