Muhammad Syukri (kiri) membantu sebagai penterjemah bahasa di HMM yang didirikan di Celikhan.
Muhammad Syukri (kiri) membantu sebagai penterjemah bahasa di HMM yang didirikan di Celikhan.

Pelajar PhD jadi penterjemah bahasa di HMM ATM Celikhan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
23 Feb 2023 04:38pm
A
A
A

Suasana sangat sejuk merupakan antara cabaran perlu ditempuhi pelajar doktor falsafah (PhD) di Turkiye terlibat dalam operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan kejadian gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

Pelajar bidang kimia di Yildiz Technical University, Istanbul, Muhammad Syukri Mohamad Misenan berkata, dia dihubungi Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye bagi membantu sebagai penterjemah bahasa di HMM yang didirikan di Celikhan.

"Pada mulanya, saya sangat terkejut menerima panggilan pada 14 Februari lalu untuk menggalas tugas sebagai penterjemah bahasa. Begitupun, sebagai penterjemah bahasa, tugas tersebut amat penting menjadi penghubung antara doktor dan warga tempatan.

"Sepanjang perjalanan ke sana (HMM) ia amat mencabar disebabkan jalan masih ditutup akibat salji tebal dan licin.

"Saya kemudian menaiki helikopter selama 15 minit bersama Angkatan Tentera Udara Turkiye dari Lapangan Terbang Adiyaman untuk sampai ke Celikhan,” ujarnya.

Muhammad Syukri.
Muhammad Syukri.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, Muhammad Syukri menambah, suhu di kawasan tersebut sangat ekstrem sehingga mencecah sekitar -4 darjah celcius pada waktu tengah hari kerana dikelilingi gunung bersalji.

Pemuda berusia 31 tahun itu memberitahu, dapat bekerjasama dan membantu ATM dalam cuaca sejuk merupakan pengalaman baharu.

Dia yang merupakan graduan Teknologi Kimia Industri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, tidak terkecuali terlibat membantu merawat kes kecemasan di hospital tersebut.

Graduan USIM tersebut tidak terkecuali terlibat membantu merawat kes kecemasan di hospital tersebut.
Graduan USIM tersebut tidak terkecuali terlibat membantu merawat kes kecemasan di hospital tersebut.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mengikuti misi bantuan gempa bumi. Mungkin ketentuan ALLAH saya dipilih untuk membantu dengan kebolehan berbahasa Turkiye," katanya lagi.

Sejak menyambung pengajian di USIM, Muhammad Syukri sangat aktif dalam misi kemanusiaan termasuk misi Global International Student Outreach (GISO) USIM termasuk ke Vietnam, Kemboja dan Lubnan.

HMM dibina bagi meneruskan misi memberi bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok