Wakil UKM bersama wakil JNU. Kredit foto: Facebook UKM
Wakil UKM bersama wakil JNU. Kredit foto: Facebook UKM

UKM meterai kerjasama dengan sebuah institut pengajian India

Sebarang bentuk kerjasama terutama bersama negara luar sangat penting untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia.

31 Jan 2023 11:16pm

IPTKerjasama antarabangsa boleh memanfaatkan pertumbuhan ekonomi, kesihatan, kualiti hidup dan pelbagai lagi hal berkaitan.

Dari segi pendidikan, kerjasama antarabangsa membantu negara menunjukkan serta mengajar orang luar tentang budaya dan adat negara ini termasuk sejarah.

Maka tidak hairanlah sekiranya ini antara sebab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama Jawaharlal Nehru University (JNU) dari India bagi menubuhkan Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di School of Language, Literature and Culture Study, JNU, India.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, inisiatif ini adalah bukti kesungguhan UKM untuk melebarkan sayap pengajian dalam tamadun Melayu.

Ujar beliau, MoA bersama JNU ini turut menunjukkan UKM di landasan yang tepat selaras dengan harapan dan aspirasi universiti dalam mengangkat bahasa dan tamadun Melayu di persada antarabangsa.

“Kursi Pengajian Tamadun Melayu di JNU, India akan berperanan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui aktiviti kerjasama pendidikan, penerbitan bersama, pengajaran, persidangan dan jaringan strategik antara kedua-dua universiti awam di negara masing-masing.

“Keupayaan UKM untuk menawarkan bahasa Melayu dan Ilmu Ketamadunan Melayu menjadikan ia berjaya duduk sebaris bersama pengajian bahasa dan budaya asing yang lain di JNU.

“Bahasa dan budaya Melayu akan diajar di dalam makmal bahasa yang mempunyai fasiliti multimedia lengkap yang terdapat di fakulti ini,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Ekhwan, idea dan hasrat untuk menubuhkan Kursi ini tercetus semasa lawatan kerja mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke India pada Mei tahun lalu dan diiringi Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Mohamad Abd Razak dan Pro Canselor University of Cyberjaya, Tan Sri Dr R Palan.

Ujar Mohd Ekhwan lagi, hasrat ini adalah kesinambungan daripada Kursi-Kursi Pengajian Melayu yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti yang dapat dilihat di Universiti Leiden, Belanda (1993); University Victoria of Wellington, New Zealand (1997); Beijing Foreign Studies University, China (2007) dan Hankuk Foreign Studies University, Korea Selatan. (2008).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu penubuhan Kursi di JNU ini adalah peluasan konsep ‘Pengajian Melayu’ yang sedia ada dan ia juga bermatlamat mendokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyebarkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat antarabangsa .

“Penubuhan ini menunjukkan sokongan kami kepada matlamat KPT dalam usaha untuk menggalakkan ahli akademik dan mahasiswa memperkaya serta memperluas bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di serata dunia,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp