Pementasan ‘Penghuni Hutan Menentang Gergasi’ berjaya menambat hati kanak-kanak menyukai teater muzikal.
Pementasan ‘Penghuni Hutan Menentang Gergasi’ berjaya menambat hati kanak-kanak menyukai teater muzikal.

‘Penghuni Hutan Menentang Gergasi’ beri peluang kanak-kanak sukakan teater muzikal

ROSHLAWATY MD RAIEH
13 Feb 2023 01:34pm
A
A
A

Teater merupakan lakonan daripada skrip drama yang dipersembahkan di atas pentas dengan menggabungkan pelbagai aspek seni.

Penggunaan props, muzik, lagu, kostum, latar, dialog dan gerak badan seseorang pelakon telah menjadikan pementasan teater unik dan istimewa bagi sesiapa yang menyaksikannya.

Bagaimanapun, pementasan teater sering dipersembahkan kepada golongan dewasa berbanding kanak-kanak terutamanya mereka yang berumur 6 tahun dan ke bawah.

Ramai mengandaikan faktor pementasan teater tidak diketengahkan kepada kanak-kanak disebabkan mereka terlalu muda dan belum memahami konsep teater yang sebenar.

Selain itu, kewujudan pelbagai kartun dan animasi kanak-kanak dalam rancangan televisyen, YouTube dan media elektronik yang lain menyebabkan persembahan teater untuk mereka semakin dipinggirkan.

Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil teater muzikal yang mempunyai banyak nilai sastera dan estetika semakin kurang diminati kanak-kanak.

Dalam memastikan teater muzikal terus menjadi pilihan golongan tersebut, seramai 31 mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) Dengan Kepujian, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif menganjurkan persembahan teater muzikal khusus untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun.

Menurut Penasihat Program, Dr Juppri Bacotang, teater muzikal bertajuk ‘Penghuni Hutan Menentang Gergasi’ hasil adaptasi animasi ‘Pada Zaman Dahulu’ merupakan salah satu keperluan tugasan kursus TD40303 Drama dan Teater Kanak-Kanak yang diketuai Ahmad Nor Syakirin Bahak Udin dan Frenilla Ngilo.

Artikel Berkaitan:

Tambah Juppri, kumpulan mahasiswa tersebut telah membuat persiapan rapi dengan menulis skrip drama yang sesuai, mencipta props dan kostum daripada bahan terbuang, menjalani latihan lakonan secara berkala serta memastikan gerak kerja ahli jawatankuasa berjalan lancar.

Dr Juppri
Dr Juppri

“Seramai 50 kanak-kanak Tadika Pusat Minda Lestari (PML), UMS berumur 4 hingga 6 tahun telah menyaksikan teater muzikal berkenaan.

“Melalui muzikal tersebut, kanak-kanak mendapat pengalaman dan pengetahuan baharu berkaitan pementasan teater muzikal yang mungkin masih asing buat mereka.

“Selain itu, golongan tersebut juga dapat belajar sesuatu berkenaan nilai dan pengajaran yang terdapat dalam teater kerana kanak-kanak lebih mudah memahami dan mengingati sesuatu perkara melalui lagu dan penceritaan,” ujarnya yang juga Pensyarah Kanan, PAKK, FPP, UMS.

Persembahan teater muzikal yang dianjurkan Kelab PAKK, FPP dengan kerjasama PML, UMS dirasmikan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FPP, UMS, Dr Roslee Talip di Mini Auditorium, FPP, universiti tersebut.

Hadir sama, Pengarah PML, Dr Suwaibah Zakaria; Ketua PAKK, Dr Connie Shin @ Connie Cassy Ompok; Penasihat Kelab PAKK, Dr Nur Suhaidah Sukor dan Pensyarah PAKK, Dr Jusiah Idang.

No Image Caption

Sementara itu, Roslee berkata, program sebegini wajar dilaksanakan kerana dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap teater muzikal.

“Selain minat, ia juga dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa PAKK yang akan menjadi pendidik kreatif dan versatil kelak,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok