Sharifuddin
Sharifuddin

SPIH lahir 100 pembimbing haji, umrah

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
14 Feb 2023 11:06am

Pembimbing haji dan umrah memainkan peranan penting dalam memastikan para jemaah dapat menunaikan tanggungjawab dengan sempurna apabila berada di Tanah Suci.

Menyedari kepentingan tersebut, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjalin kerjasama dalam membangunkan program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) melahirkan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS).

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, program pengajian SPIH mula diperkenalkan sejak 2010 merupakan usaha untuk memastikan setiap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan.

"Sebelum ini, program dilaksanakan sepenuhnya secara bersemuka dalam tempoh enam hari. Begitupun, terdapat penambahbaikan kali ini apabila TH dan USIM memperkenalkan kaedah pembelajaran dan penilaian baharu untuk meningkatkan serta menambah baik kualiti program SPIH.

"Ia dijalankan secara hibrid iaitu dalam talian dan secara bersemuka bertujuan untuk meningkatkan impak pembelajaran serta kualiti ilmu

dalam tempoh masa pembelajaran lebih panjang supaya peserta dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran," katanya dalam ucapan majlis Penutup dan Penyampaian SPIH kali ke-11 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Selangor, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sharifuddin (kanan) bersama Syed Saleh (dua dari kanan) pada majlis Penutup dan Penyampaian SPIH kali ke-11 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Selangor, baru-baru ini.
Sharifuddin (kanan) bersama Syed Saleh (dua dari kanan) pada majlis Penutup dan Penyampaian SPIH kali ke-11 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifuddin Md Shaarani, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor; Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin; Pengurus Besar (Penyelidikan dan Pembangunan Haji) TH, Mohd Sawal Abong; Pengurus Besar (Bimbingan Haji) TH, Tengku Aziz Raja Abdullah dan Ketua Perunding Sijil Pembimbing Ibadat Haji 2022/1444H ke-11, Dr Fauziah Hassan.

Dalam program pengajian SPIH kali ini, seramai 71 peserta merupakan PEKTA, guru agama PJH dan syarikat pelancongan pula 27 manakala dua anggota TH.

Syed Saleh memberitahu, TH telah menerima Anugerah Labaittom dari kerajaan Arab Saudi bagi kategori Pembimbing Haji Terbaik Dunia Islam (Best Awareness Program in the Islamic World).

Beliau berharap program SPIH ini dapat membantu hasrat TH melahirkan jemaah haji yang soleh.

"Kita tidak mahu jemaah haji pergi dan balik tunai haji begitu sahaja dengan hanya membuat ibadat haji sebagai satu ritual. Jemaah haji yang bukan hanya menjadi muslim yang baik (soleh), sempurna rukun Islamnya yang ke-5 tetapi turut berfungsi sebagai insan yang menjadi agen kebaikan (musleh) dalam masyarakat dan negara.

Sharifuddin
Sharifuddin

"TH telah mengendalikan seramai 1.5 juta umat Islam di negara ini untuk tunai haji sejak penubuhannya 60 tahun lalu. Bayangkan jika 1.5 juta Haji dan Hajah ini menjadi agen perubahan dan pengerak utama usaha Islah di negara kita, Insya-Allah, negara akan terus aman serta berada dalam rahmat dan pengampunan ALLAH," ujarnya.

Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, USIM berhasrat mengembangkan lagi program-program termasuk perancangan Diploma Lanjutan Bimbingan Ibadah Haji dan Umrah.

"Saya berharap mewujudkan USIM-Tabung Haji Training Centre dengan menjadikan kampus USIM sebagai tempat latihan haji. Hasrat ini telah saya lontarkan kepada delegasi TH Wilayah Tengah yang telah membuat kunjungan hormat ke pejabat saya pada tahun lalu," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp