Md Amin ketika menandatangani MoU bersama TSUOS secara dalam talian baru-baru ini.
Md Amin ketika menandatangani MoU bersama TSUOS secara dalam talian baru-baru ini.

UPSI bersama universiti Uzbekistan mantapkan program pembelajaran Bahasa Melayu

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jun 2023 09:02am
A
A
A

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengorak langkah proaktif dalam usaha memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di Uzbekistan.

Untuk itu, UPSI menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan dua buah universiti di Uzbekistan, menawarkan kursus Bahasa Melayu di kampus mereka.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, dua buah universiti yang terlibat ialah Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU) dan Tashkent State University of Oriental Studies (TSOUS).

“Dalam usaha mengukuhkan lagi PdP Bahasa Melayu di Uzbekistan, UPSI telah bekerjasama dengan UzSWLU dan Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan menubuhkan pusat bahasa pada 2019.

“Pusat bahasa yang dinamakan The Malaysian Language and Culture Centre itu terletak di UzSWLU dan kini beroperasi sebagai bilik kuliah kendalian guru Bahasa Melayu UsZWLU iaitu Munisa Mukhtarova,” ujarnya.

Bagi melengkapkan pusat bahasa tersebut dengan bahan-bahan rujukan, UPSI telah menyumbang pelbagai jenis buku antaranya buku rujukan dalam bidang bahasa, buku berkaitan Malaysia, novel, buku cerita, majalah dan risalah.

Sementara itu, Md Amin berkata, sepanjang penglibatan UPSI dalam PdP Bahasa Melayu, beberapa kejayaan telah dilakar antaranya penganjuran program mobiliti dan sangkutan kepada pensyarah, program pencarian bakat ‘Emcee Audition’, syarahan antarabangsa, bengkel penulisan artikel, program mobiliti Bahasa Melayu (tanpa kredit) dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dekan FBK, Profesor Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad berkata, selain Uzbekistan, fakulti turut meneroka dan kini berusaha membuka pusat Bahasa Melayu di beberapa buah negara seperti Moscow, Rusia, Dhaka, Bangladesh dan London.

Artikel Berkaitan:

“Banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha menubuhkan pusat Bahasa Melayu ini.

“Apa-apa pun, kami akan beri yang terbaik dan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi universiti yang sentiasa menyokong usaha memartabatkan Bahasa Melayu di luar negara,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok