Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

Universiti bukan entiti perniagaan, isu kekurangan bukan defisit - Mustapha Sakmud

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
11 Mar 2025 10:13am

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'defisit' terhadap universiti awam yang disenaraikan mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menjelaskan bahawa perkara itu telah diperjelaskan dalam sesi perbahasan di Parlimen baru-baru ini.

"Untuk makluman, bukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sahaja, tetapi beberapa universiti lain juga mengalami kekurangan dana. Kami tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'defisit' kerana universiti bukan entiti perniagaan, sebaliknya ia adalah institusi pendidikan.

"Geran yang diberikan kepada universiti hanya merangkumi sekitar 80 peratus daripada keperluan mereka, manakala baki 20 peratus lagi perlu dijana sendiri oleh universiti.

"Ada universiti yang mampu menjana pendapatan, tetapi ada juga yang kurang berupaya melakukannya. Dalam kes UMS, kekurangan ini berlaku kerana pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta menjelaskan UMS antara tiga universiti awam yang dicatat mengalami kerugian berdasarkan LKAN tersebut.

Beliau menegaskan bahawa situasi tersebut bukanlah kerugian, sebaliknya hanya ketidakseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut menjelaskan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan bagi menampung kekurangan yang dialami oleh universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan tambahan telah diluluskan di peringkat Parlimen untuk membantu universiti yang memerlukan, termasuk UMS," katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa unsur rasuah merupakan punca utama kekurangan dana di universiti.

Namun, beliau menegaskan bahawa isu ini akan ditangani selari dengan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan tadbir urus universiti dilaksanakan dengan baik.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kes seperti ini. Siasatan akan dijalankan dan sekiranya didapati bersalah, mereka perlu berdepan dengan proses mahkamah serta menjalani hukuman yang ditetapkan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp