Penuntut UPM kongsi pendidikan STEM bersama komuniti Tanjung Karang
Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) masih dianggap pendidikan baharu bagi sesetengah penduduk tempatan.
Ia kerana STEM lebih didedahkan kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) berbanding orang ramai yang bukan lagi bergelar pelajar.
Memandangkan keperluan ilmu STEM pada masa kini, seramai 50 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) ‘turun padang’ ke komuniti Tanjung Karang, Selangor bagi berkongsi pendidikan STEM kepada mereka sebagai satu latihan sosial.
Program dikenali Semarak Siswa Madani @ Tanjung Karang itu bertujuan memperkenalkan idea baharu penuntut kampus terbabit menerusi aktiviti demontrasi STEM.
Menurut Ketua Pasukan Outreach Physics STEM, Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil, program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar berkenaan kepentingan STEM dalam kehidupan seharian.
“Selain berkongsi maklumat tentang STEM, peserta juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada komuniti seperti Kem STEM; Pameran STEM bertajuk ‘Waste 2 Wear’; Magik Fizik dan STEM Funfair.
“Kesemua aktiviti ini memfokuskan kepentingan sains dalam kehidupan dan ia berjaya menarik perhatian penduduk untuk mengikutinya hingga tamat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr Arifin Abdu memuji program tersebut yang dilihat memberi pelbagai peluang kepada penuntut untuk mengembangkan kemahiran, bakat, fikiran kritis dan kreatif sepanjang khidmat sosial dengan komuniti Tanjung Karang berlangsung.
Katanya, program sebegini harus diadakan dari semasa ke semasa supaya pendidikan STEM itu terus diminati ramai.
Sebagai info, STEM bermaksud gabungan (integration) mata pelajaran bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi.
Kurikulum STEM mengabungkan keempat-empat disiplin tersebut dan menggalakkan pengalaman hands-on serta memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan dalam bilik darjah pengetahuan ‘dunia sebenar’ yang relevan.
Dalam konteks STEM, ia diperlukan bagi memastikan pelajar dapat berfikir dengan lebih kritis dan inovatif untuk menyelesaikan masalah serta cabaran dunia luar apabila terlibat dalam bidang pekerjaan.